BN jahat, UMNO hanya mahu berkawan ketika lemah - TG Nik Aziz | Boros Di Aralom

Khamis, 25 September 2014

BN jahat, UMNO hanya mahu berkawan ketika lemah - TG Nik Aziz

TUMPAT: Hanya ketika Umno terasa letih dan lemah barulah mereka mahu berkawan dengan parti lain termasuk PAS, namun setelah senang kawan pun akan ditendang keluar.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, beliau antara pemimpin yang menyatakan persetujuan untuk bersama dengan Umno dalam Barisan Nasional pada 1973 ekoran berlaku darurat 1969.

“Kita pernah makan nasi sedulang dengan Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin Umno lain ketika itu, namun tahu-tahu selepas itu PAS ditendang keluar daripada BN.

“BN ni memang jahat, waktu mereka letih barulah hendak cari kita dan bila sudah senang mereka tendang kita keluar,” katanya pada ceramah di Kampung Geting.

Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar, anggota jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud, anggota parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad dan Adun Gual Periuk, Mohamad Awang.

Ribuan hadir pada ceramah tersebut yang diadakan di belakang Masjid As-Somadi. Ceramah itu merupakan siri akhir ceramah PAS sempena kempen pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, ketika hendak bersama Umno dalam  BN, PAS menghadapi masalah dalaman sehingga wujud serpihan PAS, Bebas Bersatu.  

Begitu juga kata beliau selepas Umno lemah pada PRU 2008 dan PRU 2013, mereka datang lagi hendak berkawan dengan PAS.

“Tetapi kita kena ingat  Nabi Muhammad SAW mengajar dalam satu lubang janganlah jolok sampai dua kali,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak tertentu menyebarkan risalah dengan menggambarkan beliau sedang memegang plastik urin ketika datang berkempen di Pengkalan Kubor.

“Tidak kena apa dengan ambo.. kalau ada yang salah beritahu. Kita kena ingat kita akan mati, dan selepas mati kita akan hidup balik. Perkara seperti ini Umno tidak ajar kepada rakyat. Ianya hanya ada pada politik Islam,” katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi pula berkata, pilihan raya diadakan di Pengkalan Kubor esok  bukan perkara suka-suka sebaliknya ada kewajipan bagi memikul amanah yang sangat besar. - Harakah Daily


Tiada ulasan: