Perlu lebih berhati-hati ketika menaiki teksi. (sekadar gambar hiasan) |
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi mengumpan penumpang warga asing menggunakan perkhidmatannya sebelum bertindak kejam menolak mangsa keluar dari kereta dan melarikan barangan berharga milik penumpang terbabit.
Dalam kejadian terbaru Isnin lalu, seorang wanita warga Amerika Syarikat berusia 46 tahun yang menetap di Malaysia menahan teksi dipandu suspek berusia 36 tahun berhampiran pusat beli-belah di Bangsar sebelum meminta dihantar ke Jalan Maarof.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, suspek menolak mangsa sebelum dia memecut teksinya menyebabkan wanita terbabit kerugian RM20,000 membabitkan kehilangan telefon pintar iPhone, cincin, kad kredit dan pelbagai barangan berharga lain.
Menurutnya, mangsa membuat laporan polis selain memberi butiran suspek dan nombor pendaftaran teksi terbabit.
“Hasil maklumat diterima polis kemudian mengesan suspek sebelum menahannya jam 5 petang kelmarin di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Puchong.
“Hasil pemeriksaan, kami merampas semula sebahagian wang sebanyak RM4,049 yang masih dimiliki suspek sementara selebihnya sudah dibelanjakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, semalam.
Wan Abdul Bari berkata, siasatan mendapati suspek menyasarkan warga asing yang bersendirian dan menolak mangsa keluar dari teksi sebelum melarikan barangan berharga.
“Suspek kini direman sehingga 10 Julai ini bagi membantu siasatan. Sehubungan itu, saya menasihatkan kepada sesiapa yang menjadi mangsa samun memberi maklumat lengkap kenderaan yang digunakan suspek dan diskripsi lain bagi menyegerakan siasatan serta tangkapan,” katanya. - Sumber: myMetro
1 ulasan:
sebabkan nila setitik ni la yg buat rosak susu sebelanga! memang haram jadah org2 mcmni. kebiasaannya ni kes manusia yg tak penah rasa syukur dgn apa yg diberi hmmm
Catat Ulasan