Bonus RM500 kepada penjawat awam, RM500 kepada pesara | Boros Di Aralom

Khamis, 26 Julai 2012

Bonus RM500 kepada penjawat awam, RM500 kepada pesara

Bonus untuk kakitangan kerajaan 2012
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memberi manfaat kepada seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan. Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan. Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion. Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada semua penjawat awam dan pesara kerajaan.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan,” katanya.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.

Sementara itu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus dan Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap dedikasi penjawat awam serta pesara kerajaan.

“Pemberian bonus dan bayaran khas ini memang sungguh bermakna khasnya kepada penjawat awam yang berpendapatan sederhana terutama bagi membuat persiapan perayaan (Aidilfitri) yang bakal tiba,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam. Omar turut berharap penjawat awam dan pesara kerajaan akan menggunakan pemberian bonus dan bayaran khas itu dengan sebaik-baiknya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata bayaran khas itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap para pesara yang dahulunya pernah berkhidmat dan berkorban tenaga dalam proses pembangunan negara. Katanya ini menunjukkan Najib seorang pemimpin yang bersikap mulia dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam serta pesara kerajaan. Pesara kerajaan hendaklah menggunakan bonus secara berhemah dan berjimat cermat untuk melakukan perkara yang berfaedah, katanya.

Bagi penjawat awam yang masih berkhidmat, beliau menasihati mereka harus tekun bekerja dan taat kepada kerajaan supaya dapat melaksanakan hasil yang dapat diterjemahkan untuk kejayaan negara. — Bernama - Sumber: Borneo Post

Tiada ulasan: