Disebabkan harga getah yang semakin meningkat, maka tidak hairan lah kalau kes curi getah sekerap pun meningkat. Bukan sekadar sekerap, getah kentalan dan kepingan pun habis kena kebas. Teringat pula aku dengan kes bapak sendiri. Dijadikan cerita, ketika itu, pihak Lembaga Getah memang akan datang membeli getah sekali seminggu di kawasan kebun getah bapa aku. Masa tu, harga memang melambung tinggi macam yang sekarang ni. Sebelum lori lembaga sampai, memang para pekebun akan meletakkan hasil mereka di tepi jalan depan kebun or rumah masing-masing. Jadi, kalau tak dijaga, memang besar risiko untuk dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Bapa aku pernah kena sekali. Habis punah getah yang beratnya hampir setengah tan...fuh!! kesian dengan kudratnya yang perlu keluar seawal jam 2pagi untuk menoreh getah. Senang-senang pula di penyangak curi...bedebah betul!! sila lah pupus golongan penyangak ni.
Getah kentalan. (sekadar gambar hiasan) |
KUALA NERANG – Oleh kerana harga getah sekerap naik, timbul kegelisahan apabila dikatakan kegiatan curi sekerap untuk dijual semula semakin menjadi-jadi di daerah ini.
Harga getah kini dilaporkan pada harga RM4.80 sekilogram.
Sehubungan itu, para penoreh meminta pihak polis agar turut membantu menangani kes kecurian getah.
“Saya kerugian hampir RM400 dalam tempoh tiga hari menoreh apabila lebih 80 kilogram getah sekerap di kebun saya dicuri pihak tidak bertanggungjawab, disyaki penagih dadah.
“Saya sedih bila datang untuk kutip hasil getah yang sepatutnya ada dalam bekas tadahan, ia hilang. Keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan utama saya,” kata Mohd Khairul Nizam Ahmad, 32, dari Felda Bukit Ketapang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Kubang Palas, Azhar Ahmad berkata beberapa tangkapan pernah dibuat oleh penduduk kampung, namun ketiadaan bukti kukuh menyebabkan tindakan lanjut tidak dapat diambil oleh pihak polis.
“Saya harap polis lebih kerap menjalankan rondaan. Malah pekebun atau penoreh sendiri juga perlu sering turun ke kebun mereka untuk memantau keadaan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Ahmad Nasir Jaafar berkata pihaknya sedia maklum mengenai masalah itu dan mengarahkan anggotanya untuk mempertingkatkan rondaan.
Beliau juga meminta penoreh dan pemilik kebun bekerjasama dengan polis untuk meningkatkan kawalan di ladang dan kebun mereka, dan jika ada tangkapan, serah kepada polis bersama bukti untuk tindakan lanjut.
“Kita banyak terima kes mengatakan ada kecurian getah sekerap, tetapi bukti perlu ada barulah tindakan termasuk mendakwa pesalah dapat dilakukan.
“Saya juga ingin menasihatkan agar orang ramai tidak melakukan sesuatu di luar jangkaan hingga mencederakan pesalah itu,” katanya. - Bernama
Lagi Info Menarik:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan