Pekerja Pizza Hut biadap, hina wanita gemuk 'Pink Fat Lady' | Boros Di Aralom

Rabu, 15 Oktober 2014

Pekerja Pizza Hut biadap, hina wanita gemuk 'Pink Fat Lady'

SINGAPURA: Restoran makanan segera terkemuka, Pizza Hut memohon maaf kepada seorang pelanggan apabila mengambarkan pelanggannya sebagai 'Pink Fat Lady' (Wanita Gemuk Merah Jambu) dalam satu catatan tangan di resit pembelian yang diterima oleh pelanggannya, lapor portal berita Metro.co.uk, semalam.

Kejadian berlaku ketika pelanggan tersebut, Aili Si, mengambil pesanan di bahagian pandu lalu di sebuah cawangan restoran itu dekat Bukit Merah, Singapura, Ahad lalu.
Resit dengan tulisan 'Pink Fat Lady'
Kesal dengan layanan ‘kurang sopan’ yang disifatkan sebagai penghinaan oleh kakitangan restoran tersebut, Aili Si memuat naik status beserta gambar resit pembelian di laman Facebook, Pizza Hut Singapore’s dengan berkata, “Hanya berasa terhina. Adakah salah menjadi individu yang mempunyai saiz lebih besar? Saya pelanggan dan saya membayar untuk pizza itu!

"Saya tidak fikir ia adalah baik untuk kakitangan anda menggambarkan saya seperti yang tertulis pada resit saya.

“Saya tidak mendapatkan pizza tersebut secara percuma!”, tambahnya.

Menyedari status yang dimuat naik oleh Aili Si mula menjadi viral di laman sosial, restoran makanan segera itu tampil memohon maaf dengan menyifatkan insiden itu sebagai mengejutkan pihak mereka dan tidak seharusnya berlaku.

“Kejadian ini bertentangan dengan nilai-nilai korporat kami dan kami tidak membenarkan kelakuan atau tindakan yang menyinggung perasaan orang,” kata Pizza Hut dalam kenyataan mereka.

Ekoran insiden tersebut, pelbagai reaksi diterima oleh pengguna di laman Facebook tersebut.

Salah seorang pengguna Facebook berkata, kakitangan hanya boleh mengambarkan pelanggannya sebagai “wanita merah jambu” tanpa perlu menyatakan saiz beliau.
Permohonan maaf terbuka dari pizza hut Singapore kepada Aili Si
Manakala seorang lagi pengguna Facebook mencadangkan agar dia (Aili Si) perlu diberi pizza percuma sepanjang hayatnya sebagai permohonan maaf. - mD

Tiada ulasan: