Boros Di Aralom

Rabu, 1 Ogos 2012

Anak belasah ibu kerana kunci rumah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki layak digelar anak derhaka apabila membelasah ibunya berusia 73 tahun gara-gara tidak menjumpai kunci rumah yang diletakkan di atas meja, kelmarin. Tidak cukup dengan itu, anak mangsa mengugut membakar rumah jika mendapati tiada sesiapa di rumah ketika dia pulang pada lewat malam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa berada di rumahnya di Sentul bersama anak lelakinya itu yang berusia 38 tahun sebelum anaknya meminta izin untuk keluar berjumpa kawan. Mangsa yang tidak mahu dikenali itu berkata, anaknya yang berniat untuk pulang lewat malam mula mencari kunci rumah, tetapi tidak menjumpainya dalam bilik tidur.


“Anak saya kemudian mencari kunci di ruang tamu namun gagal menyebabkan dia naik angin sebelum menolak barang di atas meja.


“Lebih mengejutkan, dia membaling kerusi ke arah saya yang terkena pada kepala sebelum membaling barangan lain berdekatan saya,” katanya, semalam.


Menurutnya, sebelum keluar rumah, anaknya memberi amaran kepada mangsa supaya tidak keluar rumah sehingga dia balik dan jika tidak, dia akan mengamuk.

Katanya, anaknya turut mengugut memukul mangsa atau membakar rumah jika tiada sesiapa membuka pintu ketika dia balik.


Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sentul. - Sumber: myMetro

Hafiz AF Disaman RM200, 000

Juara Akademi Fantasia (AF7), Hafiz, disaman bekas pengurus pentas sebuah rancangan hiburan di Astro atas dakwaan menyebabkan kecederaan kepadanya.
Nur Haniza Mohd Azhar, 25, selaku plaintif menamakan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 22 sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM200,000.

Beliau memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini,menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co.

Di dalam  laporan Bernama, Nur Haniza mendakwa beliau didatangi penyanyi yang popular dengan laguAwan Nano itu yang menepuk bahunya dari belakang dan menyatakan hasrat untuk berjumpa dengannya secara paksa. Ketika itu Nur Haniza sedang menjalankan tugas sebagai pengurus pentas untuk rancangan “Salih Yaacob Show” di Studio Filem Negara pada 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas.

Nur Haniza mendakwa beliau menolak pelawaan itu dengan baik kerana sedang sibuk melakukan tugasannya tetapi beliau tetap didesak Mohd Hafiz untuk berbincang mengenai suatu perkara.

Nur Haniza, yang kini bekerja sebagai penasihat jualan di syarikat permotoran, mendakwa ketika beliau menuruni tangga studio untuk meneruskan tugasnya, Mohd Hafiz bertindak agresif dengan menolaknya sehingga terjatuh ke bawah dan tersungkur di hadapan rakan sekerjanya.

Beliau mendakwa tindakan Mohd Hafiz itu menyebabkannya mengalami kecederaanpada bahagian kaki dan beliau juga mendakwa penyanyi itu tidak membantunya.
. 
Nur Haniza mendakwa beliau telah menyerahkan notis tuntutan bertarikh 25 Jun lepas supaya Mohd Hafiz memohon maaf dan membayar ganti rugi tetapi Mohd Hafiz menafikan ada mencederakannya.

Nur Haniza mendakwa akibat kejadian itu, beliau kini masih merasa sakit pada bahagian kaki kanannya akibat kecederaan yang dialami dan hilang mata pencarian kerana disenaraihitamkan daripada bekerja untuk rancangan terbitan Astro serta terpaksa menanggung malu selepas kejadian itu yang turut disiarkan media.

Oleh itu, Nur Haniza menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi kehilangan aminiti, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Sumber :MalaysianDigest