KAHERAH - MESIR. Seorang lelaki yang merupakan pemandu bas didapati hamil dua bulan setelah melalui ujian saringan air kencing yang dilakukan dalam satu pemeriksaan baru-baru ini.
Kenyataan tersebut disahkan oleh pegawai perubatan yang melakukan ujian air kencing bagi mengesan pengambilan dadah oleh pemandu bas di sebuah syarikat di negara tersebut.
Menurut pegawai tersebut, lelaki itu pada awalnya bertegas memaklumkan bahawa contoh urin tersebut adalah miliknya sebelum pegawai tersebut mengucapkan tahniah ke atas kehamilannya.
“Tahniah, anda hamil!” kata pegawai tersebut seperti yang dipetik melalui portal berita BBC.
Setelah didesak berkali-kali, akhirnya pemandu bas itu mengakui mengambil sampel air kencing isterinya selain tidak sedar bahawa isterinya hamil dua bulan.
Lelaki tersebut juga mengakui bahawa pertukaran contoh air kencing adalah perkara lazim dilakukan pemandu bas negara itu bagi mengelakkan dikesan berikutan pengambilan dadah.
Baru-baru ini, stesen berita tempatannya, AlJazeera melaporkan peningkatan penggunaan dadah jenis tramadol, sejenis pil penahan sakit yang dikatakan boleh menambah tenaga.
Menurut laporan lagi, dadah jenis itu senang didapati dan dijual dengan harga yang berpatutan, membuatkan pengambilan dadah di kalangan penduduk di negara tersebut meningkat secara berterusan.
Menurut pakar psikologi, Dr Emad Hamdi, kebanyakan individu yang mengambil pil tramadol secara rutin tidak sedar bahawa mereka menjadi ketagih dengan dadah jenis itu.
“Ada sesetengah individu mengambil dadah tersebut untuk menambah tenaga bagi yang bekerja, namun akhirnya mereka akan jadi ketagih.
“Jika pengguna mengambil ubat tersebut selama beberapa hari secara berterusan, pengguna akan terus menggunakan ubat tersebut tanpa henti,” jelasnya.
Sementara itu, dalam laporan yang sama, Lembaga Pengangkutan Awam Mesir menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas pemandu bas tersebut.
Menurut jurucakapnya, pihaknya akan mengambil ujian darah bagi mengesan pengambilan dadah ke atas pemandu bas pada masa akan datang.
Katanya lagi, ia bagi mengelakkan pihak berkuasa diperdaya dengan kaedah yang sama digunakan oleh pemandu bas terbabit. - Sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan