Pada suatu hari, Ali telah keluar bersiar-siar di kawasan zoo tempat dia bekerja. Hari itu merupakan hari cuti Ali maka dia keluar ke zoo untuk mencari rezeki tambahan sebagai pemuzik jalanan. Semasa Ali sedang membuat pertunjukan, tiba-tiba bosnya telah menarik Ali masuk ke dalam pejabatnya. Bosnya itu memberitahu bahawa Gorila di zoo tersebut yang sering menjadi tarikan pengunjung telah mati. Ali kemudiannya ditawarkan untuk berdandan dan berpakaian seperti Gorila sementara pihak zoo mencari pengganti Gorila yang telah mati itu. Disebabkan kesempitan wang maka Ali pun menerima tawaran tersebut. Pagi berikutnya, Ali datang ke zoo dan masuk ke dalam kandang sebelum para pengunjung sampai. Dia merasakan bahawa pekerjaan itu sangat menyeronokkan kerana dia boleh tidur sepuas-puasnya dan berjaya menarik perhatian banyak orang menerusi gaya ala-ala gorila yang dilakukannya. Malah dia juga mampu memperolehi gaji yang lebih baik berbanding sebelumnya. Namun, beberapa hari berikutnya, Ali mula menyedari bahawa bilangan pengunjung yang datang ke kandangnya semakin berkurang dan lebih banyak memberi perhatian kepada seekor singa yang dikurung bersebelahan dengan sangkar Ali. Tidak ingin kehilangan perhatian, Ali pun memanjat kandangnya dan mengolok-olok singa tersebut. Tentu saja aksinya itu telah membuatkan singa tadi itu marah tapi orang-orang menyukainya. Kerana telah menjalankan tugas dengan baik, gaji Ali telah dinaikkan. Ini membuatkan dia terus bersemangat untuk mengolok-olok singa itu lagi. Malang tidak berbau, suatu hari Ali telah terjatuh dari dinding sangkar singa itu. Dia sangat takut dibaham oleh sang singa yang ganas. Semasa singa itu bersedia untuk menerkam, Ali dengan pakaian gorilanya terus berteriak kuat "Tolong, tolong!!", tapi singa itu dengan pantas terus menerkamnya. Ali yang pasrah hanya melihat muka singa itu dan singa itu pun berkata "DIAM!! bodoh!, kamu nak kita berdua dipecat?!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan