Cerai talak satu - Sasha enggan dedah punca | Boros Di Aralom

Rabu, 11 Julai 2012

Cerai talak satu - Sasha enggan dedah punca

Perceraian kali kedua.
Selepas selama lima tahun menjalani kehidupan sebagai suami isteri, akhirnya rumah tangga yang dibina antara bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin, 36, dan Salyo Priyanto, 37, terlerai selepas mereka sah bercerai, semalam.

Memetik kenyataan di mStar, bekas anggota kumpulan Elite ini bagaimanapun enggan mendedahkan punca sebenar masalah rumah tangganya dengan bekas suami, Salyo Priyanto sehingga menyebabkan kepada penceraian.

Sasha berkata, dia tidak perlu berbuat demikian kerana ingin menjaga nama baik bekas suaminya itu dan perpisahan mereka juga dibuat secara baik.

"Sebagai seorang Islam tidak perlu saya membuka pekung tentang apa yang berlaku di antara kami tambahan pula kes ini sudah pun selesai.

"Apa yang boleh saya katakan, kami berdua telah mengambil pelbagai langkah seperti mendapatkan nasihat keluarga dan berusaha memperbaiki keadaan rumah tangga kami tetapi malangnya penceraian adalah yang terbaik buat kami berdua," ujarnya.

Tambah Shasha, atas alasan itu juga dia memohon kepada mahkamah untuk membenarkan dia memberikan sebab perceraian mereka menerusi nota bertulis kepada hakim tanpa perlu mendedahkannya di dalam mahkamah secara terbuka.

"Sejujurnya saya tidak tahu cara itu boleh digunakan dan bersyukur kerana hakim menerima nota itu tanpa perlu saya mendedahkan sebab dan punca mengapa saya memohon untuk bercerai," katanya lagi.

Salyo melafazkan cerai dengan talak satu terhadap Sasha, 36, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak di sini, selepas kedua-keduanya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.

Lafaz dibuat dihadapan Hakim Shaiful Azli Jamaluddin pada pukul 2.55 petang dan mahkamah yang menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah memerintahkan Sasha untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan.

Sasha dan Saylo dilihat menitiskan air mata sejurus lafaz cerai dibuat.

Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tiada lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan.

Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan Salyo untuk membayar edah sebanyak RM300 selama tiga bulan kepada Sasha dan pihak defendan bersetuju untuk memberikan nafkah anak sebanyak RM500 sebulan.

Sasha dan Salyo yang merupakan warganegara Indonesia telah berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, berusia tiga tahun.

Sebelum perkahwinan itu, Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian. - Sumber: Malaysian Digest

Tiada ulasan: