Buaya yang berjaya ditangkap |
TAWAU: Hasrat seorang pegawai ladang mengalihkan objek yang disangka kayu di tengah garaj keretanya terbantut selepas mendapati objek itu rupanya seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter. Aziz Djudja, 41, berkata kejadian itu menimpa dirinya di Kg Cina, Jalan Ranggu, Batu 8 1/2 lebih kurang jam 9.30 malam Ahad lepas selepas mengesyaki ada objek keras yang jatuh di tengah garaj keretanya.
“Pada mulanya, saya fikir ada objek seperti kayu yang jatuh di tengah garaj kereta dan tanpa ragu-ragu saya terus turun dari kereta untuk mengalihkan objek itu, namun terkejut setelah mendapati objek itu adalah seekor buaya,” katanya.
Menurut Aziz, dia terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang akan keselamatan dirinya, serta khuatir buaya itu akan mengganas dan melarikan diri.
Tambahnya, insiden berkenaan adalah pertama kali menimpanya selama mendiami kawasan itu semenjak 12 tahun lepas dan mengakui berasa pelik memandangkan jarak rumahnya dengan sungai terdekat adalah kira-kira satu kilometer.
Ketua Balai Bomba Tawau, Rudy Fredzek, yang dihubungi di sini kelmarin berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.51 malam dan menggerakkan sebuah jentera berserta enam anggota ke lokasi kejadian.
“Buaya itu bertindak ganas ketika cuba dihampiri oleh anggota kami hingga menyebabkan kepalanya terpaksa ditutup menggunakan kain sebelum dapat diikat dengan tali,” katanya.
Mengulas lanjut, Rudy menjelaskan bahawa pihak bomba telahpun membawa liar itu ke Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya, dan beliau percaya buaya itu telah tersesat memasuki kawasan perkampungan berkenaan. - Sumber: The Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan