Boros Di Aralom

Sabtu, 1 November 2014

Antara sebab kenapa anda harus berhati-hati dengan lembu

LUKUT - Angkara dua kumpulan lembu sedang bergaduh di jalan raya, seorang penunggang motosikal cedera.

Kejadian berlaku di Taman Tasik Bandar Springhill, di sini kira-kira 2.30 petang semalam, apabila mangsa, R Selvaraj, 62, dilanggar salah seekor haiwan berkenaan.

Mangsa yang luka di beberapa anggota badan termasuk sakit di bahagian dada menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berseorangan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Fasa 2 Bandar Springhill.

Menurut Selvaraj, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia ternampak dua kumpulan membabitkan kira-kira 40 ekor lembu di kiri dan kanan jalan.

“Tiba-tiba seekor lembu yang berada di pembahagi jalan seperti sedang bergaduh berlari ke arah motosikal saya menyebabkan saya tidak sempat mengelak dan terjatuh.

“Mujur lembu itu tidak pijak atau terus menyerang saya," katanya yang mendapat rawatan di Hospital Port Dickson (HPD).

Selvaraj berkata, dia kesal kerana pemilik lembu membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di kawasan perumahan dan jalan raya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Rozi Ithnin berkata, MPPD menerima banyak aduan berkaitan haiwan peliharaan terutama lembu berkeliaran di kawasan awam termasuk jalan raya.

“Dalam masa sama, MPPD menjalankan operasi menangkap lembu berkeliaran tanpa jagaan pemilik atau penjaganya di kawasan awam.

“Jika pemilik lembu masih berdegil dan tidak mengawasi haiwan ternakan masing-masing, MPPD tidak akan bertolak ansur. Tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap mereka,” katanya. - Sinar Harian

Wanita Tempatan Cuba Kahwin Militan IS Didakwa

SEPANG: Seorang wanita hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba menjadi anggota kumpulan militan digelar Negara Islam (IS).

Ummi Khalsom Bahok, 25, didakwa cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan pesawat Airasia dari KLIA2, Sepang ke Brunei dan Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan anggota kumpulan itu, Aqif Huessin Rahaiza.

Ummi Khalsom, seorang penolong pegawai kredit yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, klia2, pada pukul 5.20 pagi, 5 Oktober 2014.

Bagi kesalahan itu, Ummi Khalsom didakwa mengikut Seksyen 130J9(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J.

Ia memperuntuk hukuman penjara tidak lebih daripada setengah daripada tempoh hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun, atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Ummi Khalsom turut didakwa atas tuduhan pilihan iaitu dengan cara mengambil penerbangan pesawat Airasia dari klia2 ke Brunei kerana cuba memberi sokongan kepada IS dengan memasuki Syria dari Brunei ke Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan Aqif Huessin bagi manfaat kumpulan itu.

Kesalahan itu dituduh dilakukan pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Hakim Aizatul Akmal Maharani menetapkan 20 November untuk sebutan bagi membolehkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Aizatul Akmal tidak membenarkan sebarang jaminan kerana kes berkenaan tidak memperuntukkan tertuduh dijamin dan akan ditahan sementara menunggu perbicaraan selesai.

Sepanjang prosiding, Ummi Khalsom yang bertudung labuh dan berjubah hitam kelihatan tenang dan mengganguk sebagai tanda faham atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Sharuddin Wan Ladin. - mstar