China Larang Umat Islam Di Xinjiang Berpuasa. Mengapa? | Boros Di Aralom

Jumaat, 4 Julai 2014

China Larang Umat Islam Di Xinjiang Berpuasa. Mengapa?

Sambutan bulan Ramadan di Xinjiang, China sangat berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia. China terus melarang umat Islam di wilayah Xinjiang daripada menunaikan ibadah puasa pada tahun ini sama seperti sebelum ini, lapor beberapa media antarabangsa.

Menurut sumber AFP, Stesen radio Bozhou dan Universiti TV memberitahu bahawa larangan itu adalah berkuatkuasa dalam kalangan anggota parti, guru dan golongan remaja di wilayah tersebut. Beberapa jabatan kerajaan menaikkan notis di laman sesawang masing-masing sejak beberapa hari lalu memaklumkan larangan berkenaan. Biro Hal Ehwal Perdagangan di Turfan berkata di laman sesawangnya Isnin lalu bahawa “kakitangan kerajaan dan pelajar tidak boleh berpuasa atau mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan lain.”

Biro Cuaca di wilayah Qaraqash di kawasan barat Xinjiang juga mengikut jejak sama dengan mengatakan tindakan larangan puasa dikuatkuasakan selaras dengan arahan pihak atasan.

Penduduk di Xinjiang mendakwa bahawa mereka diberi makanan percuma sebagai galakan untuk tidak berpuasa manakala pihak berkuasa juga membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan tidak ada yang berpuasa.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Raxit menyelar tindakan itu sebagai menyekat kebebasan beragama. "Larangan menyekat orang Islam melaksanakan Rukun Islam itu hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di Xinjiang. Kami menggesa kerajaan menghentikan penindasan seumpama ini terutamanya ketika Ramadan," tegasnya.

Manakala di Malaysia, PAS akan menuntut penjelasan daripada Kerajaan China berhubung perkara itu. Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata jika laporan itu benar, ianya adalah suatu tindakan yang melanggar hak beragama dan hak asasi manusia.

Xinjiang, yang juga dikenali sebagai Turkestan Timur, merupakan wilayah autonomi di barat laut China. Ia didiami oleh etnik Uighur beragama Islam yang menuntut kemerdekaan daripada pemerintah di Beijing. Wilayah itu juga didiami oleh penduduk Islam daripada etnik lain termasuk Kazakh, Kyrgyz, Uzbek, Tatar dan Tajik. China menuduh etnik Uighur menggerakkan kempen keganasan untuk menuntut kemerdekaan. Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dan dilihat oleh kumpulan yang bersimpati dengan Uighur sebagai helah untuk menghalalkan diskriminasi ke atas golongan minoriti itu.

Sumber: Says



Tiada ulasan: