Bekas timbalan perdana menteri itu tidak yakin segala peruntukan yang diumumkan akan dipenuhi
Muhyiddin |
KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengikuti bajet tahun ini buat pertama kali sebagai pembangkang berkata beliau turut melangkah keluar dewan bersama ahli Parlimen lain kerana apa yang ditawarkan Bajet 2017 tidak realistik.
“Saya tidak bersedia mendengar apa-apa penjelasan lagi kerana saya percaya apa yang akan disampaikan itu tidak memberikan gambaran kedudukan realistik.
“Rakyat digula-gulakan dengan tawaran tertentu tetapi sebenarnya kerajaan tidak punyai dana,” katanya di luar Dewan Rakyat ketika ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlangsung.
Najib yang juga menteri kewangan hari ini membentangkan bajet berjumlah RM260.8 bilion, dengan pelbagai imbuhan kepada penjawat awam di samping mengumumkan peruntukan lebih bagi kemajuan luar bandar.
Ucapan Najib bagaimanapun diganggu pembangkang yang mengangkat sepanduk “Siapa MO1?”, merujuk gelaran yang disebut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam saman sivil menyita aset 1MDB.
Muhyiddin berkata pelbagai tawaran imbuhan yang diumumkan tidak mungkin dapat dipenuhi.
“Tidak realistik. Walaupun zahirnya tawaran BR1M dan sebagainya, isu pokok ialah sumber dana negara merosot dan bagaimana menyelesaikan hutang dan tanggungan yang banyak,” kata presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.
“Hasil negara tidak mungkin dapat menampung sejumlah besar pembiayaan dan tanggungan.”
Katanya, berdasarkan pengalaman berada dalam kerajaan dulu, segala peruntukan yang diumumkan pada bajet tidak semestinya akan diberikan.
“Saya pernah ada dalam kerajaan. Pada masa belanjawan dahulu, jumlah wang besar diperuntukkan kepada kementerian, tetapi bila sampai waktu mohon, ada saringan, ada EPU, ada treasury, akhirnya peruntukan tidak diberikan kepada kementerian,” katanya.
Menurut Muhyiddin, Najib gagal menjelaskan bagaimana hutang negara akan ditangani, termasuk hutang berbilion dolar melibatkan 1MDB.
“Sepatutnya perdana menteri beri penjelasan dalam belanjawan ini supaya rakyat yakin apa yg dibentang boleh dilaksanakan,” katanya.
“Isunya ialah rasuah, ketirisan, kehilangan wang yang banyak, tidak langsung disentuh”. - FMT
Lagi Info Menarik:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan