Boros Di Aralom

Khamis, 16 Oktober 2014

Dengar dulu luahan rakyat Sabah, jangan ancam terus - MP UMNO BN Sabah bersuara

Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) menggesa kerajaan supaya tidak mengancam pihak yang meniupkan sentimen untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia. Sebaliknya, beliau menyarankan kerajaan mendengar dahulu masalah yang dicetuskan oleh kumpulan intelektual yang mendakwa wujud ketidakadilan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Abdul Ghapur Salleh, Ahli Parlimen Kalabakan (via Mkini)
"Di Sabah kebelakangan ini kita nampak, dengar dan baca ada kumpulan-kumpulan intelektual yang terpelajar - mereka ini bercadang meminta Sabah keluar dari Malaysia.

"Ini kita tak boleh pandang ringan Datuk Speaker kerana mereka ini intelektual.

"Mungkin ada perkara-perkara yang mereka fikirkan Sabah tidak dapat - tidak ada pembahagian sama rata di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Jadi kita nampak pemimpin, menteri datang mereka ini mengancam untuk mengambil tindakan.

"Ini cara dahulu, kita sudah maju kita tak mahu ancaman. Kita mahu kerajaan Persekutuan mendengar masalah mereka ini.

"Kita tak mahu apa yang disuarakan semuanya salah, dengar dahulu," kata Abdul Ghapur di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 21 September lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan agar masa depan negara tidak digadai demi agenda peribadi untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia. Menyifatkan golongan itu sebagai 'tidak ada kerja lain selain berpolitik', beliau menggesa agar isu keselamatan Sabah dipertimbangkan dalam perkara itu.

Sebelum itu, pada 11 Spetember polis menahan tiga individu selama dua tahun di pusat pemulihan kerana mempunyai kaitan dengan usaha pihak tertentu untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ketiga-tiga individu terbabit adalah dua warga Malaysia, Abu Bakar Jayari dan Zainuddin Mislani dan seorang pendatang tanpa izin warga Filipina, Kassim Ibrahim. - Mkini

Selamat datang GST - Rakyat termasuk kanak-kanak bakal bayar RM270 seorang

Setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak akan membayar kira-kira RM270 seorang mulai April hingga Disember tahun depan apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, menurut seorang ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).
Wong Chen ketika bercakap dalam forum itu (pics via TheMalaysianInsider))
Bercakap pada satu forum malam tadi, wakil rakyat Kelana Jaya, Wong Chen berkata purata isi rumah perlu membayar RM1,084 untuk GST, melebihi jumlah diterima setiap isi rumah berpendapatan rendah melalui bantuan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau mendakwa angka itu kiraan tepat mengenai kesan sistem cukai baharu yang dijadual bermula April tahun depan itu, dan menyangkal kenyataan Putrajaya ia meraih RM690 juta hasil bersih daripada GST pada 2014 .

Mengikut formula beliau, Putrajaya dijangka memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM8.5 bilion daripada GST.

"Ambil RM23.2 bilion yang kerajaan sepatutnya dapat dalam bentuk hasil kasar bagi GST, tolak kehilangan GST RM13.8 bilion dan bayaran BR1M RM1.3 bilion.

"Jadi, keuntungan sebenar dari GST ialah RM8.5 bilion. Bahagikan jumlah itu dengan 30 juta rakyat Malaysia, dan anda akan dapat RM270 seorang, termasuk kanak-kanak," kata Wong Chen pada forum Pakatan Rakyat mengenai Bajet 2015 di Subang Jaya.

Kerajaan akan memperkenalkan GST sebanyak 6% pada April 2015, dan menjustifikasikannya sebagai cara lebih cekap mengutip cukai dan mengisi dana awam.

Putrajaya mendakwa walaupun ia menjangkakan mengumpul RM23.2 bilion hasil kasar, untung bersih sebenar hanya RM690 juta.

Wong dan PR, bagaimanapun, mempersoalkan angka ini, mengatakan kerajaan bakal mengutip untung bersih sebanyak RM8.5 bilion.

Walaupun Putrajaya mengatakan cukai baharu itu perlu, ramai merasa ragu dan bimbang ia akan menyebabkan inflasi tidak terkawal.

Pada masa ini, hanya 18% daripada penduduk negara ini membayar cukai pendapatan, manakala lebih separuh daripada 7 juta isi rumah mendapat kurang daripada RM4,000 sebulan.

Pengkritik mendakwa, masanya belum sesuai melaksanakan GST di Malaysia kerana ia akan membebankan isi rumah berpendapatan rendah.

Bagi mengurangkan kesan GST, Putrajaya meningkatkan jumlah BR1M. Isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 akan menerima RM950 manakala yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 menerima RM750.

"Tetapi mengikut perkiraan kami, BR1M tidak cukup menampung perbelanjaan akibat GST bagi isi rumah berpendapatan rendah," kata Wong.

Seorang lagi penceramah pada forum itu, Rafizi Ramli (gambar, kiri) berkata, PR menentang pelaksanaan GST pada peringkat ini dalam pembangunan Malaysia kerana masih terdapat ramai rakyat bergaji rendah.
Rafizi Ramli
"Selagi gaji kita tidak selaras dengan kadar inflasi dan ekonomi kita tidak adil kepada pekerja, kita tidak patut melaksanakan GST," kata Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan.

"Apabila Singapura dan Australia memperkenalkan GST, mereka memastikan gaji pekerja meningkat dan ramai yang sudah membayar cukai pendapatan.

"Jadi, GST bagi mereka, hanyalah satu cara lain mengutip cukai, tetapi tidak meningkatkan beban cukai," kata Rafizi. Di Malaysia, di mana lebih daripada 75% penduduknya tidak mendapat gaji yang cukup besar untuk membayar cukai, sistem cukai baharu itu akan membebankan mereka, kata setiausaha agung PKR itu.

Katanya, Pakatan Rakyat mahu memperkenalkan cukai laba modal (Capital Gains Tax atau CGT) yang mengenakan cukai atas keuntungan daripada pelaburan rakyat Malaysia yang kaya. Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming menjelaskan banyak negara telah melaksanakan CGT dengan jayanya tanpa menyebabkan pelabur lari.

"Kami mahu cukai keuntungan pada saham mengikut amalan terbaik di seluruh dunia, bermakna pencen dan dana persaraan seperti KWSP boleh dikecualikan," kata Ong. Menurut unjuran PR, CGT akan menghasilkan RM3 bilion pada 2015 tanpa menambah satu lagi beban cukai bagi mereka yang berpendapatan rendah di Malaysia. - TMI