Sertai PAS, Hairie Othman Berhenti Berlakon | Boros Di Aralom

Jumaat, 29 Jun 2012

Sertai PAS, Hairie Othman Berhenti Berlakon

Hairie Othman masuk PAS
Pelakon filem juga drama popular, Hairie Othman, mengakui sejak menyertai parti PAS, beliau tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon sehingga ke hari ini. Namun situasi tersebut tidak langsung mematahkan semangat hero filem Leftenan Adnan ni untuk tetap dengan pendiriannya mahu setia dengan parti pimpinan tok guru Nik Aziz Nik Mat itu.
Malahan Hairie sudah sejak dari awal lagi menjangkakan yang dia bakal berdepan dengan nasib sebegitu. Justeru pelakon berusia 41 tahun ni memberitahu yang dia akan bersara dari kerjaya yang sudah diceburi selama 20 tahun itu. 
Menurut Hairie, dia langsung tidak bimbang meskipun kini sudah kehilangan pekerjaan. Sebalik rezeki baru yang diterima, Hairie sekarang giat aktif dengan memenuhi undangan-undangan ceramah di merata tempat. 
"Selepas saya declare saya sertai PAS, memang tiada satu pun tawaran berlakon yang saya terima. Kali terakhir saya berlakon ialah drama Waris yang kini ditayangkan di TV3. Itu pun sebab drama tu menjalani penggambaran awal tahun ni. Tapi tak mengapa, sebab sekarang saya kerap dijemput untuk berceramah",
"Saya tidak terkilan langsung tinggalkan dunia lakonan. Sebab sudah tiba masanya saya berubah dan ini adalah perjuangan saya" ujar Hairie Othman ketika ditemui sejurus usai majlis forum Artis Berpolitik: Sekadar Glamor @ Kerana Prinsip, bertempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, malam tadi.
Turut hadir sebagai panel ialah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong yang juga merupakan penulis lirik lagu Awan Nano, Hasmi Hashim atau popular dengan nama pena, Budi Hikayat. Serta wakil daripada parti UMNO iaitu Presiden Persatuan Seniman, pelakon Zed Zaidi. 
Bercakap di majlis anjuran Akademi Pak Sako itu mengenai tajuk forum tersebut, Hairie yang mewakili parti PAS berkata keputusannya untuk menyertai parti berkenaan kerana prinsip jauh sekali untuk meraih populariti.
"Glamor ni lebih sesuai dalam bidang seni. Mungkin juga sebab saya ni pelakon, jadi kalau masuk politik nampak glamor lah. Tapi macam mana pula dengan orang biasa yang menyertai parti politik?"
"Secara dasarnya kalau kita bercakap soal politik mestilah atas dasar prinsip. Saya ni masih baru jer lagi dalam dunia politik. Saya pilih untuk menyertai parti atas dasar prinsip. Perjuangan PAS berlandaskan Islam. Pada mulanya tujuan saya adalah mahu mengubah diri daripada kurang baik kepada menjadi seorang insan yang lebih baik. Jadi saya merasakan parti PAS sesuai dengan jiwa saya", hujah Hairie.
Pun begitu, jelasnya lagi, dia mengambil masa agak lama sebelum membuat keputusan mahu menyertai parti berkenaan.
"Kalau artis masuk UMNO tidak pula jadi isu. Tapi kalau seseorang artis tu masuk parti PAS atau PKR, akan timbul isu. 
"Keputusan saya menyertai parti ni adalah satu keputusan yang amat berat. Sebab, lepas ni konfem saya kena gam dengan RTM dan muka saya memang tak keluar TV lah" ujar Hairie dengan nada berseloroh.
"Minta lah tolong pada Seniman...!!", sahut seorang penonton awam yang berada di dalam dewan lantas mengundang gelak ramai.
Meneruskan hujahnya Hairie menyambung,
"Ramai orang datang dan katakan pada saya, kalau saya sertai PAS, saya mungkin susah nak dapat job selepas ni. Mereka tanya, saya nak kerja apa? Nak makan apa?"
"Astro ada...!!!, celah seorang lagi penonton awam. Dewan sekali lagi gamat.
"Saya jawab balik, saya tahu saya ambil risiko dengan keputusan yang saya buat ni. sebab berkemungkinan besar saya akan hilang kerja. Tapi tak apa lah sebab yang bagi rezeki pada saya bukan BN tapi Allah"
"Tapi sungguh saya katakan, orang yang berani saja akan buat keputusan macam ni. Saya ada juga bertanya pada hadirin sewaktu di satu ceramah saya, kalau tiada siapa nak ambil saya berlakon, saya nak buat apa?? Mereka beramai-ramai jawab, "apa lagi, ceramah lah!!!"
"Alhamdulillah, memang program ceramah saya banyak lepas ni. Jadual dah penuh sampai lepas raya", ujar Hairie sambil menahan gelak.
Ditanya pendapatnya mengenai sesebuah parti itu mempergunakan artis dalam meneruskan agenda politik mereka, bidas Hairie,
"Saya rela dipergunakan maksudnya parti boleh menggunakan khidmat saya untuk menarik ramai undi atau berkempen. Saya rela PAS menggunakan khidmat saya"
Dalam pada itu, Hairie juga diminta mengulas mengenai penyertaan sesorang artis tu dalam parti kerajaan hanyalah kerana mahu melobi projek. Sementara penyertaan sesorang artis di dalam parti pembangkang pula adalah kerana tidak mendapat sebarang projek.
"Jujur saya cakap, orang yang buat keputusan untuk sertai pembangkang adalah dikalangan mereka yang sangat berani. Saya nak tanya, selama ni pun projek apa yang mereka beri pada saya, jawab Hairie dengan nada sinis sambil menahan tawa.
"UMNO bukan tidak baik. Perjuangan mereka juga bagus. Cuma orang-orang di dalam UMNO itu yang buat UMNO itu punah", ujar Hairie memberikan pandangan. - MalaysianDigest

Tiada ulasan: