Perhimpunan aman guna bobolian tuntut hak tanah Nunuk Ragang di Sabah | Boros Di Aralom

Rabu, 27 Julai 2011

Perhimpunan aman guna bobolian tuntut hak tanah Nunuk Ragang di Sabah

Kalau Bersih buat perhimpunan 'haram' untuk menuntut pilihanraya yang bersih, masyarakat Nunuk Ragang pula guna bobolian untuk menuntut hak ke atas tanah adat. Berita yang dipetik dari New Sabah Times ini ada butirannnya.
Tugu peringatan Nunuk Ragang di Ranau, Sabah. (Sumber: Lost Borneo)
RANAU: Keheningan Nunuk Ragang yang merupakan asal-usul suku kaum Dusun, digegarkan dengan perhimpunan adat kira-kira 50 pewaris ketujuh tanah adat Kg. Tubau dan Kg. Kodop, dalam satu upacara mengorbankan seekor kinzir yang disempurnakan oleh seorang bobolian, sebagai bantahan ke atas pencerobohan tanah asal mereka.

Bobolian yang amat disegani Puyun Bin Lingadan, 74, dari Keningau menyempurnakan majlis adat itu. Upacara ritual yang intipatinya memohon keadilan daripada penguasa semesta alam, agar sesiapa yang mengkhianati suku kaum asal mendapat bala serta pelbagai kerosakan hidup, dilakukan sebagai jalan terakhir penduduk itu untuk mendapatkan keadilan kepada mereka.

“Kami lakukan upacara ini untuk tujuan yang telus dan baik,” jelas rata-rata pewaris yang menghadiri perhimpunan itu.

Misi perhimpunan aman itu ialah bagi membantah hak geran seluas 2952.84 ekar yang diberikan kepada sebuah syarikat pembalakan, yang kini sedang rakus menebang, memunggah dan merosakkan lanskap tanah kelahiran nenek moyang pewaris itu.

Perhimpunan adat yang bermula seawal Sabtu dan berakhir Ahad, dipelopori oleh Jerus Saligi yang merupakan Anak Warisan Keturunan ‘Koubau’, dan Gasibin Bin Samungkir. Kedua-dua mereka yang mendakwa sebagai ketua pewaris, mendakwa terhina dan tertindas kerana hak mereka ke atas Tanah Adat (NCR) dinafikan oleh kerajaan.

Kg. Tubau dan Kg. Kodop merupakan di antara perkampungan yang wujud selepas bermulanya percambahan suku kaum Dusun, daripada tanah asal-usul kaum itu di Nunuk Ragang, yang terletak hanya kira-kira 28 Km daripada lokasi kedua-dua kampung itu.

Menurut fakta sejarah; tamadun suku kaum Dusun bermula daripada kedua-dua perkampungan ini, dengan penemuan pelbagai tinggalan sejarah, cerita lisan dan artifak mengenai gelagat hidup kaum itu. Menurut Jerus dan Gosibin, nenek moyang mereka mendiami kedua-dua kampung itu sejak berabad-abad lamanya. “Masih banyak peninggalan nenek moyang kami di sana, yang antara lain kuburan yang berusia berpuluh tahun, tembikar, gong dan tanam-tanaman,” jelas kedua-duanya dan menambah;

“Keturunan kelima mereka juga masih hidup dan mampu mengimbau sejarah ekologi keturunan itu,”.

Menurut fakta tuntutan, Jerus memberitahu penduduk telah memohon kawasan itu bagi tujuan pertanian, melalui Rujukan PT. 950602011, 95060677, 95060680, 95060767, 95060768, 95060776, 95060777, 96062420, 97060831 dan 97064043 bagi Kg. Tubou, sementara bagi Kg. Kodop mereka mengemukakan permohonan yang sama iaitu PT. 82561695, 85060812 dan 86065264. Kesemua permohonan ini dilakukan melalui Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Ranau. Jabatan Pertanian Daerah Ranau melalui surat JPTN:600-1/18 KLt.50/(75) yang bertarikh 15 Mac 2006 telah mengeluarkan ulasan yang menyatakan;

“Tanah jenis ini tidak sesuai untuk pembangunan pertanian disebabkan Tanah Curam, Dangkal dan mudah terhakis’.

Jerus dan Gosibin berkata, nenek moyang mereka telah mendiami kawasan itu sebelum dan selepas pra-sejarah dan membangunkan dengan pelbagai jenis tanaman seperti padi huma, buah-buahan dan tanaman kontan.

“Tinggalan sejarah yang masih ada tidak menunjukkan kecuraman sebagai halangan untuk aktiviti pertanian nenek moyang kami,” jelas mereka.

Bagaimanapun Jerus dan Gosibin mempersoalkan, keputusan pihak berkuasa tanah untuk memberikan kelulusan ke atas permohonan Syarikat Kinabalu Pertanian dan Penternakan Sdn. Bhd, yang aktiviti syarikatnya menjurus kepada bidang pertanian dan penternakan.

“Bukankah ini menimbulkan banyak tanggapan,” soal mereka.

Lebih mengecewakan, tanah itu kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat lain yang dikenali sebagai Hutan Tropika Sdn. Bhd – aktiviti syarikat ini menjurus kepada pembalakan. Kedua-dua syarikat ini dimiliki oleh kaum bukan bumiputera yang menimbulkan banyak persoalan kepada penduduk asal.

“Adakah kami ini kelas bawah atau bagaimana?,”.

Perhimpunan aman yang dilakukan dengan penuh istiadat oleh pewaris ketujuh penduduk asal pada Sabtu itu, memohon kepada kerajaan supaya menadah status mereka sebagai rakyat yang lebih berhak berbanding bangsa yang berminat ke atas tanah itu hanya kerana perniagaan semata-mata.

“Kami mahu hak kami dikembalikan,” jelas mereka.

4 ulasan:

Jaw @ MyGamanBorNeo berkata...

cantik pula gambar kwsn nunuk ragang ni. dulu tahun 2008 saya pegi melawat sana, tidak terjaga & banyak semak samun.

Nancypoh berkata...

MGB* last sy pg sini pun yg tahun 2004 lagi..time tu memang agak serabut juga tapi sekarang sudah ok tu tmpat..

BillyNain berkata...

bobolian tu is like ketua kampung ke? atau bomoh/pawang?

Nancypoh berkata...

Billy* Bobolian tu is something like bomoh/pawang..biasa diamalkan pd zaman animisme sebelum kedatangan pengaruh agama sekarang ni..sekarang bilangan pengamal bobolian/bobohizan sudah sangat kurang..