(EDISI SYARIAH) Si Tanggang moden..gaji RM17000 sebulan tapi abai ibu bapa dan anak | Boros Di Aralom

Isnin, 29 Julai 2013

(EDISI SYARIAH) Si Tanggang moden..gaji RM17000 sebulan tapi abai ibu bapa dan anak

Tak tau nak cakap apa dah...laporan ini gua petik dari Malaysian Digest
Mustafa Ismail menfailkan waran tangkap terhadap anaknya

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, mengeluarkan waran tangkap terhadap Nasrun Mustafa, 40, yang sebelum ini digelar ‘si tanggang moden’ atas permohonan pelaksanaan perintah yang difailkan oleh bapanya, Mustafa Ismail (gambar) 67, menerusi peguam syarienya, Fazru Anuar Yusof.

Pesara syarikat cari gali minyak itu terpaksa berbuat demikian selepas lebih 10 bulan anaknya itu masih gagal mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelum ini oleh Hakim Syarie, Rosdi Harun.

Sebelum ini, Mustafa dari Kampung Beladau Kolam, di sini, pernah mendapat liputan meluas media apabila menyaman anak kandungnya, Nasrun yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat cari gali minyak dan berpendapatan lebih RM17,000 sebulan, bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya, tiga tahun lalu.

Selepas tiga tahun, permohonan Mustafa akhirnya berjaya dan Mahkamah Tinggi Syariah, pada 28 Ogos tahun lalu memerintahkan Nasrun selaku responden memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan dua anaknya yang ketika itu berusia 17 dan 15 tahun.

Rosdi dalam penghakimannya ketika itu turut memerintahkan Nasrun yang digelar sebagai ‘Si Tanggang Moden’ membayar RM400 seorang kepada ibu dan bapanya serta dua anaknya setiap bulan, selain RM1,000 untuk perbelanjaan Aidilfitri dua anaknya setiap tahun, yang diabaikannya sejak lapan tahun lalu.

Beliau turut memerintahkan Nasrun membayar RM18,866.50 kepada kedua ibu bapanya sebagai tunggakan dan perbelanjaan serta teladan kerana tidak pulang ke rumah bertemu anaknya lebih lapan tahun.

Bagaimanapun, segala perintah yang dikeluarkan Rosdi sebelum ini diabaikan oleh anaknya menyebabkan Mustafa terpaksa mengambil jalan terakhir memfailkan waran tangkap.

“Dia yang memaksa saya mengambil tindakan ini. Waran tangkap ini jalan terakhir untuk membolehkan saya berjumpa dengannya dan menyelesaikan masalah kami,” kata.

Mustafa turut meluahkan rasa kesalnya kerana anaknya itu tidak pernah memberi kerjasama, sedangkan beliau membuat tuntutan itu atas kepentingan dua cucunya yang sedang bersekolah di tingkatan empat dan bakal memasuki pusat pengajian tinggi.

“Sejak dari tarikh perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah iaitu pada 28 Ogos 2012 sehingga ke hari ini (semalam), Nasrun gagal dan mengingkari perintah itu tanpa sebarang sebab musabab. Sehingga hari ini juga tiada sebarang bayaran pun dijelaskan kepada saya.

“Saya pernah cuba hubungi dia, tetapi tidak pernah mendapat maklum balas, malah dia juga tidak pernah menghadiri sebarang prosiding yang berkaitan dengan kes ini,” katanya.

Jelas Mustafa lagi, sehingga hari ini, anaknya itu tidak pernah memohon maaf kepadanya selaku bapa kandung dan ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, serta langsung tidak menjenguk mereka yang sudah uzur.

“Saya rasa seperti dianiaya oleh anak sendiri yang bukan sahaja mengabaikan dan mengingkari perintah dikeluarkan mahkamah, malah dia juga mengingkari perintah ALLAH untuk taat kepada saya selaku bapanya,” kata Mustafa dalam tuntutannya.

Menurutnya, dia tidak tahu mengapa anaknya itu sukar memberi kerjasama dan berharap Nasrun pulang bertemu mereka dan dua anaknya sempena Ramadan yang mulia ini, serta Aidilfitri yang bakal tiba.

“Saya tak tahu nak komen apa lagi, ini bulan puasa dan Aidilfitri pun akan tiba. Saya dan ibunya sangat berharap Nasrun pulang ke rumah dan menjenguk kami serta dua anaknya. Baliklah selesaikan semua ini. Ini bukan baru, lama dah cerita ini, dah tiga kali raya.

“Masalah ini senang sahaja, kalau datang jumpa kami, kita boleh selesaikan dengan cara baik,” katanya yang gagal meneruskan kata-kata kerana terlalu sebak.

Sementara itu, peguam Syarienya, Fazru Anuar berkata, Nasrun berdepan hukuman penjara tidak lebih enam bulan dan denda tidak lebih RM2,000 mengikut Seksyen 229 (1) dan 229 (3) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Terengganu selepas gagal, enggan atau abai mematuhi perintah mahkamah bertarikh 28 Ogos 2012.

“Disebabkan kegagalan mematuhi perintah mahkamah itu, jumlah tuntutan yang terpaksa dibayar Nasrun juga meningkat kepada RM4,800 untuk kedua ibu bapanya berbanding RM400 sebulan yang ditetapkan sebelum ini, serta masing-masing RM12,000 untuk dua anaknya selain tambahan RM1,000 untuk persiapan Aidilfitri,” katanya.

-Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/si-tanggang-moden-diburu-1.187701


P/s: Teringat dengan satu cerita dulu-dulu...Alkisah.."di sebuah rumah banglo..tinggal sepasang suami isteri bersama seorang anak kesayangan mereka..si suami mempunyai seorang ayah tetapi dihantarnya ke rumah orang-orang tua..walaubagaimanapun, mereka sekeluarga sering juga melawat si ayah tua ini..setiap kali mereka melawat, si suami akan memberi makan ayahnya dengan menggunakan mangkuk lama yang sudah buruk...si ayah tidak membantah dan makan sahaja makanan yang diberikan walaupun tidaklah sesedap mana..

Suatu hari..ketika si suami dan keluarganya keluar bersiar-siar di tepi pantai..si anak terjumpa satu mangkuk yang sudah hampir nak reput di celah-celah pasir pantai dan mengambilnya serta membersihkannya...si suami, ayah budak itu pun hairan dan bertanya, kamu nak buat apa dengan mangkuk tu?..si anak pun menjawab..oh, saya nak simpan..nanti bila ayah dah tua nanti, saya boleh gunakan mangkuk ini untuk beri ayah makan"...omg!

Apa yang berlaku lepas itu?..korang fikir lah sendiri...alangkah bagusnya jika keinsafan itu semudah sebuah cerpen pendek..sekian..

Tiada ulasan: