Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (gambar) dari Barisan Nasional (BN) melihat Putrajaya seolah-olah menganak tirikan negeri Malaysia Timur itu, ekoran masih ramai penduduk di negeri berkenaan hidup dalam kemiskinan.
Abdul Ghapur Salleh, Ahli Parlimen Kalabakan |
Ghapur berkata, tahap kemiskinan begitu teruk bagi penduduk di Sabah kerana mereka masih lagi hidup menggunakan bekalan elektrik yang dijana generator dan membuang air di dalam lubang yang digali sendiri.
"Dahulu gangguan elektrik di Kuala Lumpur dua jam, satu dunia, CNN pun keluar (berita), putus bekalan elektrik dan peniaga-peniaga besar buat aduan.
"Di Sabah, lima kali, tiga kali (sehari) kadang-kala kalau macam kita yang ada pendapatan pakai generator, tetapi saya pun pakai generator," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat hari ini.
"Kalau kata peruntukan tidak ada, itu bukan jawapan! Merdeka 51 tahun sepatutnya tidak ada perkara ini," katanya.
"Lima puluh satu tahun kita merdeka, tetapi nampak kita di Sabah ini macam dianak tirikan. Apa jadi kalau kita jadi anak tiri?" soalnya.
Ghapur turut menegur sikap kerajaan yang membawa kontraktor dari Semenanjung ke Sabah untuk projek pembangunan sedangkan penduduk negeri berkenaan turut mempunyai kontraktor yang berkelayakan.
"Kontraktor-kontraktor, jangan ada satu pun daripada Semenanjung. Malulah kita, orang Sabah malu, kontraktor kecil malu.
Beliau berkata, terdapat khabar angin syarikat-syarikat besar milik Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary akan membina lebuh raya besar di Sabah.
"Banyak diceritakan di dalam dewan ini berkenaan Pan Borneo Highways. Bukan saya reka-reka yang mana ada surat pekeliling mengatakan 'Umno rompak lagi, UEM, MMC, syarikat Umno yang diketuai Syed Mokhtar Bukhary ambil alih semua lebuh raya di Sabah'."
"Ini kalau jadi pun saya bantah, kalau ini betul, batalkan ini semua dan bagi kepada orang Sabah, yang mana satu syarikat Sabah, itu kita bagi.
"Kita minta perkara seperti ini Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) campur tangan, kerana di sini termasuk ketua menteri dituduh bersama-sama bersubahat," katanya.
Sehubungan itu, Ghapur mencadangkan agar diwujudkan satu jawatankuasa di bawah Parlimen bagi mengkaji tahap kemiskinan penduduk Sabah.
"Saya cadangkan untuk Sabah kita buat satu Jawatankuasa Parlimen untuk kaji seluruh negeri Sabah, satu-satu rumah kita pergi dan nilai, dan bentangkan laporan kepada Parlimen berapa peratus miskin di Sabah.
"Ini termasuk Barisan Nasional (BN) dan juga pembangkang, kita buat laporan yang sebenarnya, kita tidak mahu rakyat Sabah dikaburi mata mereka.
"Saya bercakap di sini membawa denyutan hati rakyat Sabah, dengarlah denyutan hati ini dan letaklah telinga, dengar mereka, tanya betul atau tidak apa yang saya cakap," katanya.
Beliau berkata rungutan yang dan teguran yang dibangkitkannya itu berdasarkan sikap BN yang membenarkan budaya teguran dalam kalangan pemimpin mereka.
"Kita di dalam BN dibenarkan menegur untuk kebaikan, bukan mahu tukar, Ini Kalilah, bukan cara itu, kita baiki dalaman kita kerana kita mahu BN berkuasa sampai kiamat dunia," katanya merujuk kepada slogan pilihan raya DAP.
"Mana salah kita baiki, kita menegur yang betul."
Jawatankuasa itu katanya perlu menjalankan kajian terperinci ke setiap rumah penduduk Sabah untuk meneliti tahap kemiskinan penduduk negeri itu.
"Kita mahu kajian terperinci setiap rumah, dengan penubuhan Jawatankuasa Parlimen, mungkin dari BN dipengerusikan oleh Datuk Bung Mokhtar Radin dan pergi rumah ke rumah.
"Buat laporan, kerana kalau kita nampak kajian yang dibuat, tidak ada lagi orang miskin. Tidak ada juga laporan yang orang buang air dalam lubang," katanya.
"Itulah kita mahu keadaan ini diperbaiki." - TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan