MACHANG: “Aku nak kereta, kalau tak aku tembak!,” kata seorang penjenayah paling dikehendaki polis sambil mengacukan pistol di leher Siti Norhafizah Omar, 27, sebelum melarikan kereta Perodua Myvi bersama anak lelakinya berusia setahun lima bulan dalam kejadian berhampiran Masjid Kampung Paloh, Gua Musang, awal pagi semalam.
Penjenayah itu, Zawa Abdul Halim, 34, dalam buruan polis berkaitan kejadian tembak di Paloh, kelmarin dan beberapa jam kemudian dia ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Kilometer 45, Kampung Kemuning, di sini, jam 7.30 pagi semalam.
Biarpun dilarikan 100 kilometer (km) dan berada dalam kereta ketika berlaku kejadian berbalas tembakan, anak Siti Norhafizah, Mohd Haikal Harraz Hasrizal terselamat tanpa kecederaan.
Selepas dikejar polis, Zawa yang terbabit samun, curi kereta, pecah rumah dan pengedaran dadah, terbabas apabila Perodua Myvi dicurinya itu terlanggar pembahagi jalan.
Bagaimanapun, ketika keluar dari kereta dia melepaskan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan anggota polis dan satu daripadanya mengenai tangan dan rusuk kanan Koperal Mat Raduan Mat Hassan, 50, yang kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). - Sumber: myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan