KUCHING: Hasrat seorang kontraktor untuk mengadakan sesi barbeku bersama rakan dan keluarga malam kelmarin tidak kesampaian apabila dia mengembuskan nafas terakhir di sebuah kedai kopi di King Centre pada petang tersebut.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Alexander Cheyne, 39, sedang makan bersama pekerjanya ketika kejadian sekitar jam 4 petang itu berlaku. Menurut pekerjanya, mereka bercadang untuk membeli barang-barang untuk sesi barbeku di rumahnya selepas makan.
“Ketika kami sedang makan, dia tiba-tiba rebah di meja.
“Saya cuba menggoyangkan badannya tetapi dia sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya sambil menambah, dia tidak tahu sama ada mangsa mempunyai masalah kesihatan. Cubaan beberapa orang di kedai kopi tersebut untuk menyedarkan mangsa gagal.
“Tetapi dia pernah mengadu pening kepala dalam jangka masa seminggu ini tetapi tidak berkesempatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Mereka seterusnya menghubungi polis dan ambulans dan dia disahkan meninggal dunia. Keluarga mangsa turut datang ke lokasi untuk membawa mayatnya balik ke rumah untuk tujuan pengebumian.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sementara itu, seorang pelajar berumur 19 tahun menemui rakan sama asrama dalam keadaan tidak bernyawa awal pagi kelmarin.
Insiden jam 5.30 pagi itu disedari ketika dia baharu bangun tidur dan hendak pergi ke bilik air.
Dia menjumpai rakannya yang dikenali sebagai Suhana Mandli terbaring dalam bilik air dengan kepalanya masih dalam sebuah baldi berisi air dan memaklumkan rakan serumah yang lain.
Laporan polis telah dibuat untuk tindakan seterusnya. - Sumber: Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan