Tiga warden asrama belasah seorang pelajar | Boros Di Aralom

Isnin, 4 April 2011

Tiga warden asrama belasah seorang pelajar

Lagi-lagi ada kes pukul pelajar ni. Memang pelajar-pelajar ini dah buat kesalahan pun. Namun demikian, adakah tindakan para warden tersebut berkesan untuk memberi pengajaran kepada anak-anak muda ini? Sendiri mau ingat la. Berita dipertik dari New Sabah Times hari ini.


BEAUFORT: Seorang Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Vokasional Beaufort, Haziq Haji Harun, 16, dari Kampung Pimping Membakut lebam di pipi kiri dan kanan berdekatan mata apabila dibelasah oleh tiga warden asrama.

Semua ini berpunca daripada kesalahan Haziq yang menemani seorang rakannya keluar dari asrama tanpa izin pada kira-kira jam 1.00 pagi untuk membeli rokok dan minuman keras di sebuah gerai di luar sekolah pada Ahad.

Menurut Haziq, kira-kira jam 1.00 pagi dia menemani rakan seasramanya membeli rokok dan minuman keras yang diminta oleh rakan seasrama dan keluar dari longkang tepi pagar sekolah itu.

“Apabila kembali ke sekolah, perbuatan mereka dikesan oleh warden dan ketika disoal siasat, saya dan rakannya memohon maaf kepada ketiga-tiga warden berkenaan akan tetapi biarpun berkali- kali meminta maaf, saya dan rakannya terus ditampar berkali-kali oleh ketiga-tiga warden yang juga guru di sekolah berkenaan,” katanya.

Pelajar ini memberitahu setelah ditampar dia dan rakannya hampir tersungkur kerana pening dan untuk mengelakkan mereka dari raba guru berkenaan menarik kolar belakang baju dan menampar lagi sehingga kedua-dua mereka tersungkur dan melutut di atas lantai .

“Pada masa itu pun kami masih memohon maaf atas kesalahan kami bagaimanapun guru-guru itu terus menuding jari mereka ke kepala saya dan rakan saya,” kata Haziq sambil menambah semasa kejadian itu ramai rakan seasrama yang menyaksikan.

“Saya sudah memberikan penjelasan kepada guru-guru berkenaan bahawa rokok dan minuman keras itu bukan milik saya tetapi rakan seasrama yang meminta saya menemaninya,” jelasanya.

Haziq berkata, dia sendiri tidak mempunyai wang untuk membeli rokok dan minuman keras (montok) malah dia sendiri pun tidak merokok dan jauh sekali meminum minuman keras malah banyak barang peribadinya seperti telefon bimbit hilang dan dipercayai dicuri di asrama.

“Saya tidak pernah melakukan kesalahan ini sebelum ini dan ini adalah merupakan kesalahan pertama,” kata Haziq.

Ibu kepada mangsa, Hajah Fatimah Hj Buntak, ketika ditemui berkata, bahawa beliau memahami akan kesalahan yang dilakukan oleh anaknya akan tetapi beliau amat kesal tindakan kasar warden berkenaan.

“Saya bukan mahu membela anak saya malah saya tahu anak saya bersalah tetapi mengapa tidak digunakan peraturan atau kesalahan itu diambil dengan tindakan disiplin sahaja dan tindakan beramaran,” katanya.

Beliau mendakwa tindakan memukul dan menampar oleh guru-guru itu membuatkan anaknya trauma dan bagaimana jika kecederaan yang dialami anaknya itu akan menjadi kecederaan kekal kerana anaknya ditampar di bahagian kepala begitu juga dengan nasib seorang rakan anaknya itu.

“Kami tak rela jika anak kami mengalami kecacatan otak kerana gegaran dipukul di bahagian kepala,” kata Fatimah.

Beliau berkata, pelajar-pelajar ini masih berada di bawah umur dan dalam usia yang masih muda dan mentah sudah tentunya mereka memerlukan bimbingan setelah melakukan kesalahan bukan bertindak agresif untuk mencederakan mereka.

“Semasa mereka dipukul pun anak saya dan rakannya tidak melawan sebaliknya berkali-kali meminta maaf tetapi mengapa tidak diterima permintaan maaf mereka dan mengapa mereka terus dipukul diherdik sehingga tersungkur dan melutut dilantai,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, kata Fatimah, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Beaufort untuk tindakan selanjutnya dan telah membawa Haziq ke hospital untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah, DSP Mustaffa Maarof Bin Mustaffa ketika dihubungi kelmarin mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh ibu bapa pelajar berkenaan.

“Buat masa ini ‘tiada komen’ kerana pihak polis akan menjalankan siasatan dan akan memanggil kedua dua belah pihak iaitu warden yang terbabit dan rakan Haziq yang didakwa turut dipukul oleh warden berkenaan,” katanya.


Trend Menarik Sekarang:- Peluang untuk mendapatkan iPhone4 dari DiGi Take the Nestle Wellness Profiler Test today Install Opera Mini-FY dalam smartphone

Tiada ulasan: