Pasukan bomba di tempat kejadian |
SUNGAI BULOH: “Saya sudah arahkan Hasnah keluar kerana asap semakin tebal, tetapi dia berdegil dan masuk bilik air untuk memadamkan api,” kata pemilik restoran, Tharitheran Patchai, 46, menceritakan detik cemas sebelum kebakaran membabitkan bilik gerakan MIC cawangan Kampung Baru yang meragut nyawa seorang pekerjanya di Jalan Welfare, Kampung Baru, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Hasnah, 50-an, ditemui mati akibat terhidu banyak asap selain mengalami kesan lecur pada tubuh dalam bilik air pejabat itu yang dijadikan asrama untuk dua pekerja.
Menurut Tharitheran, ketika kejadian dia yang juga Ketua MIC cawangan Kampung Baru berada di restorannya bersebelahan pejabat berkenaan apabila anaknya Karunakaran, 15, memberitahu ternampak asap tebal menyelubungi premis yang lebih 30 tahun digunakan.
“Saya mengesyaki berlaku kebakaran sebelum segera masuk ke belakang pejabat yang dijadikan tempat tinggal untuk dua pekerja wanita warga Indonesia kerana mahu mengejutkan mereka yang tidur.
“Kami cuba memadam api dengan menyiram air menggunakan baldi, namun asap semakin tebal sehingga saya hampir sesak nafas sebelum mengarahkan semua orang keluar,” katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun, Hasnah yang lebih dua tahun bekerja di restoran berkenaan yang beroperasi 24 jam masuk semula dipercayai cuba memadam kebakaran walaupun ditegah seorang lagi pekerja, Rani, 50-an. “Saya tidak sedar Hasnah masuk semula berikutan keadaan agak genting ketika itu dengan asap tebal menyelubungi pejabat dan restoran serta memikirkan semua orang sudah berkumpul di tempat selamat.
“Namun, saya terkejut apabila anggota bomba dan penyelamat yang memadam kebakaran menemui mayat Hasnah dalam bilik air,” katanya.
Katanya, akibat kejadian itu dia kerugian RM30,000 termasuk dua motosikal miliknya yang diletakkan di tepi pejabat itu hangus. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Che Dawud Adli Yusoff berkata, dua jentera dengan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 2.07 pagi. Menurutnya, operasi memadam kebakaran mengambil masa 30 minit dan 100 peratus pejabat diperbuat daripada papan dan beratap zink itu musnah dijilat api.
“Pemeriksaan lanjut menemui mayat mangsa dalam bilik air dan tidak mengalami apa-apa kecederaan dipercayai mati akibat sesak nafas selepas terhidu asap tebal.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. - Sumber: myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan