"Saya tak kisah, kalau kongkong anak..nanti dia tertekan" - reaksi bapa mangsa 'budak basikal' | Boros Di Aralom

Ahad, 19 Februari 2017

"Saya tak kisah, kalau kongkong anak..nanti dia tertekan" - reaksi bapa mangsa 'budak basikal'

Fatoni tidak terlalu mengongkong anaknya kerana bimbang remaja itu tertekan.
Fatoni (sumber: FMT)
JOHOR BAHRU: Seorang bapa kepada remaja berbasikal yang cedera dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam pada awal pagi semalam berkata, beliau tidak terlalu mengongkong anaknya kerana bimbang remaja itu tertekan.

“Saya tidak kisah, tetapi ibu bapa lain mungkin kisah. Saya macam biasa. Kalau kita nak kongkong dia pun tidak boleh, nanti dia tertekan,” kata Muhammad Fatoni Musrap, 45, kepada FMT di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

Bapa kepada Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17, berkata walaupun sudah banyak kali melarang anaknya keluar lewat malam, remaja itu tetap berdegil dan akan keluar senyap-senyap selepas mereka tidur.

“Tidak sedar (masa Fitri keluar rumah) sebab waktu itu sedang tidur. Ingat dekat-dekat sahaja. Rupanya jauh.

“Kita pun dah pesan jangan keluar malam sebab keesokannya dia nak sekolah,” katanya.
Fitri yang cedera di pinggul dan luka di badan masih dirawat di HSA dan tidak boleh bangun atau berjalan.

Dua rakannya yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16, dan Muhd Nazri Mahmudi, 13. Lima yang lain ialah Muhamad Farhan Che Mat, 16, (patah kaki kanan); Abdul Samad Abdul Kadir, 16, (patah kaki kiri); Muhammad Arif Salman, 15, (cedera teruk di kepala); Muhammad Zulfadli Yusri, 19, dan Muhammad Arasshat Abdullah, 14, kedua-duanya patah kaki kanan.

Fatoni yang merupakan peniaga makanan bersyukur anaknya terselamat dan akan mengawasi tindak-tanduk anaknya, tetapi tidak akan terlalu mengongkong Fitri.

“Syukur Alhamdulilah dia masih terselamat. Saya harap perkara ini disiasat polis,” katanya. Sementara itu, ibu saudara Fitri yang hanya dikenali sebagai Fizah, 32, berkata kemalangan itu pasti menjadi pengajaran kepada “budak basikal” lain. Katanya, walaupun sedar hobi dan minat mereka, ibu bapa masih perlu memantau pergerakan anak dan tidak seharusnya membenarkan mereka berbasikal pada lewat malam tanpa pengawasan rapi.

“Sedih juga apabila mengetahui anak saudara terlibat dalam kemalangan itu. Kita juga tahu keluar malam itu salah.

“Tetapi, perkara nak jadi kita pun tidak tahu. Kalau kita tahu kejadian itu nak berlaku, rasanya dia pun takkan keluar. Ini jadi pengajaran bagi kita semua,” katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah hospital di Melaka. Fizah berkata, Fitri yang tinggal di Taman Seri Orkid, Skudai difahamkan berbasikal dari rumahnya ke Jalan Lingkaran Dalam bersama rakan lain yang perjalanannya memakan masa sejam.

“Terkejut sebab tidak sangka dia terlibat dalam kemalangan itu. Apabila Fitri sedar, dia cuma cakap kawan dia semua mati, tetapi tidak cerita semua, mungkin masih trauma lagi.

“Walaupun sudah dipesan jangan keluar malam sangat dan dengar cakap mak, tetapi budak-budak macam mana pun mesti nak cari kawan dia,” katanya.

Insiden pada 3 pagi itu turut meragut nyawa 8 remaja berbasikal yang dirempuh sebuah kereta di jalan terbabit. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh dilaporkan berkata, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan sekitarnya sebelum dirempuh seorang pemandu wanita berusia 22 tahun dari arah Taman Pelangi yang dipercayai tidak sempat mengelak kumpulan remaja itu. - FMT

P/s: Sejauh manakah anda bersetuju dengan bapa bernama Fatoni Musrap ini? Tepuk dada tanya selera. Saya setuju dengan Sultan Johor..."biar anak menangis, jangan kita menangis". 


Lagi Info Menarik:

Tiada ulasan: