Boros Di Aralom: buli
Memaparkan catatan dengan label buli. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buli. Papar semua catatan

Jumaat, 7 November 2014

Lima Pelajar Mengaku Bersalah Merusuh Di Asrama Anak Yatim

KANGAR: Lima pelajar mengaku bersalah di Mahkamah Juvana Kangar pada Khamis atas tuduhan merusuh sehingga menyebabkan seorang rakan mereka tercedera.

Seorang lagi tertuduh, tidak hadir pada prosiding itu.

Kesemua tertuduh yang berumur 13 hingga 15 tahun itu didakwa dalam satu kumpulan mendatangkan kecederaan kepada Noor Azhar Saad, 11 tahun, antara 1 tengah hari pada 31 Mei dan 2 petang, 1 Jun di asrama anak yatim, Kompleks Penyayang Tun Dr Siti Hasmah, Jejawi, dekat sini.

Kesemua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bercakap kepada pemberita Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Mohamad Sabri berkata Majistret Norhayati Ibrahim menetapkan masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Disember untuk menjatuhkan hukuman.

Syazwani berkata seorang lagi tertuduh yang tidak hadir akan didakwa kemudian.

Kesemua remaja itu tidak diwakili peguam manakala peguam Razairul Hafiz Md Razib bertindak sebagai peguam pemerhati.

Kejadian buli terhadap Noor Azhar dirakam dan dimuat naik dalam Facebook serta media sosial baru-baru ini sehingga mendapat simpati orang ramai terhadap mangsa. - mstar

Rabu, 23 Julai 2014

Insiden Peugeot #CDM25 : Kiki Didenda RM5,000 Serta 240 Jam Khidmat Masyarakat

Siti Fairrah Ashyikin Kamaruddin atau Kiki Kamaruddin, yang didakwa kerana bertindak ganas dengan membuli seorang warga emas, minggu lalu (14 Julai) didenda RM5,000, selain melakukan kerja komuniti selama 240 jam oleh Mahkamah Sesyen, di Kuantan semalam (22 Julai).
Kiki ditahan di IPD Kuantan pada 17 Julai 2014
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Kiki mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kerosakan terhadap kereta milik Sim Siak Hong, 61, di hadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Kuantan. Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, dengan denda atau kedua-duanya.

Sumber: Says


Khamis, 5 Julai 2012

3 budak berumur tujuh tahun belasah rakan

Kes buli semakin menjadi-jadi. (sekadar gambar hiasan)
SANTUBONG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera di seluruh badan apabila dibelasah tiga kanak-kanak sebaya selepas gagal menyerahkan wang seperti diarahkan dalam kejadian di Kampung Rampangi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk dahi, pipi serta mulut dipercayai dibelasah bertalu-talu tiga kanak-kanak itu. Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa didatangi ketiga-tiga kanak-kanak terbabit sambil mengugut mangsa menyerahkan wang.

“Bagaimanapun, mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang menyebabkan mereka membelasah mangsa tanpa belas ihsan.

“Dalam keadaan kesakitan, mangsa merayu supaya memberhentikan perbuatan itu namun ketiga-tiga kanak-kanak terbabit tidak mempedulikan rayuan sebalik membelasahnya sehingga berdarah.

“Sebaik melihat mangsa tidak bermaya, ketiga-tiga mereka melarikan diri. Mangsa pulang ke rumah dan memberitahu ibunya mengenai kejadian,” katanya.

Terkejut dengan keadaan mangsa, ibunya berusia 50 tahun membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Santubong pada hari kejadian. Katanya, kanak-kanak terbabit turut dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut dan keadaannya dilaporkan tidak serius.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan. - Sumber: myMetro