Terima SMS adik maut kemalangan di Russia - Pelajar Malaysia maut kemalangan di Rusia | Boros Di Aralom

Selasa, 4 September 2012

Terima SMS adik maut kemalangan di Russia - Pelajar Malaysia maut kemalangan di Rusia

Ibu dan kakak kepada pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di Rusia.
PUTRAJAYA: “Kami pun pelik apabila dia tak jawab SMS. Biasanya dia akan menghubungi keluarga sebaik tiba di sana, tetapi kali ini dia langsung tak memberitahu kami sekeluarga,” kata Adzlin Dimyati, 27, kakak kepada pelajar Malaysia, Adzreen, 22, yang terbunuh dalam kemalangan di Nizhny, Russia.

Menurutnya, dia mengirimkan SMS kepada adiknya itu jam 12 tengah malam kelmarin untuk mengetahui sama ada sudah tiba di Russia atau tidak.

“Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) saya dapat SMS daripada abang yang memberitahu adik saya meninggal dunia akibat kemalangan. “Abang saya dapat tahu selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghubunginya jam 9 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Presint 9, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin waktu tempatan (3 pagi semalam waktu Malaysia) itu, Adzreen bersama enam rakan lain, semuanya pelajar Malaysia dalam perjalanan dari lapangan terbang ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod dengan sebuah bas.

Bagaimanapun, bas dinaiki terbabit kemalangan di wilayah Vladimirskaya, kira-kira 120 kilometer dari wilayah Nizhny, berpunca daripada pemandu yang gagal mengawal kenderaan kerana dikatakan terlelap.

Kejadian itu menyebabkan Adzreen, seorang pelajar ditaja JPA, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital manakala rakannya, Hanisah Muhd Shah, pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dari Dungun, Terengganu terbunuh di tempat kejadian. Lima yang cedera dalam kemalangan itu ialah pelajar tajaan Mara iaitu Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza. Mereka pelajar kursus perubatan yang akan meneruskan tahun kelima pengajian di akademi berkenaan.

Adzlin berkata, adiknya yang lebih mesra dipanggil ‘An’ pulang ke Russia selepas bercuti semester selama tiga bulan di tanah air.

“Sepanjang tiga bulan bercuti kami tidak nampak sebarang perubahan terhadap dirinya. Malah, kami sekeluarga gembira kerana dapat menyambut Aidilfitri bersama.

“Kami empat beradik sangat rapat dan dia baik dengan kembarnya, Adzwin. Malah, sebelum ini mereka tidak pernah berpisah kerana bersekolah sama iaitu di Kolej Tengku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan, belajar dalam kelas sama dan menyambung pelajaran ke peringkat A Level di tempat sama.

“Pertama kali mereka berpisah ketika menyambung pengajian di peringkat universiti apabila Adzwin menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Poland,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Zainol Abidin Omar berkata, pihak kedutaan berusaha untuk membawa pulang jenazah dengan segera.

Menurutnya, kakitangan kedutaan juga segera ke Hospital Viyazniky di Vladimirskaya untuk melawat pelajar yang cedera. - myMetro


Tiada ulasan: