Boros Di Aralom

Selasa, 8 Julai 2014

Kerana Cemburu Buta, Pengantin Baru dibakar suami

KANGAR - Pada masa mereka sepatutnya menikmati hidup bahagia berbulan madu, sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin sebaliknya sering bertengkar.

Puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain. Pagi semalam, perasaan cemburu itu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu. 
  
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini,  kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya. Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal , suspek yang juga seorang penganggur  berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api.

“Namun api turut menyambar kaki dan tangannya  mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus," katanya.

Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar. Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat.

“Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga mangsa sepatutnya mengadakan majlis kenduri kesyukuran semalam bagi menyambut ulang tahun kelahiran wanita tersebut.

Nenek mertua mangsa berusia 70-an berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa yang ke 23 semalam. Bagaimanapun, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kejadian berkenaan.

Menceritakan semula kejadian, ketika itu, dia baru pulang dari pasar sebelum terdengar jeritan orang meminta tolong dari dalam bilik.

“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan melihat badan mangsa sedang terbakar.

“Cucu saya yang cuba memadamkan api itu juga mengalami kecederaan, sebelum membantu mangsa dengan mengambil air dan mencurahkannya ke badan mangsa,” katanya dalam nada sedih. - Sinar Harian

Isnin, 7 Julai 2014

(Gambar) Air Asia terbabas dari landasan ketika mendarat, kru pesawat keruhkan lagi keadaan

Petang tadi kira-kira jam4.00ptg, pesawat Airbus 330 milik AirAsia terbabas dari landasan ketika melakukan pendaratan di lapangan terbang antarabangsa Brunei. Walaubagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua 103 penumpang dan tujuh anak kapal dalam pesawat AK287 berjaya keluar dari pesawat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Namun demikian, ramai penumpang yang meluahkan rasa kurang puas hati dengan cara kru pesawat mengawal keadaan. Suasana panik berlaku apabila seorang kru menjerit "lari, lari, lari!" sebelum para penumpang mengelonsor keluar dari pesawat. Akibatnya, mereka terpijak antara satu sama lain.

Sebelum itu, suasana turut menjadi panik seketika apabila pintu pesawat tidak dapat dibuka dan mereka terhidu bau seperti sesuatu telah terbakar.Keadaan ini menyebabkan ramai penumpang yang panik dan menjerit.

Punca sebenar pesawat Air Asia itu tergelincir masih lagi disiasat namun menurut Brunei Times, kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh hujan.

Sumber: channelnewsasia, malaysiakini