Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil satu langkah dalam membanteras isu Syiah yang semakin menular di Malaysia.
Novel bertajuk "Perempuan Nan Bercinta" diharamkan? |
Sebuah buku yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2012, karya penulis tempatan terkenal Faisal Tehrani diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kononnya mempromosikan ajaran Syiah.
Dalam warta bertarikh 22 April, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengaitkan pengharaman buku bertajuk, "Perempuan Nan Bercinta" itu dengan kandungan unsur Syiah tetapi sebaliknya berkata ia dilarang di Malaysia kerana "mungkin menjejaskan ketenteraman awam".
Pada pelancaran buku setebal 410 halaman berbahasa Melayu bersama pelbagai buku lain pada 2012, Najib berkata penulis novel mempunyai kebebasan untuk menulis di negara ini. Buku itu diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad – kedua-duanya adalah syarikat berkaitan kerajaan.
Walaupunnovel itu dilabelkan sebagai novel kontroversi, penulisnya, Faisal Tehrani tetap bangga dengan karya penulisannya selama ini. Katanya, "Saya ada mendengar Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sedang menyiasat aduan berkenaan kandungannya yang berkaitan dengan Syiah." “Sekiranya khabar ini benar, saya gembira kerana telah mencipta dua kali sejarah yang tidak dilakukan oleh mana-mana pengarang hatta sasterawan negara sekalipun." Saya perlu mengatakan saya bangga dengan buku saya yang kini setaraf buku-buku oleh George Orwell, John Milton dan Voltaire," kata Faisal Tehrani yang merujuk kepada beberapa penulis kontroversi di mana buku mereka menjadi “bestsellers”.
Penulis novel "Perempuan Nan Bercinta", Faisal Tehrani. |
Faisal yang merupakan seorang Fellow di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, ia adalah "novel serius" pertama diharamkan di negara ini sejak British mengharamkan Putera Gunung Tahan oleh Pak Sako sebelum merdeka. “Hanya novel Pak Sako (dilarang British) dan buku ilmiah Pendita Za’ba pernah diharamkan pihak berkuasa agama Perak satu masa dahulu. Kedua-duanya adalah ikon saya,” katanya.
Faisal bagaimanapun mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang masih tidak mengharamkan buku-buku Syiah lain di pasaran. Katanya, beliau akan mendapatkan nasihat daripada peguamnya mengenai larangan KDN tetapi enggan mengulas lanjut.
Sumber: Says
Tiada ulasan:
Catat Ulasan