Boros Di Aralom: Penipuan Internet
Memaparkan catatan dengan label Penipuan Internet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penipuan Internet. Papar semua catatan

Selasa, 31 Julai 2012

Ady Putra ditipu pelaburan internet

Pelakon popular, Ady Putra.
KUALA LUMPUR: “Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat,” kata pelakon popular, Ady Putra, 31.
Pelakon berasal dari Singapura itu yang sering membintangi drama dan filem di negara ini berkata demikian ketika mengulas mengenai kerugian RM19,000 dialaminya kerana ditipu selepas melabur dalam satu pelaburan di Internet.

Menurut Ady, apa yang berlaku suatu yang bersifat peribadi dan dia dinasihatkan polis supaya tidak menceritakan kejadian itu secara terbuka kepada pihak media mahupun peminat.

“Tolong hormati pendirian saya kerana apa yang berlaku sudah menjadi kes polis. Apa yang boleh saya katakan, perkara itu kini menjadi milik kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Ady yang turut membintangi filem pecah panggung, KL Gangster kini sedang menjalani penggambaran filem Balistik terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd di sekitar ibu kota, mengatakan kejadian itu boleh memberikan kesan pada dirinya secara peribadi termasuk karier seni. - Sumber: myMetro

Isnin, 11 April 2011

Lagi mangsa penipuan internet

Bukan satu dua kes penipuan internet ini yang telah berlaku tapi dah banyak. Namun, kes seumpamanya masih lagi kurang memberi kesedaran masyarakat terhadap jenayah siber yang kian berleluasa. Apa yang berlaku kepasa Ayu seperti yang dilaporkan oleh myMetro rasanya pernah berlaku sebelum ini. Diharapkan kes ini akan memberi pengajaran kepada kita supaya lebih berhati-hati kelak. 

KLANG: Gara-gara percaya e-mel yang mengatakan akaunnya di sebuah bank bakal dibekukan, seorang wanita berputih mata apabila wang simpanan RM5,000 dipindahkan ke akaun lain tanpa pengetahuannya. Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 29, berkata dia menyedari wang dipindahkan ke akaun lain apabila menerima SMS pengesahan daripada pihak bank.
Ayu. (Pic taken fron myMetro)
Dia yang cemas membuat laporan polis serta menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan bank berkenaan untuk membuat pengesahan sama ada wang dalam akuannya dipindahkan ke akaun lain. Ayu berkata, sebelum kejadian dia menerima e-mel daripada pihak yang mengaku wakil bank berkenaan dan memintanya mengemas kini maklumat peribadi supaya akaun simpanannya tidak dibekukan.

“Khuatir perkara itu, saya membuka pautan yang terdapat dalam e-mel terbabit dan memasukkan alamat e-mel dan kata laluan seperti diminta.

“Laman web itu sama dengan laman web rasmi bank berkenaan. Jadi, saya tidak mengesyaki apa-apa yang pelik pada laman web itu.

“Selepas e-mel dan kata laluan dimasukkan, saya menerima SMS daripada bank yang mengatakan sejumlah wang daripada akaun saya sudah dipindahkan,” katanya.


Ayu berkata, walaupun laporan polis dan aduan dibuat, bank berkenaan seolah-oleh lepas tangan dan sukar bekerjasama dalam mengendalikan kes itu. Menurut Ayu, bank itu memberi jawapan tidak meyakinkan terhadap persoalan diajukan terutama ke akaun mana wangnya dipindahkan.

“Pegawai bertugas berkata siasatan terperinci dijalankan dan pelbagai perkara perlu diteliti sebelum laporan lengkap disiapkan dan lebih mengecewakan terdapat kekeliruan dari segi waktu transaksi berlaku.

“Mengikut laporan bank berkenaan, waktu wang saya dipindahkan ke akaun lain pada jam 11.59 malam, tetapi berdasarkan penyata kewangan bank itu,menunjukkan waktu wang saya dipindahkan ke akaun lain pada jam 11 malam.

“Saya membuat laporan polis sekali lagi serta menghantar surat aduan kepada Bank Negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap laporan yang diterima selain meminta laporan terbabit diteliti semula,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, bank berkenaan perlu menaik taraf tahap keselamatan sistem perbankan secara dalam talian kerana dia bukan mangsa pertama dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan ramai lagi menjadi mangsa.
 Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan laporan mangsa pada 2 Mac lalu dan siasatan masih dijalankan.

Mohamad menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan e-mel daripada pihak yang tidak dikenali dan menyarankan orang ramai membuat pengesahan dengan pihak bank jika maklumat diterima meragukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan hukuman maksimum 10 tahun penjara, sebatan dan denda.

*Kalau dapat emel yang meminta kata laluan tu, elok hubungi pihak bank terlebih dahulu. Pernah dapat emel seperti ini tapi nasib baik lah ingat nasihat cikgu semasa sekolah menengah dulu tentang cara utk berhadapan dengan situasi sedemikian.


Trend Menarik Sekarang:- Take the Nestle Wellness Profiler 

Selasa, 5 April 2011

Lelaki kerugian RM300 ribu dalam sindiket penipuan melalui internet

Ini satu lagi isu yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat kini. Kemajuan dalam teknologi terutamanya IT sememangnya banyak memberi kemudahan dan keselesaan kepada kita untuk berurusan terutamanya dengan kerajaan, bank, cukai, dan sebagainya. Namun, medium ini juga sering disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk mengambil kesempatan untuk kebaikan diri sendiri. Penipuan terutamanya dalam skim cepat kaya, MLM, e-dagang, dan jualan langsung memang tidak boleh disangkal lagi fenomenanya di internet. Lihat, saja berita yang dipetik dari akbar online myMetro ini yang melaporkan tentang seorang bekas tentera yang terpaksa menanggung kerugian sehingga RM300 ribu akibat ditipu melalui internet.

KUALA LUMPUR: Seorang pesara tentera yang kemaruk mahu menjalankan perniagaan dengan cara mudah dan cepat kerugian RM300,000 selain terpaksa menanggung beban hutang selepas ditipu seorang wanita tempatan yang mendakwa pembekal batu permata.
Mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuatnya. (pic from myMetro)
Mangsa yang dikenali sebagai Azam, 42, berkata, ketika kejadian dia baru beberapa bulan bersara dan tidak menyangka wang pampasan tamat perkhidmatan yang sepatutnya digunakan untuk membeli rumah dan simpanan perbelanjaan persekolahan anaknya ‘hangus’ sekelip mata, manakala pinjaman bank atas nama isterinya berjumlah RM100,000 terpaksa dibayar ansuran selama 15 tahun.

Katanya, dia menghubungi telefon bimbit semua anggota sindiket terbabit beberapa kali selepas menyedari tertipu, tetapi tidak berjawab. Bagaimanapun, tiga minggu lalu dia menerima kiriman e-mel daripada seorang anggota sindiket itu yang menulis: ‘Awak bodoh sebab itu awak terkena.’ Azam berkata, kejadian bermula selepas dia menerima e-mel pada 24 November tahun lalu daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Farah, kononnya bekerja dengan sebuah syarikat asing beroperasi di United Kingdom.

Menurutnya, wanita terbabit memberitahu mahu mengembangkan empayar perniagaan syarikatnya dengan mencari ejen tempatan yang ingin melabur dan membeli batu permata. Katanya, pada mulanya dia enggan mempercayai tawaran itu kerana segala urusan dan pujuk rayu wanita terbabit hanya melalui e-mel dan mereka tidak pernah berjumpa. Namun, selepas berulang kali dipujuk wanita itu melalui kiriman SMS, dia terpengaruh.

“Farah beritahu jika saya menjadi ejen mereka, segala urusan jual beli akan diuruskan syarikatnya, malah pelanggan tetap yang mahu membeli barang itu juga sudah ada.

“Saya akan dibayar komisen 40 peratus manakala 60 peratus lagi milik syarikat terbabit. Harga belian sekilogram batu permata yang boleh dijadikan barang kemas, jam dan kemasan lantai itu kira-kira AS$2,250 (RM6,750) dan harga jualan mencecah AS$7,500 (RM22,500). Ini bermakna saya memperoleh keuntungan AS$5,250 (RM15,750),” katanya yang membuat laporan polis pada 21 Disember tahun lalu di Setapak.

Selepas bersetuju menjalankan perniagaan itu, Farah memberikannya nombor telefon dan nama pembekal yang akan berurusan dengan pelanggan baru di Malaysia iaitu dua wanita yang dikenali sebagai Alisyah dan Jastinez dari Kuching, Sarawak.

“Saya membuat tempahan 50 kilogram batu permata dengan membuat pembayaran melalui akaun bank sebanyak RM3,000 sebagai wang pendahuluan. Selepas itu, saya menambah pesanan barang berkenaan melalui panggilan telefon sehingga mencecah 500 kilogram. “Setiap pertambahan itu saya membuat pembayaran sebanyak enam transaksi dengan jumlah melebihi RM155,000 manakala pembayaran tunai RM130,000 dibayar terus kepada seorang wanita dipanggil Syarifah,” katanya.

Katanya, walaupun pembayaran penuh dibuat, barang yang dijanjikan masih gagal diterima, malah dia dimaklumkan penghantaran barangan itu mengalami masalah dengan Jabatan Imigresen.

“Saya diarah menambah jumlah tempahan supaya penghantaran barang yang dibuat berjalan lancar dan melepasi had ditetapkan. Namun kali ini, mereka menjanjikan bayaran tunai untuk setiap penjualan yang dibuat kepada mereka.

“Bagi memastikan saya tidak menanggung kerugian bagi setiap kilogram barangan yang ditempah sebelum itu, saya membuat bayaran seterusnya sebanyak RM10,000 walaupun ketika itu saya tidak mempunyai wang mencukupi,” katanya.

Katanya, sebelum barang itu diserahkan kepadanya, seorang ejen lelaki bernama Jeremaiah dipercayai warga Afrika menghubunginya dan memberitahu dia perlu membuat bayaran kos penghantaran RM15,000.

“Duit saya sudah ‘kering’ jadi saya hanya mampu bayar RM5,000 secara tunai kepada lelaki terbabit sebelum melangsaikan baki RM10, 000 dua minggu kemudian. Ketika berjumpa, dia menyerahkan satu beg berisi sebuah kotak keselamatan berwarna hitam seberat 30 kilogram. Apabila dibuka, kotak itu hanya mengandungi helaian kertas berwarna kuning dan kapas.

“Saya diberitahu kertas itu boleh ditukar menjadi wang kertas berjumlah AS$3,750, 000 (RM9 juta) sekiranya dicampurkan dengan bahan kimia yang perlu dibeli dengan harga RM10,000.

“Saya menyesal dan kecewa dengan kejadian yang menimpa kami sekeluarga. Siapa sangka niat untuk membuka perniagaan sebagai sumber pendapatan keluarga membawa padah,” katanya yang menyedari tertipu dengan permainan sindiket terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Trend Menarik Sekarang:- Peluang untuk mendapatkan iPhone4 dari DiGi Take the Nestle Wellness Profiler Test today Install Opera Mini-FY dalam smartphone