Mekanik dituduh kurung, cabul remaja | Boros Di Aralom

Khamis, 2 Ogos 2012

Mekanik dituduh kurung, cabul remaja

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mengurung dan mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Chan Hwa Chez, 40, yang memakai baju kemeja kelabu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Suzarika Sahak.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan remaja itu dalam sebuah bilik di Dang Wangi, di sini, pada jam 10 pagi 7 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menghalang dengan salah mangsa sama iaitu menahannya keluar dari had terlindung di tempat, masa dan hari sama.


Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Suzarika yang menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes itu turut membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Chan turut menghadapi dua lagi tuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah syabu seberat 64.14 gram dan memiliki 20 biji pil dadah disyaki ecstasy dengan berat 2.5 gram.

Tiada pengakuan direkodkan bagi tuduhan yang dilakukan di sebuah rumah beralamat Blok C-17-2, Putra Majestic Condominium, Jalan Kasipillay, Off Jalan Ipoh, di sini, pada jam 8 malam 12 Julai lalu.

Bagi tuduhan pertama iaitu mengedar syabu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Chan yang turut didakwa memiliki ecstasy mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama itu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Sumber: myMetro

Tiada ulasan: