Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menempelak cubaan beberapa pihak yang menuduh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor mendapat manfaat menerusi peruntukan kepada Program Permata Negara (PERMATA) dalam bajet 2015 baru-baru ini.
Rosmah adalah penaung PERMATA |
Menurut beliau PERMATA tidak menerima RM711 juta seperti mana didakwa sebaliknya hanya sebahagian kerana peruntukan itu turut dikongsi oleh Kementerian Pendidikan, Tadika Kemas dan Tadika Perpaduan.
"Datin Seri Rosmah tak dapat sesen pun dari PERMATA.
"(Dakwaan) Dapat RM 711 juta itu tidak betul ia keseluruhan pendidikan prasekolah dapat.
"Tadika kemas dan tabika lain juga dapat dan PERMATA hanya yang keempat dalam peruntukan tersebut. Pecahan itu boleh didapati dari kementerian kewangan," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum ini portal Keadilandaily melaporkan Naib Ketua Wanita PKR, Haniza Talha berkata tidak sepatutnya subsidi rakyat dipotong hanya semata-mata untuk menyalurkan RM711 juta kepada yang dinaungi Rosmah.
Media sosial turut rata-rata mengutuk peruntukan yang diterima PERMATA yang dikatakan tidak adil dan tidak penting di kala subsidi dikurangkan dan kos hidup meningkat.
Ahmad bagaimanapun menyatakan hal itu hanya fitnah semata kerana PERMATA menyumbangkan banyak kebaikan kepada pendidikan pra sekolah.
"PERMATA bukan milik Datin Seri Rosmah... ada bermacam kumpulan seperti permata pintar untuk yang genius, permata seni untuk bakat seni dan permata insan yang terlibat dalam ajaran agama itu benda bagus," kata beliau.
Semakan mendapati, pecahan belanjawan itu menyatakan anggaran RM42,831,500 pada 2014 dan 30,690,100 (2015) untuk PERMATA.
Perinciannya juga menyebut, PERMATA bertindak sebagai urus setia kepada Majlis Penyelarasan Dasar PERMATA Negara dan jawatankuasa bawahnya.
Ia juga memberikan khidmat pengurusan, operasi, penyelarasan, pemantauan dan sokongan dalam pelaksanaan program PERMATA Negara. - MKini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan