KRU Studios bercita-cita untuk mengambil pelakon Tom Cruise dan Johnny Depp dalam filem mereka | Boros Di Aralom

Rabu, 6 April 2011

KRU Studios bercita-cita untuk mengambil pelakon Tom Cruise dan Johnny Depp dalam filem mereka

Usaha yang dilakukan oleh KRU Studios dalam menghasilkan filem-filem pecah panggung seperti Hikayat Merong Mahawangsa sememangnya sesuatu yang perlu dihargai oleh peminat-peminat filem tanahair. Selepas ini dikatakan juga dalam akhbar Utusan Online bahawa KRU Studios bercita-cita tinggi untuk mendapatkan khidmat pelakon-pelakon antarabangsa pula seperti Tom Cruise dan Johnny Depp. Malah filem terbaru mereka yang bakal dilancarakan, Vikingdom, juga akan turut dibarisi oleh pelakon-pelokon antarabangsa Hollywood. Harapan seluruh rakyat Malaysia selepas ini ialah untuk melihat banyak lagi filem-filem negara yang berkualiti tinggi dan dapat menembusi pasaran antarabangsa. 

Seperti yang dipetik dalam akbar Utusan Online yang ditulis oleh Shazryn Mohd. Faizal ini; SELEPAS kejayaan filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), KRU Studios bersedia mengorak setapak lagi dalam mengukuhkan portfolio mereka sebagai syarikat produksi yang disegani apabila bakal menerbitkan filem bertaraf antarabangsa, Vikingdom.
Vikingdomakan membariskan pelakon dari Hollywood selaras dengan impian KRU Studios yang mahu membawanya ke pentas dunia.

Filem yang akan diarahkan oleh Yusry Abdul Halim itu merupakan kerjasama antara KRU Studios dengan Epic Pictures iaitu syarikat produksi yang menjadi ejen pemasaran filem-filem terbitan KRU Studios di luar negara.

Pengerusi Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim menjelaskan, projek Vikingdom memang sudah dalam perancangan pihaknya sebelum filem HMM diterbitkan lagi iaitu sekitar tahun 2007.

“Biarpun Vikingdom akan dibarisi pelakon antarabangsa, saya tidak mahu peminat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat nama-nama besar seperti Brad Pitt atau Tom Cruise dalam filem ini.

“Memang agak mustahil untuk mendapatkan mereka kerana KRU Studios masih baru.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan, pelakonnya nanti juga terkenal dan mereka adalah dari kalangan yang pernah membintangi siri televisyen dan beberapa buah filem di Hollywood.

“Sudah pasti, kami mahu bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Cruise dan Johnny Depp tetapi apa yang penting untuk kami sekarang adalah mengukuhkan kedudukan kami terlebih dahulu,” ujarnya dalam nada yang cukup optimis.

Norman berkata demikian pada sidang akhbar mengenai strategi pemasaran antarabangsa syarikat terbabit dan pengumuman penerbitan Vikingdom di bangunan KRU Studios di Cyberjaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Epic Pictures, Patrick Ewald serta Yusry dan Edry.

Epic Pictures sebelum ini merupakan pengedar filem antarabangsa pertama terbitan KRU Studios, Deadline yang dibintangi mendiang Brittany Murphy dan Thora Birch. Mengulas lanjut mengenai Vikingdom, Norman memberitahu, filem itu masih lagi di peringkat praproduksi dan skripnya pula ditulis oleh James Coine. Penggambarannya pula kata Norman, akan bermula sekitar Oktober atau November ini.

Buat pertama kalinya juga, Vikingdom akan menggunakan teknologi terkini, stereoskopik 3D yang pernah digunakan dalam pembikinan filem fiksyen Avatar.

“Kami mahu mencuba dan melihat respons yang diberikan apabila menggunakan elemen imej janaan komputer (CGI) menerusi HMM. Ternyata, ia mendapat sambutan baik daripada penonton dan juga pengedar filem antarabangsa.

“Atas alasan itu, kami berani untuk menerbitkan Vikingdom selepas HMM mencatatkan kejayaan membanggakan dan hak ciptanya berjaya dijual di lebih 70 buah negara di seluruh dunia.

“KRU Studios yakin dengan pendekatan dan tema tentang dunia Viking ini mampu mendapat tempat dan membawa filem ini jauh berkelana ke seluruh dunia.

“Mengenai pelakon tempatan pula, kami akan melihat jika ada watak yang sesuai untuk mereka,” jelas Norman tentang Vikingdom yang kini sudah pun mendapat perhatian beberapa pengedar di Eropah dan Jepun.

Tentang pemilihan tema Viking, Norman menjelaskan, ia merupakan strategi pemasaran memandangkan ia begitu dekat di jiwa penonton luar terutama penduduk Eropah.

Saat diajukan tentang bajet, Norman hanya tersenyum sambil berkata: “Kos penerbitan filem ini dan barisan pelakonnya hanya akan diumumkan di Festival Filem Cannes, Perancis pada Mei ini. Semuanya akan terjawab di sana nanti.” Sementara itu, sebagai pengarah, Yusry bersama Norman dan Edry telah melakukan penyelidikan untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang dunia Viking termasuk mengunjungi salah sebuah muzium Viking dan melihat kesan peninggalan sejarahnya di Sweden.

Yusry menjelaskan Vikingdom akan menjalani penggambaran sepenuhnya di Malaysia termasuk di beberapa kawasan peranginan di Genting Highlands dan Bukit Fraser.

“Kami juga mahu menggunakan sepenuhnya teknologi dan kemudahan yang ada di studio kami dan juga di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Malah, kami juga sudah menyiapkan lakaran untuk rekaan busana, set dan beberapa faktor lain yang akan melengkapkan lagi perjalanan filem ini.

“Kami mahu pembikinan Vikingdom dapat menjadi seperti filem trilogi The Lord of The Rings yang berjaya melonjakkan sektor ekonomi dan pelancongan New Zealand,” kata Yusry.


Trend Menarik Sekarang:- Peluang untuk mendapatkan iPhone4 dari DiGi Take the Nestle Wellness Profiler Test today Install Opera Mini-FY dalam smartphone

1 ulasan:

saya_arief berkata...

hebat la ajak johnny depp.
:D