Edisi Blogger: November 2014

Sabtu, 15 November 2014

Tun Mahathir kata BR1M umpama merasuah rakyat..apa kata Najib?

SHAH ALAM - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan tidak ubah seperti memberi rasuah kepada rakyat. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, itu antara sebab utama beliau menentang pemberian bantuan tunai pada skala besar seperti itu.

"Jika ia (BR1M) diberikan hampir pada tarikh pilihan raya atau jika manifesto menjanjikan ia (pemberian tunai), tanggapan bahawa (BR1M digunakan) untuk membeli undi memang tidak boleh diketepikan.

"Jika ingin naikkan pendapatan (rakyat), ia perlu dibuat dengan menghasilkan peluang bekerja atau berniaga," katanya dalam artikel baharu bertajuk BR1M yang disiarkan di blog beliau, chedet.cc.

Mengakui dirinya bukan pakar ekonomi atau kewangan terlatih, Dr Mahathir berkata beliau faham mengenai BR1M dan manfaatnya kerana beliau sendiri sebelum ini pernah membuat keputusan mengenai perkara berkaitan ekonomi dan kewangan yang dilihat memberikan hasil baik kepada negara.

"Saya memang menentang pemberian wang tunai sebagai cara meningkatkan pendapatan rakyat sejak awal lagi. Jika ada pun, bantuan kewangan perlu diberikan kepada miskin tegar yang tidak mampu bekerja untuk mendapatkan pendapatan," tegasnya.

Menurutnya, selain kelihatan seperti rasuah, BR1M mempunyai kesan negatif yang lebih banyak berbanding itu kerana ia meningkatkan kebergantungan individu terhadap kerajaan untuk pendapatan sendiri, tanpa sebarang usaha.

"Ia melemahkan karakter individu dan mengurangkan daya saing dalam pasaran," katanya.

Menurutnya, untuk menjadi negara berpendapatan tinggi seperti disasarkan Malaysia menjelang 2020, ia perlu datang daripada peningkatan dalam produktiviti.

Dr Mahathir berkata, produktiviti yang tinggi diperoleh daripada pendidikan dan latihan lebih baik.

"Seseorang buruh tidak boleh jadi lebih produktif berbanding mekanik atau tukang yang mahir dalam sesuatu pekerjaan tangan. Mereka ini pula tidak seproduktif seorang jurutera.
"Keupayaan meningkatkan produktiviti datang daripada nilai tambah lebih besar terhadap produk," katanya.

Menurutnya, pemberian wang tidak meningkatkan produktiviti, menyebabkan daya saing tidak akan bertambah baik.

Akibatnya, beliau berkata, ekonomi tidak akan tumbuh sepenuhnya dan negara-negara seperti ini terpaksa bergantung kepada pekerja, eksekutif dan usahawan asing.

Pendapatan tinggi bukan penentu kemajuan negara

"Kita mahu menjadi negara maju menjelang 2020. Kita rasa ini boleh dilakukan dengan menaikkan pendapatan purata ke tahap tertentu. Ini (penjelasan yang) mengelirukan.

"Segelintir orang yang mempunyai pendapatan sangat tinggi akan mengherotkan (nilai) pendapatan purata. Pendapatan per kapita tidak sepatutnya menjadi ukuran pencapaian kita sebagai status negara mahu. Penekanan terhadap pendapatan tinggi semata tidak cukup," katanya.

Beliau berkata, ia akan lebih mengelirukan jika pendapatan itu adalah disebabkan pemberian kerajaan.

Dr Mahathir menekankan, untuk menjadi negara maju, Malaysia perlu setanding dengan negara maju dari segi pendidikan, teknologi dan pengetahuan industri, pembangunan dan penyelidikan, infrastruktur setara dan pendapatan tinggi untuk semua rakyat.

"Jadi  mustahak membelanjakan wang bagi pendidikan dan latihan bertahap lebih tinggi, membina keupayaan kejuruteraan dan industri, untuk menjadi produktif dan berdaya saing, membina infrastruktur kelas pertama dan untuk menjadi penyelidik, pencipta dan pembangun," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Mahathir berkata, ada kerajaan sosialis dan komunis yang pernah cuba memperbaiki pendapatan rakyat mereka melalui pemberian wang dan memberikan kemudahan sokongan secara percuma untuk memastikan rakyat mempunyai kehidupan baik.

"Tetapi Sosialisme dan Komunisme telah gagal. Mereka akhirnya memilih perusahaan bebas dan kerja kuat," tegasnya.

Katanya, Malaysia pernah menggunakan dasar menggalakkan industri yang menggunakan ramai buruh kerana pada masa itu, rakyat tidak mempunyai pekerjaan dan tiada pendapatan. - Sinarharian

Apa pulak kata Najib mengenai BR1M?....


Anyway....


(Sumber gambar edit Najib: Google jer)

Jumaat, 14 November 2014

Dua rakyat Malaysia sertai Ratu Cantik Pondan Antarabangsa 2014...pergh!! memang cantik bonar..

KUALA LUMPUR: Dua orang ‘ratu pondan’ daripada Malaysia menyertai pertandingan Ratu Cantik Pondan Antarabangsa 2014 (Miss International Queen 2014) yang diadakan di Pattaya, Thailand.

Dua orang peserta itu adalah Cicie Sinclair dan Hendra yang mewakili Malaysia dalam pertandingan kecantikan terbesar di dunia. Pertandingan ratu cantik itu secara jelas telah mempromosikan hak-hak transeksual dan wanita.

Acara ini sudah menjadi acara tahunan dan dikenali sebagai Miss International Queen. Pertandingan ini disertai ‘ratu-ratu’ cantik dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Bagi tahun ini, selain Malaysia, 19 negara lain turut menghantar wakil mereka bagi merebut kejuaraan. Antara negara yang turut menyertai pertandingan ratu cantik pondan itu adalah dari negara Filipina, Brazil, Venezuela, Mongolia, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat.

Dalam pertandingan itu, peserta dari Venezuela, Isabella Santiago berjaya untuk bergelar juara dan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM41,800. Malah, pemenang pada tahun ini juga berhak untuk memilih menjalani pembedahan kosmetik secara percuma.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan telah mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan ke­rana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan. Beliau berkata, keinginan untuk ber­pakaian seperti wanita dan diiktiraf se­bagai seorang wanita dikenal pasti sebagai sebahagian masalah dari segi perubatan dan tiada rawatan farmakologi atau terapi psikologi yang telah dibuktikan secara saintifik bagi mengatasi masalah seperti itu.

Hishamudin berkata, penghidap GID akan terus hidup dalam keadaan tidak pasti, sengsara dan rasa malu sekiranya Seksyen 66 masih dikuatkuasakan dan menurutnya, ketetapan itu telah mewujudkan keadaan tidak selamat dan terdedah kepada penghinaan dalam kehidupan lelaki Islam yang menghidap GID.

“Undang-undang sedia ada menghukum golongan transeksual yang mempamerkan gender mereka, mencemarkan maruah dan nilai individu yang menghidap GID dalam masyarakat kita. Seksyen 66 secara langsung menjejaskan hak mereka untuk hidup secara bermaruah seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sekiranya nilai mereka sebagai anggota masyarakat diketepikan,” katanya. - FMT

Ini dia wajah dua 'ratu cantik' Malaysia tersebut...pergh!! memang lah cantik....tapi...lu pikir la sendiri

 (Kredit foto: www.missinternationalqueen.com via FMT)

Amah Indonesia mangsa ‘tamparan buaya’ Raja Bomoh

PETALING JAYA: Raja Bomoh 1Malaysia Mat Zin dikatakan telah memukul dan membelasah pembantu rumahnya Menik Fitriyanti, 47 tahun sehingga menerima jahitan sepanjang 30 sentimeter selain daya ingatannya terjejas.

Menurut portal rri.co.id, Menik bertindak bertindak melarikan diri dan pulang ke kampung halaman di Kota Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia pada 4 November lalu selepas dipercayai tidak tahan didera sejak setahun lalu.

Sementara itu, anak perempuan mangsa, Alfa Nurismayanti berkata ibunya sering dipukul Mat Zain atau nama sebenar Datuk Ibrahim Mat Zain sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Jelas Alfa, setahun lalu ibunya memberitau bahawa dia tidak mahu lagi bekerja di Malaysia dan ingin pulang ke kampung halaman namun dihalang majikannya.

“Pada jam tiga petang hari berkenaan, tanpa disedari, ibu pulang secara tiba-tiba dan berada di tanah perkuburan ayah, di belakang rumah kami.

“Namun begitu, ibu tidak mahu bercakap dan sehingga hari ini, kami sekeluarga tidak mengetahui bagaimana dia boleh pulang ke rumah,” katanya.

Pada masa yang sama Alfa berkata, kesan luka di leher, perut serta kaki ibunya juga turut kelihatan, ekoran daripada didera ‘Raja Bomoh’ itu dan sehingga kini ibunya masih lagi berada dalam keadaan trauma .

Ujarnya lagi, disebabkan ibunya bekerja di Malaysia secara tidak sah, maka pihak keluarganya tidak mengharapkan sebarang bentuk bantuan daripada pihak berkuasa. Apa yang lebih penting bagi beliau (Alfa) adalah merawat dan menyembuhkan kecederaan yang dialami ibunya.

Kes Menik juga turut menjadi liputan meluas stesen televisyen Indonesia dan pihak berkuasa Indonesia juga akan memberi perhatian terhadap isu penderaan tersebut. - FMT

Rabu, 12 November 2014

Fara Fauzana jelas isu Master

PENYAMPAI radio dan pengacara popular, Fara Fauzana, 34, mendedahkan tidak ada sebarang perjanjian yang di buat bersama pihak Geomatika University College di atas penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana (Master) Komunikasi Massa kepadanya.

Jelas Fara, tidak ada istilah memberi publisiti percuma kerana tiada sebarang kerjasama yang dilakukan dengan pihak kolej tersebut untuk tujuan promosi.

“Saya amat bersyukur dengan penganugerahan yang diberikan ini. Cuma orang di luar sana kena ingat, ini bukan pertama kali sesebuah universiti atau kolej memberi pengiktirafan sebegini, tapi mungkin saya penyampai radio, jadi kedengaran agak janggal.

"Apa pun tidak ada istilah mereka mempergunakan saya kerana pihak Geomatika sendiri tidak membuat sebarang hebahan di atas penganugerahan ini.

"Orang lain cuma tahu selepas pihak AM Krew membuat kejutan di radio minggu lalu," katanya yang ditemui media, baru-baru ini.

Tambah Fara lagi, dia sendiri sebenarnya sudah lama merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana, namun belum berkesempatan untuk berbuat demikian.

"Sejak 2004 lagi, saya merancang untuk menyambung pengajian di  Universiti Teknologi Mara (UiTM). Namun kerana tuntutan kerja saya belum berkesempatan untuk menyambung pengajian. Namun, kita hanya merancang dan Allah SWT yang menentukan," akhirinya. -Sinarharian

Sarawak larang lelaki berpakaian wanita

Kerajaan negeri tidak akan membenarkan lelaki berpakaian seperti wanita yang menyalahi ajaran Islam di sini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, walaupun keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 November lalu menyebelahi 'golongan' berkenaan, Sarawak tetap tidak membenarkannya.

“Kami terima keputusan mahkamah itu, tetapi tetap pada pandangan bahawa lelaki berpakaian wanita atau wanita berpakaian seperti lelaki adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Oleh yang demikian, kita mengharapkan pihak-pihak berkenaan dapat memohon agar membuat rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan agar keputusan berkenaan dapat dipertimbangkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mahkamah yang telah mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri makan tengah hari bersama 26 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan bersama guru pengiring ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam lawatan empat hari ke Sarawak.

Tambahnya, di Sarawak terdapat juga kes sedemikian yang mana lelaki menggunakan pakaian wanita namun pihaknya menasihatkan mereka dan setakat ini tiada kes dibawa ke mahkamah. -UTUSAN

Anak David Beckham, Brooklyn Wakili Arsenal

BROOKLYN Beckham iaitu anak sulung kepada bintang bola sepak dunia, David Beckham dilaporkan telah menandatangani perjanjian jangka pendek bersama Arsenal.

Brooklyn, 15, yang sedang menjalani latihan di akademi Arsenal akan mewakili skuad bawah 16 tahun kelab tersebut.

Anak kepada bekas ketua pasukan England itu dilaporkan turut mendapat perhatian daripada Chelsea dan Manchester United.

Dia juga pernah menjalani ujian pemilihan pemain yang diadakan oleh Chelsea, United, Queens Park Rangers dan Fulham.

Brooklyn yang bermain di posisi sayap kanan akan ditawarkan kontrak sebagai pemain profesional jika berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan dalam tempoh perjanjian tersebut.

Pemain muda hanya dibenarkan menurunkan tandatangan sebagai pemain profesional ketika berusia 17 tahun.

Bapanya, David sebelum ini telah menempah nama di Manchester United di bawah kendalian Alex Ferguson, namun mereka mempunyai hubungan lebih akrab dengan Arsenal.

David mempunyai hubungan baik dengan Arsenal apabila dia diberikan peluang untuk berlatih dengan Arsenal pada Januari tahun lalu untuk kekal cergas selepas meninggalkan LA Galaxy.

Dia kemudian mewakili Paris Saint-Germain sebelum bersara sebagai pemain pada usia 39 tahun.

Selain Brooklyn, dua lagi anak David iaitu Cruz, 9, kini beraksi untuk pasukan bawah 10 tahun manakala abangnya, Romeo, 12, mewakili skuad bawah 13 tahun Arsenal. - mstar

Selasa, 11 November 2014

Ujian air kencing sahkan lelaki ini hamil? Biar betol

KAHERAH - MESIR. Seorang lelaki yang merupakan pemandu bas didapati hamil dua bulan setelah melalui ujian saringan air kencing yang dilakukan dalam satu pemeriksaan baru-baru ini.

Kenyataan tersebut disahkan oleh pegawai perubatan yang melakukan ujian air kencing bagi mengesan pengambilan dadah oleh pemandu bas di sebuah syarikat di negara tersebut.

Menurut pegawai tersebut, lelaki itu pada awalnya bertegas memaklumkan bahawa contoh urin tersebut adalah miliknya sebelum pegawai tersebut mengucapkan tahniah ke atas kehamilannya.

“Tahniah, anda hamil!” kata pegawai tersebut seperti yang dipetik melalui portal berita BBC.

Setelah didesak berkali-kali, akhirnya pemandu bas itu mengakui mengambil sampel air kencing isterinya selain tidak sedar bahawa isterinya hamil dua bulan.

Lelaki tersebut juga mengakui bahawa pertukaran contoh air kencing adalah perkara lazim dilakukan pemandu bas negara itu bagi mengelakkan dikesan berikutan pengambilan dadah.

Baru-baru ini, stesen berita tempatannya, AlJazeera melaporkan peningkatan penggunaan dadah jenis tramadol, sejenis pil penahan sakit yang dikatakan boleh menambah tenaga.

Menurut laporan lagi, dadah jenis itu senang didapati dan dijual dengan harga yang berpatutan, membuatkan pengambilan dadah di kalangan penduduk di negara tersebut meningkat secara berterusan.

Menurut pakar psikologi, Dr Emad Hamdi, kebanyakan individu yang mengambil pil tramadol secara rutin tidak sedar bahawa mereka menjadi ketagih dengan dadah jenis itu.

“Ada sesetengah individu mengambil dadah tersebut untuk menambah tenaga bagi yang bekerja, namun akhirnya mereka akan jadi ketagih.

“Jika pengguna mengambil ubat tersebut selama beberapa hari secara berterusan, pengguna akan terus menggunakan ubat tersebut tanpa henti,” jelasnya.

Sementara itu, dalam laporan yang sama, Lembaga Pengangkutan Awam Mesir menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas pemandu bas tersebut.

Menurut jurucakapnya, pihaknya akan mengambil ujian darah bagi mengesan pengambilan dadah ke atas pemandu bas pada masa akan datang.

Katanya lagi, ia bagi mengelakkan pihak berkuasa diperdaya dengan kaedah yang sama digunakan oleh pemandu bas terbabit. - Sinarharian

Isnin, 10 November 2014

Firman Juara AF 2014, Menang RM50,000 & Kereta Vios

SHAH ALAM: Peserta berasal dari Sabah, Firman, 25, diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pada malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000, Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo, percutian ke Osaka Jepun beserta trofi sumbangan Astro yang disampaikan oleh pengetua, Datuk Hattan.

Pada pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria itu, Firman menyanyikan lagu berjudul Kejoraku Bersatu nyanyian Amy Search dan sebuah lagu baharu, Di Pintumu ciptaan Datuk M.Nasir.

Tempat kedua diungguli peserta daripada Melaka iaitu Aman atau nama sebenarnya Mohd Razman Abdul Aziz, 21, dengan membawa pulang wang tunai RM30,000, Produa Myvi 1.3, percutian ke Osaka Jepun, dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Sementara, tempat ketiga dimenangi oleh Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, 22 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, percutian ke Osaka Jepun serta trofi.

Manakala tempat keempat dan kelima dimenangi oleh Nuha dan Adel masing-masing menerima RM15,000 dan RM10,000 berserta percutian ke Osaka Jepun dan trofi.

Sementara itu, Nuha turut dipilih memenangi anugerah khas wang tunai RM10,000 daripada D'Herbs sebagai pelajar paling banyak menunjukkan perubahan sepanjang 10 minggu AF 2014 bersiaran.

Senarai pemenang diumumkan oleh pengacara Zizan Razak, Faizal Ismail dan Jihan Musa.

Selain juri tetap, Ramli MS dan Raja Azura, turut diundang sebagai pengkritik ialah Amy Search.

Selain persembahan para peserta, malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan persembahan Bunkface, Amy Search, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Mas Idayu. - mstar

Sabtu, 8 November 2014

Ujian sampel B sah positif dadah - Adakah ia milik Lee Chong Wei?

KUALA LUMPUR - Ujian doping sampel B milik seorang pemain badminton terkenal negara disahkan positif serta mengandungi bahan terlarang dexamethason.

Keputusan berkenaan diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat BAM di sini hari ini.

Bagaimanapun, nama atlet badminton itu tidak akan diumumkan sehingga pengumuman jatuh hukum dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF). - KOSMO!

p/s: Adakah Lee Chong Wei yang dimaksudkan? Kena tunggu pengesahan dari BAM

Yusof Haslam Anggap Wardina Tidak Matang Komen Isu Buli

PETALING JAYA: Presiden, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam menyifatkan kenyataan aktres Wardina Safiyyah menyalahkan filem-filem gengster tempatan sebagai punca terjadinya kes buli melibatkan pelajar sekolah di negara ini merupakan pendapat yang tidak matang.

Yusof berkata, sepatutnya sebagai seorang yang berpelajaran seperti Wardina, dia perlu berfikiran luas dan tidak menuding jari pada satu pihak tanpa mengkaji dahulu punca-punca gejala sosial itu berlaku.

"Saya tidak setuju dengan kenyataannya itu kerana ia lebih berunsur emosi tanpa berfikir secara matang. Dia melihat pada skop di satu pihak sahaja.

"Kita juga sedia maklum, masalah gejala sosial ini sudah lama berlaku dan secara logiknya, adakah patut filem tempatan kita dipersalahkan?

"Bukankah banyak lagi akses lain yang lebih mudah terutamanya menerusi Internet untuk golongan remaja zaman kini untuk menonton video-video yang tidak sepatutnya?," soalnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Wardina menerusi laman Facebook miliknya pada Khamis meminta agar penerbit filem-filem berunsur gengster supaya bertanggungjawab terhadap kes buli melibatkan pelajar sekolah yang semakin berleluasa di negara ini.

Wardina berkata, kebanyakan filem gengster yang ditayangkan memberi inspirasi kepada penonton untuk melakukan tindakan ganas sama seperti pelakon-pelakon popular di layar lebar.

Sementara itu. Yusof berkata, kenyataan Wardina itu dapat menjejaskan lagi industri perfileman negara yang sememangnya sedang 'nazak'.

"Kenyataan dia ternyata telah mengguris kebanyakan penggiat filem negara ini. Kalau orang negara luar tahu tentang isu yang timbul ini, mereka akan gelak, buat malu orang Malaysia saja.

"Ini kerana secara logiknya, filem-filem ganas tidak ada nilai untuk ditiru aksinya berbanding video-video di internet, di mana kanak-kanak pun boleh buka dan menontonnya jika tiada kawalan daripada ibu bapa," tegasnya.

Pada awal minggu lalu, tersebar sebuah klip video kes buli yang telah menjadi viral di Facebook.

Klip video selama lima minit itu dirakam di asrama dan dipercayai berlaku di sekolah berasrama penuh, menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki sedang dipukul oleh rakan sekolah mereka.

Selepas itu muncul pula video seorang remaja dipukul rakan-rakannya sehingga cedera. - mstar

Lazada kena maki oleh Awal Ashaari di Instagram

Sekarang ni dah jadi trend untuk membeli-belah menerusi atas talian sahaja kan? Sesetengah orang berpendapat bahawa ia lagi mudah dan menjimatkan masa.

Mana taknya, anda tak perlu nak tempuh jalan jam, tak perlu berpusing satu shopping mall untuk cari parking dan tak perlu untuk angkat barang berat-berat. Hanya dengan klik dan klik, semua barang akan dihantar terus ke rumah.

Tapi, setiap perkara mesti ada keburukannya. Terkini, pengacara popular, Awal Ashaari nampaknya dah naik angin dengan perkhidmatan online department store, Lazada yang telah membatalkan pesanannya.

Ini bukan kali pertama ya pihak Lazada membatalkan pesanan Awal, tetapi merupakan kali kedua dalam masa sebulan. Patutlah pun Awal naik berang.

Rasanya perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan Lazada supaya pembeli tidak hilang kepercayaan terhadap mereka. Al-maklumlah, Awal boleh dikatakan sebagai seorang selebiti yang agak berpengaruh juga. - ohbulan

Jumaat, 7 November 2014

Lima Pelajar Mengaku Bersalah Merusuh Di Asrama Anak Yatim

KANGAR: Lima pelajar mengaku bersalah di Mahkamah Juvana Kangar pada Khamis atas tuduhan merusuh sehingga menyebabkan seorang rakan mereka tercedera.

Seorang lagi tertuduh, tidak hadir pada prosiding itu.

Kesemua tertuduh yang berumur 13 hingga 15 tahun itu didakwa dalam satu kumpulan mendatangkan kecederaan kepada Noor Azhar Saad, 11 tahun, antara 1 tengah hari pada 31 Mei dan 2 petang, 1 Jun di asrama anak yatim, Kompleks Penyayang Tun Dr Siti Hasmah, Jejawi, dekat sini.

Kesemua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bercakap kepada pemberita Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Mohamad Sabri berkata Majistret Norhayati Ibrahim menetapkan masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Disember untuk menjatuhkan hukuman.

Syazwani berkata seorang lagi tertuduh yang tidak hadir akan didakwa kemudian.

Kesemua remaja itu tidak diwakili peguam manakala peguam Razairul Hafiz Md Razib bertindak sebagai peguam pemerhati.

Kejadian buli terhadap Noor Azhar dirakam dan dimuat naik dalam Facebook serta media sosial baru-baru ini sehingga mendapat simpati orang ramai terhadap mangsa. - mstar

Selasa, 4 November 2014

Pelajar tingkatan 4 sesat di Hutan Lipur Sekayu ditemui mati

Pelajar tingkatan 4 yang hilang sewaktu menyertai perlumbaan maraton di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang di Kuala Terengganu sejak Sabtu lepas ditemui mati oleh sukarelawan mencari dan menyelamat.

Ahmad Rafikin Azman, 16, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu itu ditemui oleh anggota penyelamat sekitar 3.30 petang di celah batu, tidak jauh dari trek perlumbaan.

Timbalan Ketua Polis Hulu Terengganu, ASP Rosli Amir ketika ditemui hanya memberi kenyataan ringkas berkenaan penemuan mangsa yang hilang sejak tiga hari lepas.

"Mangsa selamat dibawa turun kira-kira 6.40 petang tadi dan ditemui oleh pasukan penyelamat di celah batu. Dia dihantar ke Rumah Mayat Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat," katanya.

Dalam keadaan hujan lebat, operasi membawa turun mangsa memakan masa hampir tiga jam berikutan cuaca yang buruk dan laluan yang licin.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi khemah operasi mencari dan menyelamat apabila anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak dan ada antara mereka pengsan sejurus mendapat berita sedih itu.

Ahmad Rafikin dilaporkan hilang se tidak menamatkan perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira pukul 6 petang Sabtu.

Azman sebelum itu memaklumkan kepada pihak penganjur  beliau tidak menemui Ahmad Rafikin yang sepatutnya diambilnya kira-kira 3 petang selepas acara itu.

Operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota pasukan bomba dan penyelamat, polis, Rela, tentera serta penduduk kampung turut disertai anggota keluarga mangsa. – Bernama

Isnin, 3 November 2014

#AF2014 : Azwan Tersingkir, Adel Diserap Masuk AF 2014

SHAH ALAM: Pelajar Adel yang disingkir pada dua minggu lalu kembali bersaing ke dalam Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) apabila dipilih menerusi AF Serap pada konsert separuh akhir malam Ahad.

Konsert tersebut diadakan secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pemilihan AF Serap yang dipilih menerusi fakulti AF 2014 itu pernah diperkenalkan dalam rancangan AF sebelum ini iaitu membawa masuk semula pelajar yang pernah tersingkir.

Adel mengiringi empat peserta lain iaitu Firman, Aman, Ewal dan Nuha untuk berentap pada peringkat akhir di minggu hadapan.

Bagaimanapun peserta Azwan gagal ke peringkat akhir AF 2014 selepas diumumkan tersingkir oleh pengacaranya, Zizan Razak dan Faizal Ismail.

"Saya terima dengan kekalahan ini tetapi ini bukan perjalanan akhir di bidang ini.

"Sebaliknya saya akan terus berusaha untuk menjadi seorang penyanyi profesional di arus perdana," kata Azwan.

Pada malam konsert tersebut pelajar-pelajar ditugaskan untuk membuat dua persembahan iaitu secara solo dan duet.

Untuk tugasan solo, Aman, 21 mempersembahkan lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain, Azwan, 30 (Cinta Sesungguhnya nyanyian Sabhi Sadhi), Ewal, 22 (Rude nyanyian Magic), Nuha, 21, (Ku Pendam Sebuah Duka nyanyian Datuk Khadijah Ibrahim) dan Firman, 25 (Nur Nilam Sari nyanyian Awie dan Search).

Tugasan lagu duet pula,  Aman membawakan lagu  Kalau Cinta menampilkan Marsha, Azwan (Tanda Kasih, menampilkan Noraniza Idris), Ewal (Muara Hati, menampilkan Adira), Nuha (Cintamu Mekar Di Hati menampilkan Mus May) dan Firman (Seribu Tahun Takkan Mungkin, menampilkan Joey Bumiputra Rockers).

Juri tetap program itu ialah Datuk Ramli MS dan Raja Azura manakala penyanyi Fauziah Latif pula sebagai juri undangan pada minggu tersebut.

AF 2014 ditayangkan secara langsung setiap Ahad pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104). - mstar

Ahad, 2 November 2014

Pukul Anak Guna Kabel Brek Basikal

KOTA BHARU - Seorang bapa hilang  pertimbangan apabila sanggup memukul anaknya yang berusia 12 tahun menggunakan kabel brek basikal, mencekik leher dan menendang kaki serta tangan sehingga cedera selepas mendapati anaknya itu mencuri telefon bimbit sepupunya dalam kejadian di Pasir Hor, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa luka dan lebam di belakang badan, kaki serta tangan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan
Zainab II (HRPZ II), di sini, oleh neneknya untuk dirawat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, sebelum kejadian bapa mangsa yang berusia 38 tahun membawa anak ke rumah sepupunya untuk menyerahkan kembali telefon bimbit dicuri.

Katanya, sebaik mangsa menyerahkan telefon bimbit itu, bapanya mengambil kabel brek basikal di bawah rumah dan memukul mangsa.

"Mangsa dibawa pulang ke rumahnya sebelum sekali lagi dipukul dengan kabel berkenaan, dicekik leher dan ditendang kaki serta tangan. - Harian Metro

Foto: Rozita Che Wan Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

Hari yang dinantikan sudah tiba. Pelakon wanita berusia 41 tahun ini akhirnya telah selamat melahirkan bayi perempuannya hari ini. Malah, kedua-dua mereka dilaporkan sihat.

Menurut laporan Hlive! lagi, Rozita Che Wan dikatakan selamat melahirkan anak hasil perkahwinannya dengan Zain Saidin itu pada pukul 2.18 petang tadi di Pusat Perubatan Ampang Puteri.

Menerusi foto yang dimuat naik oleh Ayu Raudhah, nampaknya tekaan kami mengenai kecomelan baby girl Rozita Che Wan dan Zain Saidin ini memang tepat!

Namun, nama untuk si putih melepak ini masih belum didedahkan lagi. Khabarnya ia hanya akan diumumkan seminggu selepas hari kelahirannya. Tahniah diucapkan buat Che Ta dan Zain Saidin! - ohbulan

MH17: Nenek Tiri Najib & Hishammuddin Dikenal Pasti Mangsa Terakhir Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Mayat Puan Sri Siti Amirah Kusuma, 83, mangsa terakhir rakyat Malaysia dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 telah dikenalpasti. 

Siti Amirah merupakan nenek tiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Perkara tersebut dimaklumkan Hishammuddin hari ini setelah mayat tersebut disahkan pasukan forensik di Belanda semalam. 
 
"Syukur Alhamdulillah mayat kesemua penumpang (rakyat Malaysia) yang menjadi mangsa tragedi MH17 telah dikenal pasti. 
 
"Ini salah satu tanggungjawab serta janji yang telah ditunaikan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada keluarga mangsa serta rakyat Malaysia dalam hal ini," katanya pada sidang media di sini selepas menyempurnakan penutupan Konvensyen Umno Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). 
 

"Saya diberitahu bahawa keluarga Allahyarham ingin mengebumikan jenazah di Amsterdam memandangkan anaknya menetap di sana. Maka tiada lagi istiadat penghormatan akan dilakukan di negara ini," kata Hishamuddin. 

Dengan perkembangan terbaru itu, kesemua 43 jenazah rakyat Malaysia kini telah dikenalpasti. 

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Sehingga kini, sebanyak 278 jenazah daripada 298 mangsa telah dikenal pasti oleh pasukan forensik di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum, Belanda.

Hishammuddin berkata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan melakukan tindakan susulan bagi menentukan kesemua mangsa tragedi mendapat pengadilan. - mstar

Sabtu, 1 November 2014

Antara sebab kenapa anda harus berhati-hati dengan lembu

LUKUT - Angkara dua kumpulan lembu sedang bergaduh di jalan raya, seorang penunggang motosikal cedera.

Kejadian berlaku di Taman Tasik Bandar Springhill, di sini kira-kira 2.30 petang semalam, apabila mangsa, R Selvaraj, 62, dilanggar salah seekor haiwan berkenaan.

Mangsa yang luka di beberapa anggota badan termasuk sakit di bahagian dada menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berseorangan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Fasa 2 Bandar Springhill.

Menurut Selvaraj, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia ternampak dua kumpulan membabitkan kira-kira 40 ekor lembu di kiri dan kanan jalan.

“Tiba-tiba seekor lembu yang berada di pembahagi jalan seperti sedang bergaduh berlari ke arah motosikal saya menyebabkan saya tidak sempat mengelak dan terjatuh.

“Mujur lembu itu tidak pijak atau terus menyerang saya," katanya yang mendapat rawatan di Hospital Port Dickson (HPD).

Selvaraj berkata, dia kesal kerana pemilik lembu membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di kawasan perumahan dan jalan raya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Rozi Ithnin berkata, MPPD menerima banyak aduan berkaitan haiwan peliharaan terutama lembu berkeliaran di kawasan awam termasuk jalan raya.

“Dalam masa sama, MPPD menjalankan operasi menangkap lembu berkeliaran tanpa jagaan pemilik atau penjaganya di kawasan awam.

“Jika pemilik lembu masih berdegil dan tidak mengawasi haiwan ternakan masing-masing, MPPD tidak akan bertolak ansur. Tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap mereka,” katanya. - Sinar Harian

Wanita Tempatan Cuba Kahwin Militan IS Didakwa

SEPANG: Seorang wanita hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba menjadi anggota kumpulan militan digelar Negara Islam (IS).

Ummi Khalsom Bahok, 25, didakwa cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan pesawat Airasia dari KLIA2, Sepang ke Brunei dan Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan anggota kumpulan itu, Aqif Huessin Rahaiza.

Ummi Khalsom, seorang penolong pegawai kredit yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, klia2, pada pukul 5.20 pagi, 5 Oktober 2014.

Bagi kesalahan itu, Ummi Khalsom didakwa mengikut Seksyen 130J9(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J.

Ia memperuntuk hukuman penjara tidak lebih daripada setengah daripada tempoh hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun, atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Ummi Khalsom turut didakwa atas tuduhan pilihan iaitu dengan cara mengambil penerbangan pesawat Airasia dari klia2 ke Brunei kerana cuba memberi sokongan kepada IS dengan memasuki Syria dari Brunei ke Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan Aqif Huessin bagi manfaat kumpulan itu.

Kesalahan itu dituduh dilakukan pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Hakim Aizatul Akmal Maharani menetapkan 20 November untuk sebutan bagi membolehkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Aizatul Akmal tidak membenarkan sebarang jaminan kerana kes berkenaan tidak memperuntukkan tertuduh dijamin dan akan ditahan sementara menunggu perbicaraan selesai.

Sepanjang prosiding, Ummi Khalsom yang bertudung labuh dan berjubah hitam kelihatan tenang dan mengganguk sebagai tanda faham atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Sharuddin Wan Ladin. - mstar