KOTA KINABALU: Seorang nelayan warga Indonesia kehilangan sebelah tangannya selepas ditembak empat lelaki tidak dikenali di perairan Filipina Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata mangsa terbabit adalah warga Indonesia berumur 51 tahun dan bekerja dengan majikan warga tempatan di Sandakan.
“Ketika kejadian berlaku mangsa yang juga juragan bot tunda bersama seorang lagi rakannya sedang memukat di perairan Filipina berhampiran kawasan perairan antarabangsa.
“Dalam jam 11 malam kemudian, secara tiba-tiba mereka didatangi empat lelaki bersenjata yang menaiki bot cuba menghampiri bot tunda mereka.
“Bertindak dengan kejadian terbabit, mangsa segera memecut laju bot mereka sebelum empat suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot tunda mereka.
“Melihat juragan bot yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan itu, rakannya segera memotong pukat tunda sebelum menggantikan juragan mengendalikan bot tunda terbabit,” katanya semasa sidang media di IPK Sabah di sini kelmarin. Beliau berkata, bot terbabit kemudiannya dipecut menghala ke perairan antarabangsa sehingga ke Perairan Pulau Tigabu, Kudat.
Katanya, semasa dalam perjalanan ke perairan Kudat, mangsa cuba menghubungi majikannya namun gagal berbuat demikian berikutan ketiadaan liputan telefon di laut.
“Mangsa kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga ke Jeti Sandakan sehingga berjaya sampai kira-kira jam 7 pagi.
“Selepas berjaya menghubungi majikannya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan bagi menerima rawatan selanjutnya,” katanya.
Salehhudin berkata pemeriksaan lanjut pihak hospital mendapati mangsa terkena beberapa das tembakan di bahagian jari, pergelangan tangan, bahu kanan dan dada.
“Pihak hospital terpaksa memotong pergelangan tangan mangsa yang mengalami kecederaan teruk akibat terkena tembakan yang dilepaskan empat lelaki dipercayai menggunakan senjata laras panjang.
“Mangsa bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut pada masa ini,” katanya. Beliau berkata, rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini dan pihak polis akan mengambil keterangan serta merakam percakapan mangsa selepas ini. Katanya, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian dan polis kini masih mengenal pasti identiti sebenar suspek.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran untuk membincangkan kejadian dan kes ini disiasat mengikut Kertas Pertanyaan Polis,” katanya. (BP)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan