Boros Di Aralom

Selasa, 5 Februari 2013

Presiden Ahmadinejad berhasrat jadi angkasawan pertama Iran

Presiden Iran, Ahmadinejad
DUBAI 5 Feb. - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam menyuarakan hasratnya untuk menjadi angkasawan pertama negara itu yang dihantar ke orbit sebagai mempamerkan kesungguhan Teheran meneroka program angkasa lepas.

Hasrat Ahmadinejad itu dinyatakan seminggu selepas kejayaan Iran menghantar seekor monyet ke ruang angkasa dan membawa haiwan tersebut pulang hidup-hidup.

"Saya bersedia untuk menjadi rakyat pertama Iran dihantar ke angkasa oleh saintis negara ini," lapor agensi berita Mehr yang memetik kenyataan Ahmadinejad.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau benar-benar serius untuk merealisasikan impiannya itu. - REUTERS

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130205/lu_09/Ahmadinejad-berhasrat-jadi-angkasawan-pertama-Iran#ixzz2JyoEwlS5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 4 Februari 2013

Ada juga sekolah yang tak serah bantuan RM100 kepada ibu bapa

Ibu bapa menerima bantuan RM100
BELURAN 4 Feb. - Kementerian Pelajaran menerima laporan terdapat empat sekolah yang tidak menyerahkan bantuan khas awal persekolahan kepada pelajar, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata keempat-empat sekolah di semenanjung itu berbuat demikian bagi menggunakan wang itu untuk yuran aktiviti di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Sebaik menerima laporan itu, sekolah berkenaan dengan serta merta diarah menghentikan tindakan itu dan mengembalikan wang bantuan kepada ibu bapa pelajar.

"Kami mahu bantuan itu sampai kepada ibu bapa dan menggunakannya untuk pendidikan anak mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Bangunan Asrama sekolah itu di Paitan, semalam. - BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130204/dn_19/Kementerian-terima-laporan-4-sekolah-tidak-serah-bantuan#ixzz2Jtqw0WSH
© Utusan Melayu (M) Bhd