Khairy kena suruh kerja, bukan berzumba | Boros Di Aralom

Khamis, 9 Oktober 2014

Khairy kena suruh kerja, bukan berzumba

Khairy berzumba (via mkini)
Khairy Jamaluddin memulakan karier sebagai seorang menteri belia dan sukan dengan penuh bergaya dan berketrampilan.

Dengan memperlihatkan keterbukaan penuh progresif seorang menteri muda, Khairy berjaya menggamit perhatian ramai anak muda di kala prestasi ramai anggota kabinet persekutuan dipersoal.

Namun selepas berakhir dua temasya sukan yang punya prestij tersendiri iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia, nampaknya Khairy terus bergelut dengan prestasi pelbagai sukan negara kita.

Kegagalan mencapai sasaran emas di Sukan Komanwel dan ditambah dengan persembahan yang jauh tersasar dalam Sukan Asia menambah perit Khairy.

Tambah buruk seorang atlit kita terperangkap dalam persoalan penggunaan bahan larangan hingga mengakibatkan pingat emas yang dimenangi ditarik balik.

Dalam temasya Sukan Komanwel, prestasi atlit kita bukan sahaja tidak dapat mencapai sasaran pingat, malahan kita berada di kedudukan lebih bawah daripada seteru jiran, Singapura.

Manakala dalam Sukan Asia pula, jumlah pingat emas yang diperoleh setaraf negara Mongolia.

Menteri berkelulusan Oxford

Mengapa mutu sukan kita semakin merosot? Apakah kita tidak mempunyai atlit-atlit yang baik di sebalik 30 juta rakyat kita berbanding Singapura yang hanya mempunyai populasi 4 juta lebih penduduk sahaja?

Atau pun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hilang keupayaan untuk menggarap dasar pembangunan sukan kita?

Khairy perlu segera mencari formula kemenangan jikalau tidak mahu mengikut jejak kegagalan menteri terdahulu dalam mengangkat martabat sukan negara.

Sama ada rombakan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) dengan suntikan "orang baru" yang ingin dilaksanakannya itu akan berjaya, hanya masa yang menentukan.

Tetapi sebagai seorang menteri kabinet berkelulusan Oxford, sepatutnya Khairy mempunyai perancangan menyeluruh pembangunan sukan sebaik sahaja menjejakkan kaki di Pejabat Menteri KBS. bukannya menunggu sehingga imej sukan negara terus merosot dan tercalar dalam dua aksi sukan berprestij ini.

Masakan Khairy tidak mempunyai idea progresif untuk pembangunan sukan seperti mana yang ditonjolkan dalam aksi zumba sempena pelancaran program FIT Malaysia?

Masakan Khairy tidak mempunyai bakat sebagai seorang menteri dan pemimpin muda seperti mana bakat yang ditonjolkan di layar perak?

Hero bed time story

SAMM mempersoalkan di manakah Khairy ketika negara perlu melahirkan lebih ramai atlit pelapis masa depan? Apakah Khairy tidak dapat melihat keperluan untuk memunculkan pelapis Datuk Lee Chong Wei? Apakah Khairy sedar akan kelemahan Persatuan Sepak Takraw hingga menyebabkan skuad kita tewas kepada Korea Selatan?

Khairy perlu berbuat sesuatu jika mahu terus glamor di kalangan anak muda, tetapi bukan dengan aksi zumba dan aksi lakonan layar perak tetapi perlu hadir dengan idea progresif untuk membangunkan sukan negara kita.

Janganlah hanya berbelanja besar dalam bidang sukan tetapi hasilnya memualkan - ini suatu tragedi.

Jika kegagalan mencapai sasaran emas dalam temasya-temasya sukan berprestij sebegini terus berulang, tidak dapat tidak Khairy perlu berbisik kepada perdana menteri untuk menukar ke Kementerian lain ataupun menghantar sepucuk surat peletakan jawatan.

Khairy Jamaludin menteri kelahiran Oxford yang disangka hebat, rupanya hanya seorang hero bed time story semata. - ZURAIDI ABDULLAH penyelaras segmentasi sukan SAMM, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). - via mkini

Tiada ulasan: