Helikopter yang membawa rombongan Tim. Perdana Menteri terhempas | Boros Di Aralom

Rabu, 13 April 2011

Helikopter yang membawa rombongan Tim. Perdana Menteri terhempas

Lagi berita helikopter terhempas di Sibu. Sungguh malang tidak berbau. Berita ini dipertik dari akhbar online The Borneo Post kelmarin. 
Keadaan helikopter yang terhempas di Sibu. (pic fron The Borneo Post)
SIBU: Seorang juruterbang helikopter yang membawa rombongan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, maut selepas helikopter malang itu terhempas sejurus selepas mendarat di Dataran Perbandaran Sibu Fasa 1, petang semalam. Kapten Sahimi Ghazali, 38, dari Selangor yang mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan meninggal dunia di Hospital Sibu pada jam 8.36 malam tadi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata, kejadian malang itu dipercayai berlaku sekitar jam 1.40 petang. Helikopter berkenaan dikatakan hendak berlepas semula ke Lapangan Terbang Sibu sebelum hilang kawalan dipercayai akibat ditiup angin kencang sebelum terhempas.
“Sejurus selepas mendaratkan rombongan Timbalan Perdana Menteri, helikopter tersebut kemudian hendak berlepas meninggalkan kawasan pendaratan sementara sebelum tiba-tiba ia hilang kawalan lalu terhempas.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu dengan menaiki kenderaan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” jelas beliau ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Difahamkan, helikopter berkenaan berada pada ketinggian kira-kira 10 kaki sebelum tiba-tiba hilang kawalan.
“Insiden itu sungguh menakutkan dan menggemparkan orang ramai yang kebetulan berada berdekatan kawasan kejadian,” ujar seorang saksi yang enggan dikenali. Dalam pada itu, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta JPAM yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke tempat kejadian.
Ketika berita ini ditulis, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan kerana siasatan masih dijalankan. Rakan mangsa, Kapten Yusuf Ali ketika ditemui di Hospital Sibu menjelaskan, mangsa (Kapten Sahimi) berasal dari Selangor dan baru sahaja selesai membawa rombongan Muhyiddin daripada menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Bintangor.
“Sebelum kejadian beliau baru sahaja menurunkan tiga orang penumpangnya,” katanya.
Dalam pada itu, sekitar jam 3.30 petang semalam, Muhyiddin yang dikhabarkan mengenai kejadian malang itu bergegas ke Hospital Sibu untuk melawat mangsa yang sedang sedang menerima rawatan.
“Mangsa sedang menjalani pembedahan dan kecederaan yang dialaminya agak serius,” kata Yusuf.

* Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

2 ulasan:

Relevan berkata...

Takziah ..

Tanpa Nama berkata...

scary.. but thanks God the other helicopter that bring Muhyiddin was safe. Still.. condolence to the dead. :)