Boros Di Aralom

Sabtu, 2 April 2011

Misbun kembali ke BAM

Akhirnya persoalan ini terjawab. Selamat kembali ke BAM kepada Datuk Misbun Sidek. Harapan seluruh penyokong sukan badminton negara supaya sukan ini terus diperkukuhkan untuk melahirkan jaguh-jaguh sukan bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei. Berita ini dipetik dari The Malaysian Insider hari ini.

KUALA LUMPUR, 2 April — Isu peletakan jawatan jurulatih badminton Datuk Misbun Sidek berakhir apabila beliau menarik balik keputusannya dan bersetuju untuk berkhidmat semula dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Misbun mengejutkan banyak pihak apabila menghantar surat berhenti menjadi jurulatih BAM pada 31 Disember lalu. 
Datuk Misbun dan Datuk Lee Chong Wei. (pic from google)
Presiden BAM Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh berkata perkara itu dimaklumkan Misbun menerusi surat yang dihantar ke rumahnya tiga atau empat hari lalu. Beliau berkata BAM akan menawarkan kontrak baru kepada Misbun dengan terma-terma tertentu. Dipetik Bernama Online, kata beliau, pada dasarnya semua perkara itu sudah pun dibincang dengan Misbun. 

“Dalam kontrak itu nanti BAM akan putuskan sama ada Misbun akan melatih Chong Wei semula dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Petaling Jaya semalam. Misbun melatih jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei. 

Tindakan Misbun yang dikhuatiri menjejaskan peluang negara untuk meraih emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik London tahun depan, sekali gus menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Ahmad Shabery kemudiannya menjadi sebagai orang tengah antara Misbun dan Nadzmi yang mewakili BAM, apabila beliau berjumpa kedua-dua pihak secara berasingan pada 6 Januari lepas; Nadzmi semasa waktu makan tengahari dan Misbun pada makan malam. 

Pada 12 Januari lalu, BAM dalam satu mesyuarat mengambil keputusan untuk meminta Misbun menimbangkan semula keputusan beliau dan bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada jurulatih itu.  Isu peletakan jawatan Misbun berlarutan selama tiga bulan tanpa sebarang penjelasan daripada beliau, meskipun pelbagai spekulasi dibuat pihak media berhubung punca tindakannya. 

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, keputusan Misbun kembali ke pangkuan BAM akan menguatkan pasukan negara terutama dalam misi memburu pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik 2012. Beliau bersyukur Misbun kembali ke arena badminton negara hari ini untuk mengakhiri kemelut yang sudah berlarutan ini.


Trend Menarik Sekarang:- Peluang untuk mendapatkan iPhone4 dari DiGi Take the Nestle Wellness Profiler Test today Install Opera Mini-FY dalam smartphone

Jumaat, 1 April 2011

Pecat Bung Mokhtar - kata Lim Guan Eng

Kini bung Mokhtar pula yang nak jadi isu hit dalam agenda politik tanah air. Biasa lah tu kalau dah nak dekat pilihan raya kan. Berita ni dipetik dari The Malaysian Insider yang ditulis oleh Shannon Teoh.


KUALA LUMPUR, 1 April — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Barisan Nasional (BN) memecat Datuk Bung Moktar Radin berhubung komen  ‘tidak senonoh’ dengan menuduh Ahli Parlimen Kinabatangan itu melihat wanita hanya sebagai objek seks.
Bung Mokhtar dan isteri. (pic from google)
Lim juga berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memecat pegawainya Mohd Ashraf Mohd Yunus yang menonton bahan lucah selepas menyiasat Teoh Beng Hock pada malam sebelum pembantu setiausaha DAP itu ditemui mati dua tahun lalu.

“Bagaimana Malaysia boleh maju ke hadapan dalam soal kesamaan jantina jika individu seperti Bung Moktar secara berterusan mengatakan menyukai wanita dengan berulang kali? Ini adalah kelakuan seorang lelaki yang melihat wanita sebagai objek seks,” kata Lim.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu buktikan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Bung Moktar di Parlimen Isnin lalu apabila mengatakan pemanduan golongan wanita kebanyakannya amat berbahaya dan sekali gus boleh mengundang kemalangan.

Beliau juga menggesa Najib memecat Bung Moktar yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

“Masa sudah tiba untuk ahli Parlimen seperti Bung Moktar dipecat dari BN untuk membuktikan konsep 1 Malaysia Najib termasuk menghormati wanita,” kata Lim.

Ketua Menteri Pulang Pinang itu berkata Bung Moktar telah membuat satu kenyataan berbaur lucah sebelum 2007 apabila mengatakan Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan “bocor” setiap bulan.

Bung Moktar bagaimanapun memohon maaf kepada wakil rakyat DAP itu. Lim juga berkata bahawa “penagih seks” seperti Mohd Ashraf harus dipecat kerana gagal dalam tugas asasnya untuk memerhatikan Teoh.

“SPRM perlu pecat Ashraf bukan kerana Ashraf menonton pornografi menerusi komputernya di pejabat SPRM pada 16 Julai 2009 tetapi kerana gagal menjalankan tugas asasnya iaitu memerhatikan Teoh Beng Hock,” katanya.

Beliau berkata, menonton pornografi bukan satu alasan untuk memecat Ashraf tetapi penolong pegawai SPRM Selangor itu harus dipecat kerana tidak memerhatikan Teoh, yang ditemui mati beberapa jam kemudian. Semalam Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) kematian Teoh berkata, pegawai SPRM itu menonton pornografi selepas mengambil kenyataan bekas setiausaha politik Exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Mayat Teoh beberapa jam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.