Kehangatan konsert Mariah Carey yang berlangsung di stadium Merdeka malam tadi tiba-tiba bertukar suasana cemas seketika gara-gara berlakunya kebakaran kecil sewaktu diva Pop antarabangsa ini sedang rancak membuat persembahan pada konsert yang diberi nama 'The Elusive Chanteuse Show" Tour in Malaysia 2014'.
Insiden tersebut berlaku sewaktu penghibur berusia 45 tahun ini sedang mengakhiri nyanyiannya menerusi lagu 'Hero' dan sejurus itu pentas dipenuhi dengan percikan bunga api. Secara tiba-tiba percikan api tersebut menyambar bahagian bawah tirai yang melatari pentas dan menyebabkan kebakaran kecil. Mujur beberapa orang kru menyedari kebakaran tersebut lantas segera memadamkan api dan keadaan terkawal.
Ketika itu, Mariah yang baru saja menyudahkan nyanyiannya mahu memulakan interaksi bersama peminat. Namun interaksi tersebut terhenti sekejap apabila salah seorang kru datang kepada Mariah dan terus membawa beliau ke tepi pentas. Kelihatan kru tersebut berbisik sesuatu kepada penyanyi kelahiran Long Island, New York, Amerika Syarikat itu.
Percikan bunga api sebagai gimik sewaktu Mariah mengakhiri nyanyian lagu 'Hero', beberapa saat sebelum insiden tirai di pentas terbakar.Percikan bunga api sebagai gimik sewaktu Mariah mengakhiri nyanyian lagu 'Hero', beberapa saat sebelum insiden tirai di pentas terbakar.
Sebaik saja dimaklumkan oleh kru berkenaan mengenai kebakaran tersebut, Mariah dengan tenang terus berkata, "Oh, ada kebakaran rupanya di situ? (sambil menunjukkan ke arah tirai yang terbakar itu)".
"Ini bereeti konsert saya pada malam ini bukan saja diterangi dengan cahaya gemerlapan (sportlight, percikan bunga api), hujan tapi... juga ada kebakaran. Tak mengapa..., apa pun yang berlaku persembahan harus diteruskan juga", katanya sambil tersenyum lantas kedengaran sorakan semangat daripada para peminat.
Tayang Punggung
Sementara itu, walaupun hujan lebat turun sejak beberapa jam sebelum konsert sehinggalah sepanjang konsert berlangsung namun sikit pun tidak menghalang kira-kira 12,000 peminat Mariah membanjiri stadium.
Memulakan persembahan kira-kira jam 9.15 malam, Mariah membuka tirai konsert dengan lagu 'Fantasy', 'Touch My Body' dan 'Shake It Off'. Sepanjang konsert Mariah diiringi empat orang pemuzik, empat penyanyi latar dan lapan orang penari.
Seperkara yang menjadi perhatian penonton ialah penampilan ibu anak dua ini yang seksi. Mengenakan jacket dress pendek (paras punggung) bewarna hitam, dalam pada membuat persembahan sesekali diva kesayangan ramai sempat beraksi nakal apabila beliau 'secara spontan' membuat pose-pose yang agak menampakkan punggungnya yang montok. Setiap kali beraksi sebegitu, stadium gamat dengan sorakan peminat.
Namun selepas usai menyanyikan tiga lagu pertama, Mariah meninggal pentas seketika dan kemudian tampil dengan persalinan kedua, kali ini kelihatan lebih sopan. Kemudian keterujaan peminat diteruskan dengan persembahan lagu seperti 'Emotion', 'Cry', 'Fly Like A Bird' dan 'Lullaby of Birdland'. Sekali lagi Mariah mencuri perhatian penonton apabila dia membuat persembahan sambil duduk di atas sebuah piano.
Kalau sewaktu konsertnya di Tokyo, Jepun, awal Oktober lalu, Mariah teruk dikecam gara-gara persembahan vokalnya yang teruk sehingga beliau dikatakan beliau sudah tidak mampu menyanyi lagi. Namun menerusi persembahan pada konsert malam tadi Mariah setidak-tidaknya dapat menepis kritikan tersebut. Meskipun tidaklah kesemua lagu yang diperdengarkan disampaikan secara nyanyian live tetapi Mariah dilihat berusaha menampilkan sebuah persembahan yang terbaik buat para peminatnya.
Pujian juga harus diberikan pada penyanyi yang mempunyai suara mencapai lima octav kerana beliau tidak 'berat mulut', sebaliknya sentiasa mencari kesempatan berinteraksi dengan para penonton.
Tak kurang, peminat turut sama-sama menyanyi terutama apabila Mariah menyampaikan deretan lagu hitnya seperti 'My All', 'Heart Break'/ 'Beautiful', 'Honey', 'I'll Be There' dan 'Hero'.
Tapi sayangnya momentum kehangatan dan keterujaan penonton agak terhenti-henti kerana Mariah beberapa kali 'hilang' dari pentas sebaik saja selesai menyanyikan sesebuah lagu. Meninggalkan pentas dalam tempoh yang agak lama membuatkan ada sebahagian penonton sedikit demi sedikit mula angkat kaki dan meninggalkan stadium. Sedangkan konsert masih berbaki dalam 40 minit hingga setengah jam lagi.
Diakhir-akhir konsert, Mariah sekali lagi menarik perhatian ramai apabila menyanyikan lagu 'Supernatural'. Apa yang membuatkan ramai penonton tersentuh hati adalah kerana menerusi lagu tersebut, persembahan Mariah turut diiringi video yang memperlihatkan gelagat anak-anaknya, si kembar Moroccan dan Monroe.
Seterusnya stadium kembali bergema apabila rata-rata peminat turut sama menyanyikan satu lagi lagu 'berhantu' Mariah berjudul 'We Belong Together'. Sejurus tamat lagu tersebut, Mariah terus meninggalkan pentas. Meskipun ramai peminat menjerit mahukan Mariah kembali tampil menyanyi lagi, namun beliau tidak juga muncul-muncul. Disebabkan itu, ramai yang beranggapan konsert telah tamat dan masing-masing mula beredar dari stadium.
Bagaimanapun, kira-kira 10 minit selepas itu, Mariah kembali muncul dengan persalinan gaun labuh berwarna silver dan menyampaikan lagu terakhir, 'Always Be My Baby'. Konsert The Elusive Chanteuse Show" Tour in Malaysia 2014 berakhir kira-kira jam 11.30 malam.
Konsert jelajah anjuran IME Productions ini diadakan bersempena pelancaran album terbaharunya berjudul 'Me. I Am Mariah...The Elusive Chanteuse'. Malaysia merupakan lokasi pertama bagi siri konsert jelajah di Asia Tenggara kali ini.
Begitu pun ini merupakan konsert kali kedua figura yang pernah diiktiraf sebgaia Artis Wanita Paling Berjaya dalam sejarah industri muzik Amerika Syarikat ini di tanah air selepas kali pertama beliau hadir menerusi konsert sulung, kira-kira 10 tahun lalu. - mD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan