Edisi Blogger: 2014

Sabtu, 15 November 2014

Tun Mahathir kata BR1M umpama merasuah rakyat..apa kata Najib?

SHAH ALAM - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan tidak ubah seperti memberi rasuah kepada rakyat. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, itu antara sebab utama beliau menentang pemberian bantuan tunai pada skala besar seperti itu.

"Jika ia (BR1M) diberikan hampir pada tarikh pilihan raya atau jika manifesto menjanjikan ia (pemberian tunai), tanggapan bahawa (BR1M digunakan) untuk membeli undi memang tidak boleh diketepikan.

"Jika ingin naikkan pendapatan (rakyat), ia perlu dibuat dengan menghasilkan peluang bekerja atau berniaga," katanya dalam artikel baharu bertajuk BR1M yang disiarkan di blog beliau, chedet.cc.

Mengakui dirinya bukan pakar ekonomi atau kewangan terlatih, Dr Mahathir berkata beliau faham mengenai BR1M dan manfaatnya kerana beliau sendiri sebelum ini pernah membuat keputusan mengenai perkara berkaitan ekonomi dan kewangan yang dilihat memberikan hasil baik kepada negara.

"Saya memang menentang pemberian wang tunai sebagai cara meningkatkan pendapatan rakyat sejak awal lagi. Jika ada pun, bantuan kewangan perlu diberikan kepada miskin tegar yang tidak mampu bekerja untuk mendapatkan pendapatan," tegasnya.

Menurutnya, selain kelihatan seperti rasuah, BR1M mempunyai kesan negatif yang lebih banyak berbanding itu kerana ia meningkatkan kebergantungan individu terhadap kerajaan untuk pendapatan sendiri, tanpa sebarang usaha.

"Ia melemahkan karakter individu dan mengurangkan daya saing dalam pasaran," katanya.

Menurutnya, untuk menjadi negara berpendapatan tinggi seperti disasarkan Malaysia menjelang 2020, ia perlu datang daripada peningkatan dalam produktiviti.

Dr Mahathir berkata, produktiviti yang tinggi diperoleh daripada pendidikan dan latihan lebih baik.

"Seseorang buruh tidak boleh jadi lebih produktif berbanding mekanik atau tukang yang mahir dalam sesuatu pekerjaan tangan. Mereka ini pula tidak seproduktif seorang jurutera.
"Keupayaan meningkatkan produktiviti datang daripada nilai tambah lebih besar terhadap produk," katanya.

Menurutnya, pemberian wang tidak meningkatkan produktiviti, menyebabkan daya saing tidak akan bertambah baik.

Akibatnya, beliau berkata, ekonomi tidak akan tumbuh sepenuhnya dan negara-negara seperti ini terpaksa bergantung kepada pekerja, eksekutif dan usahawan asing.

Pendapatan tinggi bukan penentu kemajuan negara

"Kita mahu menjadi negara maju menjelang 2020. Kita rasa ini boleh dilakukan dengan menaikkan pendapatan purata ke tahap tertentu. Ini (penjelasan yang) mengelirukan.

"Segelintir orang yang mempunyai pendapatan sangat tinggi akan mengherotkan (nilai) pendapatan purata. Pendapatan per kapita tidak sepatutnya menjadi ukuran pencapaian kita sebagai status negara mahu. Penekanan terhadap pendapatan tinggi semata tidak cukup," katanya.

Beliau berkata, ia akan lebih mengelirukan jika pendapatan itu adalah disebabkan pemberian kerajaan.

Dr Mahathir menekankan, untuk menjadi negara maju, Malaysia perlu setanding dengan negara maju dari segi pendidikan, teknologi dan pengetahuan industri, pembangunan dan penyelidikan, infrastruktur setara dan pendapatan tinggi untuk semua rakyat.

"Jadi  mustahak membelanjakan wang bagi pendidikan dan latihan bertahap lebih tinggi, membina keupayaan kejuruteraan dan industri, untuk menjadi produktif dan berdaya saing, membina infrastruktur kelas pertama dan untuk menjadi penyelidik, pencipta dan pembangun," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Mahathir berkata, ada kerajaan sosialis dan komunis yang pernah cuba memperbaiki pendapatan rakyat mereka melalui pemberian wang dan memberikan kemudahan sokongan secara percuma untuk memastikan rakyat mempunyai kehidupan baik.

"Tetapi Sosialisme dan Komunisme telah gagal. Mereka akhirnya memilih perusahaan bebas dan kerja kuat," tegasnya.

Katanya, Malaysia pernah menggunakan dasar menggalakkan industri yang menggunakan ramai buruh kerana pada masa itu, rakyat tidak mempunyai pekerjaan dan tiada pendapatan. - Sinarharian

Apa pulak kata Najib mengenai BR1M?....


Anyway....


(Sumber gambar edit Najib: Google jer)

Jumaat, 14 November 2014

Dua rakyat Malaysia sertai Ratu Cantik Pondan Antarabangsa 2014...pergh!! memang cantik bonar..

KUALA LUMPUR: Dua orang ‘ratu pondan’ daripada Malaysia menyertai pertandingan Ratu Cantik Pondan Antarabangsa 2014 (Miss International Queen 2014) yang diadakan di Pattaya, Thailand.

Dua orang peserta itu adalah Cicie Sinclair dan Hendra yang mewakili Malaysia dalam pertandingan kecantikan terbesar di dunia. Pertandingan ratu cantik itu secara jelas telah mempromosikan hak-hak transeksual dan wanita.

Acara ini sudah menjadi acara tahunan dan dikenali sebagai Miss International Queen. Pertandingan ini disertai ‘ratu-ratu’ cantik dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Bagi tahun ini, selain Malaysia, 19 negara lain turut menghantar wakil mereka bagi merebut kejuaraan. Antara negara yang turut menyertai pertandingan ratu cantik pondan itu adalah dari negara Filipina, Brazil, Venezuela, Mongolia, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat.

Dalam pertandingan itu, peserta dari Venezuela, Isabella Santiago berjaya untuk bergelar juara dan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM41,800. Malah, pemenang pada tahun ini juga berhak untuk memilih menjalani pembedahan kosmetik secara percuma.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan telah mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan ke­rana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan. Beliau berkata, keinginan untuk ber­pakaian seperti wanita dan diiktiraf se­bagai seorang wanita dikenal pasti sebagai sebahagian masalah dari segi perubatan dan tiada rawatan farmakologi atau terapi psikologi yang telah dibuktikan secara saintifik bagi mengatasi masalah seperti itu.

Hishamudin berkata, penghidap GID akan terus hidup dalam keadaan tidak pasti, sengsara dan rasa malu sekiranya Seksyen 66 masih dikuatkuasakan dan menurutnya, ketetapan itu telah mewujudkan keadaan tidak selamat dan terdedah kepada penghinaan dalam kehidupan lelaki Islam yang menghidap GID.

“Undang-undang sedia ada menghukum golongan transeksual yang mempamerkan gender mereka, mencemarkan maruah dan nilai individu yang menghidap GID dalam masyarakat kita. Seksyen 66 secara langsung menjejaskan hak mereka untuk hidup secara bermaruah seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sekiranya nilai mereka sebagai anggota masyarakat diketepikan,” katanya. - FMT

Ini dia wajah dua 'ratu cantik' Malaysia tersebut...pergh!! memang lah cantik....tapi...lu pikir la sendiri

 (Kredit foto: www.missinternationalqueen.com via FMT)

Amah Indonesia mangsa ‘tamparan buaya’ Raja Bomoh

PETALING JAYA: Raja Bomoh 1Malaysia Mat Zin dikatakan telah memukul dan membelasah pembantu rumahnya Menik Fitriyanti, 47 tahun sehingga menerima jahitan sepanjang 30 sentimeter selain daya ingatannya terjejas.

Menurut portal rri.co.id, Menik bertindak bertindak melarikan diri dan pulang ke kampung halaman di Kota Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia pada 4 November lalu selepas dipercayai tidak tahan didera sejak setahun lalu.

Sementara itu, anak perempuan mangsa, Alfa Nurismayanti berkata ibunya sering dipukul Mat Zain atau nama sebenar Datuk Ibrahim Mat Zain sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Jelas Alfa, setahun lalu ibunya memberitau bahawa dia tidak mahu lagi bekerja di Malaysia dan ingin pulang ke kampung halaman namun dihalang majikannya.

“Pada jam tiga petang hari berkenaan, tanpa disedari, ibu pulang secara tiba-tiba dan berada di tanah perkuburan ayah, di belakang rumah kami.

“Namun begitu, ibu tidak mahu bercakap dan sehingga hari ini, kami sekeluarga tidak mengetahui bagaimana dia boleh pulang ke rumah,” katanya.

Pada masa yang sama Alfa berkata, kesan luka di leher, perut serta kaki ibunya juga turut kelihatan, ekoran daripada didera ‘Raja Bomoh’ itu dan sehingga kini ibunya masih lagi berada dalam keadaan trauma .

Ujarnya lagi, disebabkan ibunya bekerja di Malaysia secara tidak sah, maka pihak keluarganya tidak mengharapkan sebarang bentuk bantuan daripada pihak berkuasa. Apa yang lebih penting bagi beliau (Alfa) adalah merawat dan menyembuhkan kecederaan yang dialami ibunya.

Kes Menik juga turut menjadi liputan meluas stesen televisyen Indonesia dan pihak berkuasa Indonesia juga akan memberi perhatian terhadap isu penderaan tersebut. - FMT

Rabu, 12 November 2014

Fara Fauzana jelas isu Master

PENYAMPAI radio dan pengacara popular, Fara Fauzana, 34, mendedahkan tidak ada sebarang perjanjian yang di buat bersama pihak Geomatika University College di atas penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana (Master) Komunikasi Massa kepadanya.

Jelas Fara, tidak ada istilah memberi publisiti percuma kerana tiada sebarang kerjasama yang dilakukan dengan pihak kolej tersebut untuk tujuan promosi.

“Saya amat bersyukur dengan penganugerahan yang diberikan ini. Cuma orang di luar sana kena ingat, ini bukan pertama kali sesebuah universiti atau kolej memberi pengiktirafan sebegini, tapi mungkin saya penyampai radio, jadi kedengaran agak janggal.

"Apa pun tidak ada istilah mereka mempergunakan saya kerana pihak Geomatika sendiri tidak membuat sebarang hebahan di atas penganugerahan ini.

"Orang lain cuma tahu selepas pihak AM Krew membuat kejutan di radio minggu lalu," katanya yang ditemui media, baru-baru ini.

Tambah Fara lagi, dia sendiri sebenarnya sudah lama merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana, namun belum berkesempatan untuk berbuat demikian.

"Sejak 2004 lagi, saya merancang untuk menyambung pengajian di  Universiti Teknologi Mara (UiTM). Namun kerana tuntutan kerja saya belum berkesempatan untuk menyambung pengajian. Namun, kita hanya merancang dan Allah SWT yang menentukan," akhirinya. -Sinarharian

Sarawak larang lelaki berpakaian wanita

Kerajaan negeri tidak akan membenarkan lelaki berpakaian seperti wanita yang menyalahi ajaran Islam di sini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, walaupun keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 November lalu menyebelahi 'golongan' berkenaan, Sarawak tetap tidak membenarkannya.

“Kami terima keputusan mahkamah itu, tetapi tetap pada pandangan bahawa lelaki berpakaian wanita atau wanita berpakaian seperti lelaki adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Oleh yang demikian, kita mengharapkan pihak-pihak berkenaan dapat memohon agar membuat rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan agar keputusan berkenaan dapat dipertimbangkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mahkamah yang telah mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri makan tengah hari bersama 26 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan bersama guru pengiring ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam lawatan empat hari ke Sarawak.

Tambahnya, di Sarawak terdapat juga kes sedemikian yang mana lelaki menggunakan pakaian wanita namun pihaknya menasihatkan mereka dan setakat ini tiada kes dibawa ke mahkamah. -UTUSAN

Anak David Beckham, Brooklyn Wakili Arsenal

BROOKLYN Beckham iaitu anak sulung kepada bintang bola sepak dunia, David Beckham dilaporkan telah menandatangani perjanjian jangka pendek bersama Arsenal.

Brooklyn, 15, yang sedang menjalani latihan di akademi Arsenal akan mewakili skuad bawah 16 tahun kelab tersebut.

Anak kepada bekas ketua pasukan England itu dilaporkan turut mendapat perhatian daripada Chelsea dan Manchester United.

Dia juga pernah menjalani ujian pemilihan pemain yang diadakan oleh Chelsea, United, Queens Park Rangers dan Fulham.

Brooklyn yang bermain di posisi sayap kanan akan ditawarkan kontrak sebagai pemain profesional jika berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan dalam tempoh perjanjian tersebut.

Pemain muda hanya dibenarkan menurunkan tandatangan sebagai pemain profesional ketika berusia 17 tahun.

Bapanya, David sebelum ini telah menempah nama di Manchester United di bawah kendalian Alex Ferguson, namun mereka mempunyai hubungan lebih akrab dengan Arsenal.

David mempunyai hubungan baik dengan Arsenal apabila dia diberikan peluang untuk berlatih dengan Arsenal pada Januari tahun lalu untuk kekal cergas selepas meninggalkan LA Galaxy.

Dia kemudian mewakili Paris Saint-Germain sebelum bersara sebagai pemain pada usia 39 tahun.

Selain Brooklyn, dua lagi anak David iaitu Cruz, 9, kini beraksi untuk pasukan bawah 10 tahun manakala abangnya, Romeo, 12, mewakili skuad bawah 13 tahun Arsenal. - mstar

Selasa, 11 November 2014

Ujian air kencing sahkan lelaki ini hamil? Biar betol

KAHERAH - MESIR. Seorang lelaki yang merupakan pemandu bas didapati hamil dua bulan setelah melalui ujian saringan air kencing yang dilakukan dalam satu pemeriksaan baru-baru ini.

Kenyataan tersebut disahkan oleh pegawai perubatan yang melakukan ujian air kencing bagi mengesan pengambilan dadah oleh pemandu bas di sebuah syarikat di negara tersebut.

Menurut pegawai tersebut, lelaki itu pada awalnya bertegas memaklumkan bahawa contoh urin tersebut adalah miliknya sebelum pegawai tersebut mengucapkan tahniah ke atas kehamilannya.

“Tahniah, anda hamil!” kata pegawai tersebut seperti yang dipetik melalui portal berita BBC.

Setelah didesak berkali-kali, akhirnya pemandu bas itu mengakui mengambil sampel air kencing isterinya selain tidak sedar bahawa isterinya hamil dua bulan.

Lelaki tersebut juga mengakui bahawa pertukaran contoh air kencing adalah perkara lazim dilakukan pemandu bas negara itu bagi mengelakkan dikesan berikutan pengambilan dadah.

Baru-baru ini, stesen berita tempatannya, AlJazeera melaporkan peningkatan penggunaan dadah jenis tramadol, sejenis pil penahan sakit yang dikatakan boleh menambah tenaga.

Menurut laporan lagi, dadah jenis itu senang didapati dan dijual dengan harga yang berpatutan, membuatkan pengambilan dadah di kalangan penduduk di negara tersebut meningkat secara berterusan.

Menurut pakar psikologi, Dr Emad Hamdi, kebanyakan individu yang mengambil pil tramadol secara rutin tidak sedar bahawa mereka menjadi ketagih dengan dadah jenis itu.

“Ada sesetengah individu mengambil dadah tersebut untuk menambah tenaga bagi yang bekerja, namun akhirnya mereka akan jadi ketagih.

“Jika pengguna mengambil ubat tersebut selama beberapa hari secara berterusan, pengguna akan terus menggunakan ubat tersebut tanpa henti,” jelasnya.

Sementara itu, dalam laporan yang sama, Lembaga Pengangkutan Awam Mesir menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas pemandu bas tersebut.

Menurut jurucakapnya, pihaknya akan mengambil ujian darah bagi mengesan pengambilan dadah ke atas pemandu bas pada masa akan datang.

Katanya lagi, ia bagi mengelakkan pihak berkuasa diperdaya dengan kaedah yang sama digunakan oleh pemandu bas terbabit. - Sinarharian

Isnin, 10 November 2014

Firman Juara AF 2014, Menang RM50,000 & Kereta Vios

SHAH ALAM: Peserta berasal dari Sabah, Firman, 25, diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pada malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000, Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo, percutian ke Osaka Jepun beserta trofi sumbangan Astro yang disampaikan oleh pengetua, Datuk Hattan.

Pada pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria itu, Firman menyanyikan lagu berjudul Kejoraku Bersatu nyanyian Amy Search dan sebuah lagu baharu, Di Pintumu ciptaan Datuk M.Nasir.

Tempat kedua diungguli peserta daripada Melaka iaitu Aman atau nama sebenarnya Mohd Razman Abdul Aziz, 21, dengan membawa pulang wang tunai RM30,000, Produa Myvi 1.3, percutian ke Osaka Jepun, dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Sementara, tempat ketiga dimenangi oleh Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, 22 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, percutian ke Osaka Jepun serta trofi.

Manakala tempat keempat dan kelima dimenangi oleh Nuha dan Adel masing-masing menerima RM15,000 dan RM10,000 berserta percutian ke Osaka Jepun dan trofi.

Sementara itu, Nuha turut dipilih memenangi anugerah khas wang tunai RM10,000 daripada D'Herbs sebagai pelajar paling banyak menunjukkan perubahan sepanjang 10 minggu AF 2014 bersiaran.

Senarai pemenang diumumkan oleh pengacara Zizan Razak, Faizal Ismail dan Jihan Musa.

Selain juri tetap, Ramli MS dan Raja Azura, turut diundang sebagai pengkritik ialah Amy Search.

Selain persembahan para peserta, malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan persembahan Bunkface, Amy Search, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Mas Idayu. - mstar

Sabtu, 8 November 2014

Ujian sampel B sah positif dadah - Adakah ia milik Lee Chong Wei?

KUALA LUMPUR - Ujian doping sampel B milik seorang pemain badminton terkenal negara disahkan positif serta mengandungi bahan terlarang dexamethason.

Keputusan berkenaan diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat BAM di sini hari ini.

Bagaimanapun, nama atlet badminton itu tidak akan diumumkan sehingga pengumuman jatuh hukum dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF). - KOSMO!

p/s: Adakah Lee Chong Wei yang dimaksudkan? Kena tunggu pengesahan dari BAM

Yusof Haslam Anggap Wardina Tidak Matang Komen Isu Buli

PETALING JAYA: Presiden, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam menyifatkan kenyataan aktres Wardina Safiyyah menyalahkan filem-filem gengster tempatan sebagai punca terjadinya kes buli melibatkan pelajar sekolah di negara ini merupakan pendapat yang tidak matang.

Yusof berkata, sepatutnya sebagai seorang yang berpelajaran seperti Wardina, dia perlu berfikiran luas dan tidak menuding jari pada satu pihak tanpa mengkaji dahulu punca-punca gejala sosial itu berlaku.

"Saya tidak setuju dengan kenyataannya itu kerana ia lebih berunsur emosi tanpa berfikir secara matang. Dia melihat pada skop di satu pihak sahaja.

"Kita juga sedia maklum, masalah gejala sosial ini sudah lama berlaku dan secara logiknya, adakah patut filem tempatan kita dipersalahkan?

"Bukankah banyak lagi akses lain yang lebih mudah terutamanya menerusi Internet untuk golongan remaja zaman kini untuk menonton video-video yang tidak sepatutnya?," soalnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Wardina menerusi laman Facebook miliknya pada Khamis meminta agar penerbit filem-filem berunsur gengster supaya bertanggungjawab terhadap kes buli melibatkan pelajar sekolah yang semakin berleluasa di negara ini.

Wardina berkata, kebanyakan filem gengster yang ditayangkan memberi inspirasi kepada penonton untuk melakukan tindakan ganas sama seperti pelakon-pelakon popular di layar lebar.

Sementara itu. Yusof berkata, kenyataan Wardina itu dapat menjejaskan lagi industri perfileman negara yang sememangnya sedang 'nazak'.

"Kenyataan dia ternyata telah mengguris kebanyakan penggiat filem negara ini. Kalau orang negara luar tahu tentang isu yang timbul ini, mereka akan gelak, buat malu orang Malaysia saja.

"Ini kerana secara logiknya, filem-filem ganas tidak ada nilai untuk ditiru aksinya berbanding video-video di internet, di mana kanak-kanak pun boleh buka dan menontonnya jika tiada kawalan daripada ibu bapa," tegasnya.

Pada awal minggu lalu, tersebar sebuah klip video kes buli yang telah menjadi viral di Facebook.

Klip video selama lima minit itu dirakam di asrama dan dipercayai berlaku di sekolah berasrama penuh, menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki sedang dipukul oleh rakan sekolah mereka.

Selepas itu muncul pula video seorang remaja dipukul rakan-rakannya sehingga cedera. - mstar

Lazada kena maki oleh Awal Ashaari di Instagram

Sekarang ni dah jadi trend untuk membeli-belah menerusi atas talian sahaja kan? Sesetengah orang berpendapat bahawa ia lagi mudah dan menjimatkan masa.

Mana taknya, anda tak perlu nak tempuh jalan jam, tak perlu berpusing satu shopping mall untuk cari parking dan tak perlu untuk angkat barang berat-berat. Hanya dengan klik dan klik, semua barang akan dihantar terus ke rumah.

Tapi, setiap perkara mesti ada keburukannya. Terkini, pengacara popular, Awal Ashaari nampaknya dah naik angin dengan perkhidmatan online department store, Lazada yang telah membatalkan pesanannya.

Ini bukan kali pertama ya pihak Lazada membatalkan pesanan Awal, tetapi merupakan kali kedua dalam masa sebulan. Patutlah pun Awal naik berang.

Rasanya perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan Lazada supaya pembeli tidak hilang kepercayaan terhadap mereka. Al-maklumlah, Awal boleh dikatakan sebagai seorang selebiti yang agak berpengaruh juga. - ohbulan

Jumaat, 7 November 2014

Lima Pelajar Mengaku Bersalah Merusuh Di Asrama Anak Yatim

KANGAR: Lima pelajar mengaku bersalah di Mahkamah Juvana Kangar pada Khamis atas tuduhan merusuh sehingga menyebabkan seorang rakan mereka tercedera.

Seorang lagi tertuduh, tidak hadir pada prosiding itu.

Kesemua tertuduh yang berumur 13 hingga 15 tahun itu didakwa dalam satu kumpulan mendatangkan kecederaan kepada Noor Azhar Saad, 11 tahun, antara 1 tengah hari pada 31 Mei dan 2 petang, 1 Jun di asrama anak yatim, Kompleks Penyayang Tun Dr Siti Hasmah, Jejawi, dekat sini.

Kesemua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bercakap kepada pemberita Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Mohamad Sabri berkata Majistret Norhayati Ibrahim menetapkan masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Disember untuk menjatuhkan hukuman.

Syazwani berkata seorang lagi tertuduh yang tidak hadir akan didakwa kemudian.

Kesemua remaja itu tidak diwakili peguam manakala peguam Razairul Hafiz Md Razib bertindak sebagai peguam pemerhati.

Kejadian buli terhadap Noor Azhar dirakam dan dimuat naik dalam Facebook serta media sosial baru-baru ini sehingga mendapat simpati orang ramai terhadap mangsa. - mstar

Selasa, 4 November 2014

Pelajar tingkatan 4 sesat di Hutan Lipur Sekayu ditemui mati

Pelajar tingkatan 4 yang hilang sewaktu menyertai perlumbaan maraton di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang di Kuala Terengganu sejak Sabtu lepas ditemui mati oleh sukarelawan mencari dan menyelamat.

Ahmad Rafikin Azman, 16, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu itu ditemui oleh anggota penyelamat sekitar 3.30 petang di celah batu, tidak jauh dari trek perlumbaan.

Timbalan Ketua Polis Hulu Terengganu, ASP Rosli Amir ketika ditemui hanya memberi kenyataan ringkas berkenaan penemuan mangsa yang hilang sejak tiga hari lepas.

"Mangsa selamat dibawa turun kira-kira 6.40 petang tadi dan ditemui oleh pasukan penyelamat di celah batu. Dia dihantar ke Rumah Mayat Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat," katanya.

Dalam keadaan hujan lebat, operasi membawa turun mangsa memakan masa hampir tiga jam berikutan cuaca yang buruk dan laluan yang licin.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi khemah operasi mencari dan menyelamat apabila anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak dan ada antara mereka pengsan sejurus mendapat berita sedih itu.

Ahmad Rafikin dilaporkan hilang se tidak menamatkan perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira pukul 6 petang Sabtu.

Azman sebelum itu memaklumkan kepada pihak penganjur  beliau tidak menemui Ahmad Rafikin yang sepatutnya diambilnya kira-kira 3 petang selepas acara itu.

Operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota pasukan bomba dan penyelamat, polis, Rela, tentera serta penduduk kampung turut disertai anggota keluarga mangsa. – Bernama

Isnin, 3 November 2014

#AF2014 : Azwan Tersingkir, Adel Diserap Masuk AF 2014

SHAH ALAM: Pelajar Adel yang disingkir pada dua minggu lalu kembali bersaing ke dalam Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) apabila dipilih menerusi AF Serap pada konsert separuh akhir malam Ahad.

Konsert tersebut diadakan secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pemilihan AF Serap yang dipilih menerusi fakulti AF 2014 itu pernah diperkenalkan dalam rancangan AF sebelum ini iaitu membawa masuk semula pelajar yang pernah tersingkir.

Adel mengiringi empat peserta lain iaitu Firman, Aman, Ewal dan Nuha untuk berentap pada peringkat akhir di minggu hadapan.

Bagaimanapun peserta Azwan gagal ke peringkat akhir AF 2014 selepas diumumkan tersingkir oleh pengacaranya, Zizan Razak dan Faizal Ismail.

"Saya terima dengan kekalahan ini tetapi ini bukan perjalanan akhir di bidang ini.

"Sebaliknya saya akan terus berusaha untuk menjadi seorang penyanyi profesional di arus perdana," kata Azwan.

Pada malam konsert tersebut pelajar-pelajar ditugaskan untuk membuat dua persembahan iaitu secara solo dan duet.

Untuk tugasan solo, Aman, 21 mempersembahkan lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain, Azwan, 30 (Cinta Sesungguhnya nyanyian Sabhi Sadhi), Ewal, 22 (Rude nyanyian Magic), Nuha, 21, (Ku Pendam Sebuah Duka nyanyian Datuk Khadijah Ibrahim) dan Firman, 25 (Nur Nilam Sari nyanyian Awie dan Search).

Tugasan lagu duet pula,  Aman membawakan lagu  Kalau Cinta menampilkan Marsha, Azwan (Tanda Kasih, menampilkan Noraniza Idris), Ewal (Muara Hati, menampilkan Adira), Nuha (Cintamu Mekar Di Hati menampilkan Mus May) dan Firman (Seribu Tahun Takkan Mungkin, menampilkan Joey Bumiputra Rockers).

Juri tetap program itu ialah Datuk Ramli MS dan Raja Azura manakala penyanyi Fauziah Latif pula sebagai juri undangan pada minggu tersebut.

AF 2014 ditayangkan secara langsung setiap Ahad pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104). - mstar

Ahad, 2 November 2014

Pukul Anak Guna Kabel Brek Basikal

KOTA BHARU - Seorang bapa hilang  pertimbangan apabila sanggup memukul anaknya yang berusia 12 tahun menggunakan kabel brek basikal, mencekik leher dan menendang kaki serta tangan sehingga cedera selepas mendapati anaknya itu mencuri telefon bimbit sepupunya dalam kejadian di Pasir Hor, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa luka dan lebam di belakang badan, kaki serta tangan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan
Zainab II (HRPZ II), di sini, oleh neneknya untuk dirawat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, sebelum kejadian bapa mangsa yang berusia 38 tahun membawa anak ke rumah sepupunya untuk menyerahkan kembali telefon bimbit dicuri.

Katanya, sebaik mangsa menyerahkan telefon bimbit itu, bapanya mengambil kabel brek basikal di bawah rumah dan memukul mangsa.

"Mangsa dibawa pulang ke rumahnya sebelum sekali lagi dipukul dengan kabel berkenaan, dicekik leher dan ditendang kaki serta tangan. - Harian Metro

Foto: Rozita Che Wan Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

Hari yang dinantikan sudah tiba. Pelakon wanita berusia 41 tahun ini akhirnya telah selamat melahirkan bayi perempuannya hari ini. Malah, kedua-dua mereka dilaporkan sihat.

Menurut laporan Hlive! lagi, Rozita Che Wan dikatakan selamat melahirkan anak hasil perkahwinannya dengan Zain Saidin itu pada pukul 2.18 petang tadi di Pusat Perubatan Ampang Puteri.

Menerusi foto yang dimuat naik oleh Ayu Raudhah, nampaknya tekaan kami mengenai kecomelan baby girl Rozita Che Wan dan Zain Saidin ini memang tepat!

Namun, nama untuk si putih melepak ini masih belum didedahkan lagi. Khabarnya ia hanya akan diumumkan seminggu selepas hari kelahirannya. Tahniah diucapkan buat Che Ta dan Zain Saidin! - ohbulan

MH17: Nenek Tiri Najib & Hishammuddin Dikenal Pasti Mangsa Terakhir Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Mayat Puan Sri Siti Amirah Kusuma, 83, mangsa terakhir rakyat Malaysia dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 telah dikenalpasti. 

Siti Amirah merupakan nenek tiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Perkara tersebut dimaklumkan Hishammuddin hari ini setelah mayat tersebut disahkan pasukan forensik di Belanda semalam. 
 
"Syukur Alhamdulillah mayat kesemua penumpang (rakyat Malaysia) yang menjadi mangsa tragedi MH17 telah dikenal pasti. 
 
"Ini salah satu tanggungjawab serta janji yang telah ditunaikan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada keluarga mangsa serta rakyat Malaysia dalam hal ini," katanya pada sidang media di sini selepas menyempurnakan penutupan Konvensyen Umno Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). 
 

"Saya diberitahu bahawa keluarga Allahyarham ingin mengebumikan jenazah di Amsterdam memandangkan anaknya menetap di sana. Maka tiada lagi istiadat penghormatan akan dilakukan di negara ini," kata Hishamuddin. 

Dengan perkembangan terbaru itu, kesemua 43 jenazah rakyat Malaysia kini telah dikenalpasti. 

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Sehingga kini, sebanyak 278 jenazah daripada 298 mangsa telah dikenal pasti oleh pasukan forensik di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum, Belanda.

Hishammuddin berkata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan melakukan tindakan susulan bagi menentukan kesemua mangsa tragedi mendapat pengadilan. - mstar

Sabtu, 1 November 2014

Antara sebab kenapa anda harus berhati-hati dengan lembu

LUKUT - Angkara dua kumpulan lembu sedang bergaduh di jalan raya, seorang penunggang motosikal cedera.

Kejadian berlaku di Taman Tasik Bandar Springhill, di sini kira-kira 2.30 petang semalam, apabila mangsa, R Selvaraj, 62, dilanggar salah seekor haiwan berkenaan.

Mangsa yang luka di beberapa anggota badan termasuk sakit di bahagian dada menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berseorangan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Fasa 2 Bandar Springhill.

Menurut Selvaraj, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia ternampak dua kumpulan membabitkan kira-kira 40 ekor lembu di kiri dan kanan jalan.

“Tiba-tiba seekor lembu yang berada di pembahagi jalan seperti sedang bergaduh berlari ke arah motosikal saya menyebabkan saya tidak sempat mengelak dan terjatuh.

“Mujur lembu itu tidak pijak atau terus menyerang saya," katanya yang mendapat rawatan di Hospital Port Dickson (HPD).

Selvaraj berkata, dia kesal kerana pemilik lembu membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di kawasan perumahan dan jalan raya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Rozi Ithnin berkata, MPPD menerima banyak aduan berkaitan haiwan peliharaan terutama lembu berkeliaran di kawasan awam termasuk jalan raya.

“Dalam masa sama, MPPD menjalankan operasi menangkap lembu berkeliaran tanpa jagaan pemilik atau penjaganya di kawasan awam.

“Jika pemilik lembu masih berdegil dan tidak mengawasi haiwan ternakan masing-masing, MPPD tidak akan bertolak ansur. Tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap mereka,” katanya. - Sinar Harian

Wanita Tempatan Cuba Kahwin Militan IS Didakwa

SEPANG: Seorang wanita hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba menjadi anggota kumpulan militan digelar Negara Islam (IS).

Ummi Khalsom Bahok, 25, didakwa cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan pesawat Airasia dari KLIA2, Sepang ke Brunei dan Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan anggota kumpulan itu, Aqif Huessin Rahaiza.

Ummi Khalsom, seorang penolong pegawai kredit yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, klia2, pada pukul 5.20 pagi, 5 Oktober 2014.

Bagi kesalahan itu, Ummi Khalsom didakwa mengikut Seksyen 130J9(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J.

Ia memperuntuk hukuman penjara tidak lebih daripada setengah daripada tempoh hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun, atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Ummi Khalsom turut didakwa atas tuduhan pilihan iaitu dengan cara mengambil penerbangan pesawat Airasia dari klia2 ke Brunei kerana cuba memberi sokongan kepada IS dengan memasuki Syria dari Brunei ke Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan Aqif Huessin bagi manfaat kumpulan itu.

Kesalahan itu dituduh dilakukan pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Hakim Aizatul Akmal Maharani menetapkan 20 November untuk sebutan bagi membolehkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Aizatul Akmal tidak membenarkan sebarang jaminan kerana kes berkenaan tidak memperuntukkan tertuduh dijamin dan akan ditahan sementara menunggu perbicaraan selesai.

Sepanjang prosiding, Ummi Khalsom yang bertudung labuh dan berjubah hitam kelihatan tenang dan mengganguk sebagai tanda faham atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Sharuddin Wan Ladin. - mstar

Jumaat, 31 Oktober 2014

Tidak Boleh Berniaga Jika Tidak Bertudung

KOTA BARU: Jika tidak bertudung, anda tidak boleh terlibat dengan aktiviti perniagaan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan mencetuskan satu lagi kontroversi dengan memberi amaran bahawa mereka akan menguatkuasakan kod pakaian Islam kepada kumpulan yang terlibat dalam perniagaan.

PBT Kelantan memulakan Operasi Gempur Aurat iaitu mengenakan denda maksimum RM500 terhadap peniaga dan pekerja wanita yang tidak menutup rambut mereka dan memakai pakaian ketat.

Keputusan itu berlaku untuk wanita yang bekerja di pasar basah, pasar raya, pasar raya besar, kedai makanan dan pusat-pusat komersial lain yang memerlukan lesen operasi daripada PBT.

Pengusaha bukan Islam juga berisiko didenda jika pekerja mereka yang beragama Islam tidak mematuhi peraturan pemakaian seperti jika majikan mengarahkan pekerjanya untuk memakai pakaian seragam ketat dan berlengan pendek.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Wanita Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB), Nor Azariza Mohd Alawi berkata tindakan keras itu adalah tindak balas kepada aduan orang ramai.

"Peraturan pakaian ini adalah salah satu syarat untuk mendapatkan permit perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.

Tambah Nor Azariza, peraturan itu hanya dikenakan ke atas orang-orang 'berinteraksi' dengan orang ramai.

Sejak Ops Gempur Aurat dimulakan pada September lalu, 34 pesalah telah didenda.

Beliau berkata tindakan keras di Kota Baru itu akan berakhir pada Disember depan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB, Ropein Hassan berkata, permohonan untuk melonggarkan syarat itu tidak akan dilayan kerana kod pakaian itu ditetapkan dengan jelas dalam permit perniagaan.

Beliau berkata pihaknya juga telah mewajibkan peniaga, termasuk bukan Islam untuk menghadiri kursus tentang cara-cara untuk menjalankan perniagaan dari perspektif Islam.

"Kami telah mengambil inisiatif untuk mendidik mereka terlebih dahulu sebelum menguatkuasakan undang-undang kecil ini (pada pakaian)," katanya.

Beliau berkata seramai 3,000 peniaga telah mengambil bahagian dalam kursus itu dengan masih terdapat lebih 10,000 senarai menunggu.

Pada November 2012, PBT Kelantan mengejutkan banyak pihak apabila menguatkuasakan sekatan ke atas tukang gunting rambut untuk memberi khidmat kepada pelanggan berlainan jantina. - mstar

Rabu, 29 Oktober 2014

Inilah dia pesawat masa depan tanpa tingkap..anda seakan dikelilingi angkasa

Pesawat komersil masa depan yang dipaparkan ini seolah-olah gambaran masa hadapan yang mungkin membuatkan sesetengah orang kagum.

Bagaimanapun, jika semuanya menjadi kenyataan, ia mungkin menimbulkan ketakutan terhadap mereka yang kurang gemar menaiki kapal terbang.

Tapi, apa yang cuba ditengahkan ialah sebuah pesawat masa depan yang tidak mempunyai tingkap yang membolehkan penumpang melihat awan, langit, gunung dan laut serta dilengkapi pelbagai kemudahan digital dan akses tanpa wayar tanpa batas.

Pesawat komersil generasi akan datang yang dicadangkan ini mungkin menyaksikan tingkap digantikan dengan skrin penuh yang membolehkan penumpang melihat pemandangan luar. Malah, penumpang juga boleh menghidup atau mematikan skrin paparan di tempat duduk mereka mengikut kehendak masing-masing serta melayari Internet.
Keadaan di dalam pesawat tanpa tingkap (via CPI)
Konsep awal pesawat tanpa tingkap adalah idea sebuah organisasi yang bekerjasama dengan beberapa syarikat di England untuk menghasilkan produk baru dikenali sebagai Centre for Process Innovation (CPI). Direka berdasarkan teknologi yang digunakan telefon bimbit dan televisyen, CPI membayangkan bagaimana skrin definisi tinggi yang ringan dan besar berupaya memaparkan imej yang dirakam kamera di luar pesawat.
“Skrin akan diperbuat daripada diod cahaya organik atau OLED yang fleksibel seperti yang diperkenalkan syarikat elektronik LG, baru-baru ini.

“Jika kita berupaya menghasilkan OLED yang mudah lentur kita juga boleh mencipta paparan skrin yang fleksibel," kata Dr Jon Helliwell daripada CPI.

Katanya, konsep untuk pesawat berkenaan muncul selepas perbincangan bersama pihak industri aeroangkasa dan dijangka boleh menjadi realiti dalam 10 tahun lagi. - Guardian (via hmetro)

Video pesawat masa depan tanpa tingkap.

Selasa, 28 Oktober 2014

Sharnaaz sedia dipanggil 'sotong'

PELAKON kacak, Sharnaaz Ahmad, meminta agar peminat melupakan 'Jebat' seketika untuk memberi peluang kepada Farish menerusi drama terbaharunya, Suamiku Encik Sotong yang mula bersiaran sejak semalam.

Mengakui bukan mudah membawa watak lelaki lembut, Sharnaaz menganggap ia adalah pengorbanan dalam karier lakonan demi tuntutan watak.

"Ini adalah kali pertama saya mencabar diri untuk membawa watak seumpama ini. Malah saya mengambil masa sehingga dua bulan untuk menerima tawaran ini memandangkan watak ini jauh berbeza dengan diri saya. Namun, jalan cerita sangat menarik!

"Menerusi drama ini, saya turut mengorbankan imej dengan membiarkan perut sedikit buncit walaupun mempunyai pusat gimnasium sendiri. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kepada penonton sekiranya lakonan kali ini tidak menjadi.

"Sehingga kini, saya tidak berani  menonton 'playback' takut timbul rasa tidak puas hati. Sejujurnya saya sudah mencuba sebaik mungkin. Kalau dulu orang panggil saya Jebat, sekarang saya bersedia dipanggil 'sotong'," katanya sambil ketawa.

Jelas Sharnaaz, drama ini bukanlah bertujuan mengeksploitasi golongan lelaki lembut, namun lebih kepada situasi di mana golongan ini sering dipergunakan orang lain.

"Dalam drama ini, saya sering menjadi mangsa Erica lakonan Amyra Rosli yang juga isteri saya sendiri. Namun, saya berkawan baik dengan Dhia (Hanis Zalikha) namun saya merahsiakan status saya daripadanya.

"Untuk mendalami watak ini, saya banyak melihat golongan ini bercakap termasuk kawan-kawan mekap artis dan memerhatikan cara berbual serta sikap mereka. Walaupun ia drama komedi, namun saya tetap memastikan hasil kerja saya terbaik dan buat betul-betul," katanya yang turut tampil bersama Nelydia menerusi drama, Setitis Kasih Darmia di TV9.

Drama arahan Eoon Shuhaini ini disiarkan setiap Isnin, 10 malam, di saluran Astro Ria dan Maya HD.

Selain kerjaya, Sharnaaz turut diheret dalam kancah kontroversi apabila dia menempelak wartawan akhbar (bukan Sinar Harian) berhubung artikel yang dikaitkan dengan kemalangan ngeri motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan dua penunggang maut.

Tegas Sharnaaz, dia menyifatkan  penulis itu tidak menghormati keluarga si mati dan tidak berfikir panjang sebelum menulis.

"Arwah Zali (Hazalli Khalid, 32,) adalah sahabat saya dan saya juga dari golongan 'rider'. Jangan sesekali menulis tanpa asas yang kukuh sekiranya anda bukan dari golongan ini kerana anda tidak akan faham.

"Cuba anda berada di tempat itu, bagaimana rasanya? Jangan sesekali cuba guna bahasa 'double standard' yang boleh membawa kepada pemahaman negatif!," katanya lagi. - Sinar Harian

WTF! Wanita ini mahu meniduri seorang lelaki di setiap kota yang dilawatinya

Ju Peng, 19, sedang mencari teman lelaki sementara yang mesti memenuhi syarat-syarat berikut: tampan, berumur di bawah 30, berketinggian lebih 1.75meter, dan mesti kaya.
Ju Peng menimbulkan kontroversi di China (Foto: Mirror UK)
Ju Peng sedang menjelajah seluruh China dan berharap agar jelajahnya itu dibiayai oleh lelaki yang dijumpainya di setiap kota. Dia telah membuat satu iklan di laman mikroblogging Weibo dengan menyatakan kemahuannya untuk mencari teman lelaki sementara yang memenuhi syarat-syarat tertentu.

Namun jelajah kontroversinya itu telah menjadi bualan hangat di media sosial sehingga ada yang mennuduhnya sebagai pelacur.

Ju berkata: "mereka akan membiayai kos pengangkutan dan segala perbelanjaan saya ke kota mereka dan mereka juga perlu sentiasa bermurah hati. Sebagai balasannya, mereka akan dapat bersama dengan saya sepanjang malam."

Ju mengatakan bahawa dia telah menjelajah ke seluruh Timur China dengan menggunakan langkah kontroversi tersebut dan mahu melawat pula ke seluruh negara itu, tetapi tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membiayai perjalanannya.

Disebabkan oleh kontroversi yang ditimbulkan oleh iklan tersebut, ramai yang mahu supaya iklan berunsur pelacuran itu dibuang dari laman Weibo.
Ju Peng 


Isnin, 27 Oktober 2014

#AF2014 : Kenapa Wak Doyok tak bagi hadiah kat Firman? Ini sebabnya

Siapa tengok Akademi Fantasia malam tadi? Dengan penyingkiran Nina dan Zarif itu, kini hanya tinggal lima lagi pelajar #AF2014 yang akan meneruskan misi merebut gelaran juara.

Tapi, dengar cerita, ada yang lagi ‘panas’ daripada penyingkiran malam tadi. Fuh! Nampaknya peminat-peminat tegar pelajar dari Sabah, Firman betul-betul bengang dengan Wak Doyok.

Ceritanya begini, ketika persembahan trio Ewal, Zarif dan Azwan, Wak Doyok telah membuat penampilan istimewa dan memberikan hadiah khas daripada The Garment Movement.

Tetapi, hadiah tersebut hanya diberikan kepada empat pelajar lelaki kecuali Firman. Kami pun tertanya-tanya mengapa Firman tak dapat hadiah yang sama. Motif? Kalau nak beri hadiah pun berilah kepada semua kan?

Dek kerana insiden inilah ramai peminat mengecam tindakan Wak Doyok. Iyalah, rasanya semua dah tahu bahawa Firman bukan datang dari keluarga yang berada.

Jadi apabila berlaku perkara sebegini, penonton menganggap seperti ada ketidakadilan berlaku kepada Firman. Hmmm.

Namun, sebenarnya, ia hanyalah gimik semata-mata. Menurut Wak Doyok, dia akan kembali dan memberikan kejutan buat Firman dalam diari AF akan datang.

"Kita sebenarnya nak buat gimik. Saya ada buat spot check di rumah mereka. Di antara semua, ada sesuatu yang menyentuh hati iaitu Firman. Kita buat special untuk Firman, bukan di sini, tapi dalam akademi nanti.

Sebelum ini saya dah agak ia akan mengundang kemarahan orang. Tapi produser nak macam ni. Peminat Firman jangan ambil hati. Jujurnya, saya ada sediakan sesuatu untuk Firman. Nak tahu apa, kenalah tunggu."

Oooo, gimik rupanya. Bak kata Wak Doyok, #Orangbuatgimmickakuyangkena haha! Sabarlah Wak Doyok. - OhBulan

Sabtu, 25 Oktober 2014

Penganjur program sentuh anjing tampil minta maaf atas kekecohan

Syed Azmi Alhabshi hari ini memohon maaf kerana menyebabkan kekecohan berikutan program anjurannya 'I Want to Touch a Dog' hari minggu yang lalu, mengatakan beliau tidak berniat pun menghina orang Islam.

Tujuannya semata-mata hendak mendidik masyarakat supaya tidak takut dengan anjing, katanya membaca dari satu kenyataan media, tiada langsung hasrat menyesatkan akidah orang Islam atau mengubah undang-undang Islam.

Bagaimanapun, aktivis sosial itu yang ditemani peguamnya Syahredzan Johan, meninggalkan sidang media itu dengan segera sebaik selesai membacakan kenyataan itu, mengatakan beliau bimbang keselamatan dirinya.

Syed Azmi menjelaskan dalam kenyataan itu, acara itu bukan diadakan bagi menggalakkan orang Islam membela anjing, dan ia berulang kali ditekankan semasa membuat publisiti acara itu dan juga di laman Facebook sejak 11 September.

Diugut dengan ancaman bunuh, Syed Azmi juga membuat dua laporan, dengan polis dan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pada 22 Oktober.

Syahredzan berkata, pada satu ketika Syed Azmi menerima 2,000 pesanan di akaun WhatsApp telefon bimbitnya, juga ugutan menerusi panggilan telefon dan media sosial.

"Setengah daripada ancaman yang diterima mengatakan mereka mahu mematahkan tulangnya. Yang lain mengatakan mereka akan membunuhnya kalau melihatnya di jalanan, dan banyak lagi," katanya. - TMI

Khamis, 23 Oktober 2014

Konsert Mariah Carey di Stadium Merdeka Terbakar Dalam Hujan

Kehangatan konsert Mariah Carey yang berlangsung di stadium Merdeka malam tadi tiba-tiba bertukar suasana cemas seketika gara-gara berlakunya kebakaran kecil sewaktu diva Pop antarabangsa ini sedang rancak membuat persembahan pada konsert yang diberi nama 'The Elusive Chanteuse Show" Tour in Malaysia 2014'.

Insiden tersebut berlaku sewaktu penghibur berusia 45 tahun ini sedang mengakhiri nyanyiannya menerusi lagu 'Hero' dan sejurus itu pentas dipenuhi dengan percikan bunga api. Secara tiba-tiba percikan api tersebut menyambar bahagian bawah tirai yang melatari pentas dan menyebabkan kebakaran kecil. Mujur beberapa orang kru menyedari kebakaran tersebut lantas segera memadamkan api dan keadaan terkawal.

Ketika itu, Mariah yang baru saja menyudahkan nyanyiannya mahu memulakan interaksi bersama peminat. Namun interaksi tersebut terhenti sekejap apabila salah seorang kru datang kepada Mariah dan terus membawa beliau ke tepi pentas. Kelihatan kru tersebut berbisik sesuatu kepada penyanyi kelahiran Long Island, New York, Amerika Syarikat itu.

Percikan bunga api sebagai gimik sewaktu Mariah mengakhiri nyanyian lagu 'Hero', beberapa saat sebelum insiden tirai di pentas terbakar.Percikan bunga api sebagai gimik sewaktu Mariah mengakhiri nyanyian lagu 'Hero', beberapa saat sebelum insiden tirai di pentas terbakar.

Sebaik saja dimaklumkan oleh kru berkenaan mengenai kebakaran tersebut, Mariah dengan tenang terus berkata, "Oh, ada kebakaran rupanya di situ? (sambil menunjukkan ke arah tirai yang terbakar itu)".

"Ini bereeti konsert saya pada malam ini bukan saja diterangi dengan cahaya gemerlapan (sportlight, percikan bunga api), hujan tapi... juga ada kebakaran. Tak mengapa..., apa pun yang berlaku persembahan harus diteruskan juga", katanya sambil tersenyum lantas kedengaran sorakan semangat daripada para peminat.

Tayang Punggung
Sementara itu, walaupun hujan lebat turun sejak beberapa jam sebelum konsert sehinggalah sepanjang konsert berlangsung namun sikit pun tidak menghalang kira-kira 12,000 peminat Mariah membanjiri stadium.

Memulakan persembahan kira-kira jam 9.15 malam, Mariah membuka tirai konsert dengan lagu 'Fantasy', 'Touch My Body' dan 'Shake It Off'. Sepanjang konsert Mariah diiringi empat orang pemuzik, empat penyanyi latar dan lapan orang penari.

Seperkara yang menjadi perhatian penonton ialah penampilan ibu anak dua ini yang seksi. Mengenakan jacket dress pendek (paras punggung) bewarna hitam, dalam pada membuat persembahan sesekali diva kesayangan ramai sempat beraksi nakal apabila beliau 'secara spontan' membuat pose-pose yang agak menampakkan punggungnya yang montok. Setiap kali beraksi sebegitu, stadium gamat dengan sorakan peminat.

Namun selepas usai menyanyikan tiga lagu pertama, Mariah meninggal pentas seketika dan kemudian tampil dengan persalinan kedua, kali ini kelihatan lebih sopan. Kemudian keterujaan peminat diteruskan dengan persembahan lagu seperti 'Emotion', 'Cry', 'Fly Like A Bird' dan 'Lullaby of Birdland'. Sekali lagi Mariah mencuri perhatian penonton apabila dia membuat persembahan sambil duduk di atas sebuah piano.

Kalau sewaktu konsertnya di Tokyo, Jepun, awal Oktober lalu, Mariah teruk dikecam gara-gara persembahan vokalnya yang teruk sehingga beliau dikatakan beliau sudah tidak mampu menyanyi lagi. Namun menerusi persembahan pada konsert malam tadi Mariah setidak-tidaknya dapat menepis kritikan tersebut. Meskipun tidaklah kesemua lagu yang diperdengarkan disampaikan secara nyanyian live tetapi Mariah dilihat berusaha menampilkan sebuah persembahan yang terbaik buat para peminatnya.

Pujian juga harus diberikan pada penyanyi yang mempunyai suara mencapai lima octav kerana beliau tidak 'berat mulut', sebaliknya sentiasa mencari kesempatan berinteraksi dengan para penonton.

Tak kurang, peminat turut sama-sama menyanyi terutama apabila Mariah menyampaikan deretan lagu hitnya seperti 'My All', 'Heart Break'/ 'Beautiful', 'Honey', 'I'll Be There' dan 'Hero'.

Tapi sayangnya momentum kehangatan dan keterujaan penonton agak terhenti-henti kerana Mariah beberapa kali 'hilang' dari pentas sebaik saja selesai menyanyikan sesebuah lagu. Meninggalkan pentas dalam tempoh yang agak lama membuatkan ada sebahagian penonton sedikit demi sedikit mula angkat kaki dan meninggalkan stadium. Sedangkan konsert masih berbaki dalam 40 minit hingga setengah jam lagi.

Diakhir-akhir konsert, Mariah sekali lagi menarik perhatian ramai apabila menyanyikan lagu 'Supernatural'. Apa yang membuatkan ramai penonton tersentuh hati adalah kerana menerusi lagu tersebut, persembahan Mariah turut diiringi video yang memperlihatkan gelagat anak-anaknya, si kembar Moroccan dan Monroe.

Seterusnya stadium kembali bergema apabila rata-rata peminat turut sama menyanyikan satu lagi lagu 'berhantu' Mariah berjudul 'We Belong Together'. Sejurus tamat lagu tersebut, Mariah terus meninggalkan pentas. Meskipun ramai peminat menjerit mahukan Mariah kembali tampil menyanyi lagi, namun beliau tidak juga muncul-muncul. Disebabkan itu, ramai yang beranggapan konsert telah tamat dan masing-masing mula beredar dari stadium.

Bagaimanapun, kira-kira 10 minit selepas itu, Mariah kembali muncul dengan persalinan gaun labuh berwarna silver dan menyampaikan lagu terakhir, 'Always Be My Baby'. Konsert The Elusive Chanteuse Show" Tour in Malaysia 2014 berakhir kira-kira jam 11.30 malam.

Konsert jelajah anjuran IME Productions ini diadakan bersempena pelancaran album terbaharunya berjudul 'Me. I Am Mariah...The Elusive Chanteuse'. Malaysia merupakan lokasi pertama bagi siri konsert jelajah di Asia Tenggara kali ini.

Begitu pun ini merupakan konsert kali kedua figura yang pernah diiktiraf sebgaia Artis Wanita Paling Berjaya dalam sejarah industri muzik Amerika Syarikat ini di tanah air selepas kali pertama beliau hadir menerusi konsert sulung, kira-kira 10 tahun lalu. - mD

Rabu, 22 Oktober 2014

Apa itu amalan dan ajaran sesat Millah Abraham?

Millah Abraham adalah satu lagi ajaran sesat terbaru yang sedang melanda negara ini khususnya di kalangan umat Islam dan mereka yang cetek agama. Dikatakan bahawa jumlah penganut ajaran ini sudah melebihi 5000 orang dan jika tidak dipantau dan dibendung penularannya, ia pasti akan memberi kesan kepada umat Islam khususnya mereka yang lemah akidah.

Apa itu amalan dan ajaran Millah Abraham? Sumber ini diperoleh dari laman Facebook. Sejauh mana kesahihannya, tetaplah berwaspada.

Ajaran Millah Ibrahim
Golongan MILLAH IBRAHIM menyebarkan ajaran bahwa ISLAM yang ada sekarang adalah palsu dan ISLAM telah lama lenyap dari anutan ummat ISLAM kerana mereka mengatakan puak-puak MONGOL telah menghapuskan ISLAM apabila Baghdad diserang pada kurun ke 10 dan 11.
Selain itu golongan ini juga mengandaikan bahwa ISLAM yang ada sekarang hanya diamalkan di dalam rumah sahaja namun di luar rumah, tiada ISLAM. Ini semua adalah andaian-andaian TIDAK BERFAKTA yang mereka lakukan bagi mengelirukan belia-belia dan masyarakat bagi menengahkan AJARAN SESAT mereka.

Amalan golongan Millah Ibrahim
Golongan MILLAH IBRAHIM adalah sebenarnya berasal dari golongan-golongan ANTI HADIS, INGKAR SUNNAH yang tidak percaya kepada SOLAT. Mereka ini menganjurkan ajaran TIDAK BERSOLAT. Inilah antara amalan yang paling ketara golongan ini yang menyeru ahli-ahli mereka supaya berhenti SOLAT- nauzzubillah min zalik ! Jelas dan ketara dari amalan golongan ini , mereka adalah golongan musuh ISLAM akhir zaman yang mahu menghancurkan ISLAM dengan menyeru umat ISLAM, meninggalkan SOLAT !

Modus Operandi atau cara Millah Ibrahim disebarkan
Sasaran kumpulan ini adalah golongan belia dan professional muda yang tidak mempunyai latar belakang agama. Kumpulan MILLAH IBRAHIM ini bermula dengan mengajak sasaran mereka untuk membuka minda dan bersetuju bahwa ISLAM yang ada sekarang ini bukanlah ISLAM yang ASLI. Walaupun mereka bersetuju FAKTA bahwa ISLAM yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w kekal hingga ke hari ini kerana, KITAB AL-QURAN telah ditulis dan dikekalkan dari zaman Nabi Muhammad s.a.w dan tidak ada satu pun ayat AL-QURAN yang telah ditokok tambah oleh mana-mana pihak, namun begitu golongan MILLAH IBRAHIM tidak menghiraukan FAKTA ini. AL-QURAN adalah satu-satu nya KITAB agama yang dihafal dan tidak ada agama selain ISLAM, yang mempunyai sistem hafalan dan hafazan seperti yang ada di dalam ISLAM. Selain itu, tradisi ILMUAN ISLAM mempunyai tradisi mewariskan ajaran ISLAM dalam sistem madrasah telah menjamin bahwa pengajaran hukum-hakam ISLAM dikekalkan. Walau bagaimana pun, pendukung ajaran MILLAH IBRAHIM tetap mengatakan bahwa ISLAM yang ada hari ini bukanlah ISLAM yang ASLI !

Anda boleh membaca post asli di Facebook mengenai ajaran sesat Millah Ibrahim ini

Menurut laporan SinarHarian pula, ajaran ini dipercayai pecahan daripada Gerakan Pemuda Kahfi Indonesia yang difatwakan haram oleh Jabatan Mufti Pahang sekitar tahun 2009 dikesan di Felda Keratong. Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), berkata, pengikut ajaran sesat ini pada mulanya dikesan di Jerantut selepas ibu bapa kepada seorang pemuda di sana membuat aduan kerana berasa hairan dengan pendapat dan pandangan anaknya itu mengenai Islam.

“Ibu bapa pemuda berkenaan yang belajar di salah sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Selangor telah membuat aduan kerana mendapati pendapat dan pandangan anak lelakinya itu agak bertentangan dengan ajaran Islam.

“Pihak penguat kuasa Jaip menemui pemuda itu dan menjalankan soal siasat seterusnya membongkar 13 lagi pengikut Millah Abraham berada di Felda Keratong, Muadzam Shah, Rompin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jurucakap Jaip menjelaskan, enam keluarga pengikut ajaran sesat Millah Abraham di Felda Keratong berjaya dikesan dan satu sesi taklimat mengenai ajaran sesat berkenaan diberikan di samping menjalankan soal siasat di Balai Polis Muadzam Shah, baru-baru ini.

Menurutnya, ajaran sesat yang didapati menyeleweng daripada akidah Islam itu dipercayai mempunyai ramai pengikut di Selangor dan kira-kira 5,000 pengikut seluruh Malaysia.

Katanya, pengamal ajaran sesat itu juga menyasarkan golongan muda yang kurang ajaran Islam menjadi medan dakwah mereka.

“Mereka (pengikut ajaran sesat Millah Abraham) mengaku bukan beragama Islam kerana mendakwa Islam bukan agama yang asli tetapi menganggap Millah Abraham adalah agama sebenar yang kononnya ajaran Nabi Ibrahim selain tidak makan daging sembelihan orang Islam.

“Terdapat enam fasa dalam ajaran sesat ini iaitu pertama, dakwah secara sembunyi dan ini sudah dilepasi, kedua adalah dakwah secara terang-terangan yang merupakan fasa terkini, ketiga fasa hijrah serta fasa keempat adalah jihad kital iaitu bunuh orang yang tidak mengikut ajaran mereka, fasa kelima mewujudkan sistem pemerintahan sendiri dan keenam menubuhkan negara,” katanya.

Jurucakap itu berkata, fasa keempat dakwah ajaran sesat berkenaan mempunyai unsur militan dan pihak Jaip kini dengan kerjasama polis sedang melakukan pemantauan.

Selain itu, cara pengikut ajaran sesat ini bersembahyang adalah hanya dengan menyampaikan makna-makna yang terdapat dalam al-Quran melalui penggunaan Bahasa Melayu.

“Mereka mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah tetapi hanya pada waktu itu kerana mereka percaya ada nabi lain hingga kini selain mereka juga tidak berpegang pada hadis,” katanya.

Selasa, 21 Oktober 2014

Kempen Sentuh Anjing: Nik Aziz kata penganjur ada 'ulat' dalam kepala, Mufti pula suruh taubat

Nik Aziz kata penganjur program khusus untuk menyentuh anjing  dilakukan seperti mereka ada ulat dalam kepala (Foto: TheMalaysianInsider)
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan penganjur program "I Want To Touch A Dog" yang mendapat sambutan luar biasa hujung minggu lalu di Selangor seperti mempunyai "ulat" di dalam kepala mereka.

Bekas menteri besar Kelantan itu berkata, sekarang timbul banyak aliran yang bersifat liberal dalam Islam yang menimbulkan idea-idea pelik dan boleh dianggap sebagai sesat.

“Menganjurkan program khusus bagi menjamah anjing hanya dilakukan mereka yang seumpama ada ulat dalam kepala.

"Ia bertentangan dengan mazhab Shafie,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily hari ini.

Ahad lepas, program "I Want To Touch A Dog" yang diadakan di Selangor itu mendapat sambutan di luar jangkaan apabila ramai umat Islam menghadirinya.

Bagaimanapun, program tersebut mendapat kritikan beberapa mufti dan orang ramai yang mempersoalkan motif penganjuran program tersebut.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad mahu penganjur dan umat Islam yang menyentuh anjing bertaubat kerana mempersendakan hukum Allah.

Sementara bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadut berkata penganjuran program berkenaan satu cubaan untuk menghina ulama dan pihak berkuasa agama.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij) itu berkata, perbuatan menyentuh anjing secara sengaja adalah haram kerana ia merupakan najis berat iaitu najis mughallazah yang dipandang secara serius dalam mazhab Shafie dan Hanbali.

"Jangan cuba mencipta budaya yang bercanggah dengan Islam dan mazhab Shafie, apatah lagi mempunyai unsur menghina ulama di negara ini," katanya seperti dilaporkan Berita Harian semalam.

Dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider sebelum ini, penganjur, Syed Azmi Alhabshi mengatakan beliau mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan polis untuk menganjurkan program tersebut.

Sementara bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata hukum menyentuh anjing tidak haram walaupun haiwan itu tergolong dalam najis berat.

Asri berkata ulama sepakat mengatakan anjing yang kering tidak najis, namun ‎najis boleh disentuh tetapi dengan syarat perlu dibasuh jika hendak beribadat atau pun berurusan dengan masyarakat.

"Mazhab Shafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah," katanya. - TMI 

Mufti suruh bertaubat

KOTA BHARU - Penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dan umat Islam yang menyentuh haiwan itu di majlis tersebut kelmarin wajib bertaubat.
Mohamad Shukri
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana mereka secara jelas mempersendakan hukum ALLAH.   

Katanya, perbuatan sengaja menyentuh anjing adalah haram kerana ia najis mughalazoh (berat) dan bertentangan dengan mazhab Syafie.

“Jika dianjurkan oleh orang Islam, dia sebenarnya menghina hukum ALLAH dan boleh dianggap sebagai sindiran tajam terhadap kewibawaan umat Islam. Bertaubatlah," katanya.

“Memang sedih dengan gejala tidak sihat berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu ada lagi yang lain ditimbulkan dengan sengaja dalam masyarakat kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Shukri mengulas tentang program berkaitan sentuh anjing di taman rekreasi di Damansara, Selangor yang menunjukkan umat Islam membelai anjing. - SinarHarian

Isnin, 20 Oktober 2014

#AF2014 : Hattan bengang Adel tersingkir, bertekad untuk bantu karier Adel selepas Akademi Fantasia

Siapa sangka pelajar paling konsisten setiap minggu akhirnya menjadi mangsa penyingkiran apabila undian tak berpihak kepada Adel di konsert ketujuh #AF2014 malam tadi.

Bukan korang je yang terkejut, kami yang berada di dewan MBSA pun turut terkesima dengan pengumuman yang dibuat. Mana taknya, ramai yang menjangkakan Adel antara pelajar yang bakal beraksi di pentas akhir nanti.

Nampaknya, pengetua #AF2014, Datuk Hattan pun turut kecewa dan bengang dengan keputusan tersebut.

Menurut Hattan, Adel tak sepatutnya tersingkir. Walaupun persembahannya malam tadi kurang menyengat, tetapi kawalan vokalnya sangat baik.
Adel merupakan pelajar yang konsisten setiap minggu. Malah, dari mula AF, dia seorang pelajar yang bagus. Saya rasa ini sangat kejam. Saya harap satu hari nanti, pengundi dapat berfikir dan lihat kembali persembahan pelajar yang lepas-lepas, konsisten atau tidak. Jika dia bagus, maknanya dia baguslah. 
Saya terbayang Adel adalah salah seorang finalis, tak pernah terlintas di fikiran bahawa Adel akan keluar. Tapi, apa yang boleh saya bantu, nama-nama ini akan saya bawa di setiap konsert saya. 
Mungkin saya akan berduet dengan Adel dan berikan dia peluang dalam industri kerana saya rasa perjalanan dia tak sepatutnya berakhir disini. Dia natural born singer, berilah lagu apa, dia tiada masalah.
Adel diumumkan sebagai pelajar AF2014 yang tersingkir pada minggu ke-7 
Tak mengapalah Adel. Perjalanan karier Adel sebenarnya baru bermula. Contohi Aizat Amdan, walaupun tersingkir di minggu ke-7, namanya tetap gah mengalahkan juara musim tersebut. - OhBulan

Ahad, 19 Oktober 2014

Najib dan BN kena lagi! Kali ini pesara letak selipar di muka Najib..apa kes?

Pesara M Krishnan seorang lelaki yang marah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Dan kemarahan membuak-buak inilah yang mendorongnya meletakkan selipar di atas wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu poster semasa membuat protes terkini terhadap pemotongan subsidi bahan api di luar bangunan Parlimen minggu lalu.

Dia kemudian ditangkap kerana perbuatan itu.
M Krishnan ditangkap selepas meletak selipar di muka Najib (Foto: TheMalaysianInsider)
"Kehadiran saya hari itu tidak ada kena mengena dengan pemotongan subsidi. Saya marah dengan kerajaan, mereka melakukan sesuatu yang salah, mereka menyalahguna undang-undang kerana mereka tidak memahaminya, mereka menjadi bahan lawak dunia, dan saya mahu mereka tahu itu," kata Krishnan kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur minggu ini.

Kisah Krishnan adalah cerita tentang kekecewaan terhadap sistem penyampaian awam yang dialami golongan berpendapatan rendah sepertinya.

Beliau bergantung kepada pembayaran Perkeso untuk hidup, mengalami kecederaan di tempat kerja, dan tinggal di rumah kos rendah awam di mana suasananya memeritkan.

Gambar dia memegang selipar di atas muka Najib dalam poster itu diterbitkan di Facebook melalui laman "Friends of BN - Barisan Nasional".

Kerana tindakan itu, bekas pengendali kren berusia 56 tahun itu ditahan.

Tetapi ia bukan kali pertama. Dia membuat tindakan yang sama bulan Mei lalu ekoran kerosakan pada flat kos rendahnya, dan berkata akan melakukannya sekali lagi.

"Saya melakukannya berkali-kali sebelum ini dan saya sudahpun ditahan kerananya, tetapi saya akan melakukannya sekali lagi dan sekali lagi sehingga mereka dapat mesej bahawa kita ingin dilayan sama rata sebagai warganegara," kata Krishnan.

Penangkapan terbarunya pada 11 Oktober, tiga hari setelah protes anti kenaikan harga minyak dibuat di luar Parlimen. Putrajaya mengurangkan subsidi minyak pada 2 Oktober, menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Krishnan ditahan lebih 24 jam kerana polis mahu menyiasatnya atas penghinaan yang disengajakan dengan niat membuat provokasi terhadap keamanan dan ugutan jenayah. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Kisah kekecewaannya terhadap Putrajaya bermula sejak zaman kanak-kanak lagi, dia seorang yang tidak bernegara, dilucutkan kewarganegaraan, sehingga umur 12 tahun.

Sejak itu, setiap sedikit "kesalahan" atau "ketidakadilan" oleh Putrajaya memberi kesan mendalam terhadap Krishnan, yang lahir di Kajang, Selangor, termasuk fakta bahawa dia disenaraikan sebagai "keturunan India" dalam dokumen rasminya.

"Mengapa saya 'keturunan India'? Saya tidak dilahirkan di India.

"Saya mahu dikenali sebagai keturunan bangsa Malaysia, saya orang Malaysia," katanya yang fasih bercakap dalam Bahasa Melayu.

Berikutan berita penangkapannya, penasihat DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sistem keadilan yang menyebabkan Krishnan ditangkap hanya kerana meletakkan selipar di atas gambar Najib.

Krishnan bagaimanapun, tetap berdegil, "Saya menolak menandatangani kenyataan 112 di balai polis kerana ia ditulis dalam bahasa Melayu, jika saya 'keturunan India', maka ia harus sekurang-kurangnya ditulis dalam Bahasa Tamil, lagipun ia satu-satunya bahasa yang saya boleh baca sebenarnya," katanya.

Katanya, dia tidak fikir dia perlukan seorang peguam, kerana dia mampu bercakap untuk dirinya sendiri dan menyedari hak-hak di bawah undang-undang.

"Saya tidak takut, saya tahu hak saya, jika mereka mendakwa saya, saya tahu mereka menyalahguna undang-undang dan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap undang-undang.

"Saya didaftarkan sebagai OKU (orang kurang upaya). Oleh itu saya dilindungi oleh Agong," kata Krishnan yang mengalami kemalangan semasa bekerja sebagai operator kren.

Dia berkata kehadirannya di protes terhadap pemotongan subsidi minyak adalah untuk menghantar mesej kepada kerajaan – bahawa Perlembagaan dan Rukunegara melindungi warganegara Malaysia dan Putrajaya salah kerana menyalahgunakan hak rakyat.

Krishnan menegaskan bahawa dia bukan ahli mana-mana parti politik, tetapi bersimpati terhadap Hindu Rights Action Force (Hindraf), yang hilang relevansinya selepas bertelagah sesama sendiri.

Selama direman baru-baru ini, Krishnan memberitahu ketiga-tiga anaknya yang sudah dewasa dia ditahan tetapi memberitahu mereka agar tidak mengunjunginya.

"Saya tidak mahu mereka menyokong saya secara terbuka atau dikaitkan dengan saya kerana saya tidak mahu pihak berkuasa pergi mencari mereka pula," kata Krishnan yang tinggal seorang diri di flat kos rendahnya di PPR Sri Alam, Sungai Besi.

Dia juga tidak bergaul rapat dengan jiran-jirannya kerana "reputasi"nya yang selalu menyertai protes.

"Saya tidak mahu mereka merasa tidak selesa apabila bergaul dengan saya, jadi saya hanya terus bersendirian sahaja," katanya.

Dia kerap menghadiri perhimpunan protes setelah mengetahui mengenainya dalam akhbar Tamil, terutama Malaysia Nanban.

Untuk sumber pendapatan rendah dan berbelanja kecil sepertinya, cukup untuk beliau membuat protes secara tetap.

Sebagai contoh, dia selalu berulang-alik ke pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi melaporkan kecacatan pada flat kos rendahnya itu sejak pertama kali menerima kunci tiga tahun lalu. Namun tidak ada penyelesaian terhadapnya.

"Mereka datang dan mengambil gambar dan kemudian saya tidak dengar apa-apa dari mereka, apa jenis pentadbiran itu?

"Saya juga mempunyai surat daripada Datuk M Saravanan (bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan) yang mencadangkan agar saya diberikan satu unit rumah gantian tetapi mereka rasanya tidak mahu memenuhinya," katanya.

Ini juga puncanya Krishnan melakukan aksi membaling selipar yang sama pada Mei tahun ini.

Sebagai pihak yang bergantung kepada bayaran Perkeso setiap bulan, kata Krishnan, dia sepatutnya menerima RM1,100 setiap bulan kerana gajinya sebanyak RM2,200 sebulan ketika bekerja sebagai operator kren sebelum cedera, tetapi Krishnan hanya menerima RM750 sekarang.

"Untuk semua kelemahan kerajaan yang terpaksa kita hadapi, tindakan membaling selipar saya adalah sumbangan saya untuk negara ini, untuk anak-anak saya dan anak-anak mereka yang akan datang.

"Kita perlu menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan, dan ini adalah cara saya untuk berbuat demikian," katanya. - TMI