Boros Di Aralom: Berita Kebakaran
Memaparkan catatan dengan label Berita Kebakaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Kebakaran. Papar semua catatan

Selasa, 24 Julai 2012

6 keluarga tinggal sehelai sepinggang - rumah terbakar selepas bersahur

Keadaan rumah yang terbakar
SANDAKAN: Enam keluarga membabitkan 53 orang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Lupak Meluas Darat di Karamunting di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi kelmarin.
Salah seorang ketua keluarga, Seguin Nasrah, 59, ketika ditemui berkata kebakaran itu dipercayai bermula selepas mereka selesai bersahur.

“Selepas makan sahur, saya dan keluarga yang masih berjaga pada ketika itu dikejutkan dengan api kebakaran dari rumah jiran.

“Api merebak dengan begitu cepat berikutan kedudukan rumah yang sangat dekat. Dari apa yang kami dengar, api berpunca daripada kecuaian jiran yang tidak mematikan dapur gas,” katanya.
Meskipun rumahnya musnah keseluruhan, namun Seguin bersyukur kerana berjaya menyelamatkan dokumen penting selain kesemua lapan ahli keluarganya selamat.

Katanya, kesemua keluarga mangsa kebakaran kini menumpang di rumah keluarga dan jiran untuk sementara waktu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin ketika dihubungi berkata 10 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.22 pagi. Bagaimanapun, ketika tiba kira-kira 20 minit kemudian, enam buah rumah setinggan yang terlibat telah musnah keseluruhan dan pihaknya hanya memadam sisa api yang tertinggal. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Wakil Rakyat Sekong, Datuk Samsudin Yahya ketika melawat tempat kejadian berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan disalurkan secara berperingkat bermula kelmarin bagi meringankan beban mangsa.
Ia meliputi bantuan makanan bermasak selama tiga hari bermula kelmarin selain makanan mentah selama seminggu serta alat binaan rumah yang akan disalurkan pada Isnin. Selain itu, bantuan kewangan daripada Pejabat DUN Sekong akan disalurkan kepada keluarga mangsa terlibat juga pada Isnin.

Beliau turut meminta pihak kerajaan agar dapat menyediakan kawasan perumahan yang lebih teratur kepada penduduk di kawasan Sekong, yang pada ketika ini ramai yang tinggal di kawasan setinggan.
Katanya, kawasan rumah setinggan dibina agak rapat antara satu sama lain dan keadaan ini menjadi sukar apabila berlaku kejadian kebakaran. Selain itu, Samsudin meminta pihak bomba dan penyelamat untuk memastikan pili bomba yang ada di sesebuah kawasan berfungsi sepenuhnya.

“Saya mendapat aduan daripada penduduk di sini bahawa pili bomba tidak boleh digunakan. Ia menyukarkan penduduk serta bomba sukarelawan yang datang lebih awal. Mereka tidak dapat memadam kebakaran berikutan tiada punca air,” katanya. - sumber: Borneo Post

Rabu, 4 Julai 2012

Kerana berdegil mahu memadamkan api, wanita rentung

Pasukan bomba di tempat kejadian
SUNGAI BULOH: “Saya sudah arahkan Hasnah keluar kerana asap semakin tebal, tetapi dia berdegil dan masuk bilik air untuk memadamkan api,” kata pemilik restoran, Tharitheran Patchai, 46, menceritakan detik cemas sebelum kebakaran membabitkan bilik gerakan MIC cawangan Kampung Baru yang meragut nyawa seorang pekerjanya di Jalan Welfare, Kampung Baru, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Hasnah, 50-an, ditemui mati akibat terhidu banyak asap selain mengalami kesan lecur pada tubuh dalam bilik air pejabat itu yang dijadikan asrama untuk dua pekerja.

Menurut Tharitheran, ketika kejadian dia yang juga Ketua MIC cawangan Kampung Baru berada di restorannya bersebelahan pejabat berkenaan apabila anaknya Karunakaran, 15, memberitahu ternampak asap tebal menyelubungi premis yang lebih 30 tahun digunakan.

“Saya mengesyaki berlaku kebakaran sebelum segera masuk ke belakang pejabat yang dijadikan tempat tinggal untuk dua pekerja wanita warga Indonesia kerana mahu mengejutkan mereka yang tidur.

“Kami cuba memadam api dengan menyiram air menggunakan baldi, namun asap semakin tebal sehingga saya hampir sesak nafas sebelum mengarahkan semua orang keluar,” katanya ketika ditemui.


Bagaimanapun, Hasnah yang lebih dua tahun bekerja di restoran berkenaan yang beroperasi 24 jam masuk semula dipercayai cuba memadam kebakaran walaupun ditegah seorang lagi pekerja, Rani, 50-an. “Saya tidak sedar Hasnah masuk semula berikutan keadaan agak genting ketika itu dengan asap tebal menyelubungi pejabat dan restoran serta memikirkan semua orang sudah berkumpul di tempat selamat.


“Namun, saya terkejut apabila anggota bomba dan penyelamat yang memadam kebakaran menemui mayat Hasnah dalam bilik air,” katanya.


Katanya, akibat kejadian itu dia kerugian RM30,000 termasuk dua motosikal miliknya yang diletakkan di tepi pejabat itu hangus. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Che Dawud Adli Yusoff berkata, dua jentera dengan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 2.07 pagi. Menurutnya, operasi memadam kebakaran mengambil masa 30 minit dan 100 peratus pejabat diperbuat daripada papan dan beratap zink itu musnah dijilat api.



“Pemeriksaan lanjut menemui mayat mangsa dalam bilik air dan tidak mengalami apa-apa kecederaan dipercayai mati akibat sesak nafas selepas terhidu asap tebal.



“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. - Sumber: myMetro