Hanya tinggal kurang 15 hari lagi kita berada di tahun 2013. Sudah bersediakah anda untuk menghadapi tahun baru 2014? Mau tidak mau, kita perlu menghadapinya.
TAHUN 2014 akan menjadi masa paling mencabar kepada masyarakat terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana kerana harga barang serta perkhidmatan di negara ini, naik serentak.
Selepas PRU13, kerajaan mengumumkan satu demi satu kenaikan harga barang dan perkhidmatan, atau pengurangan serta pemansuhan subsidi, berselang dalam tempoh sebulan, sejak September lalu.
Bermula dengan pengurangan subsidi yang menyebabkan kenaikan petroleum RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, diikuti pemansuhan subsidi gula 34 sen, kemudian peningkatan tarif elektrik 4.99 sen satu kilowat sejam (KWJ), semakan semula kadar gas, tambang LRT serta monorel dan kadar tol membabitkan 13 lebuh raya seolah-olah membentuk satu siri kenaikan harga.
Semua pengumuman yang dilakukan secara ‘bertindan’ itu membuatkan rakyat tidak senang duduk, malah ada pihak menganggapnya sebagai peningkatan harga paling buruk sejak negara merdeka, 31 Ogos 1957.
Sejak harga minyak naik, 3 September lalu, masyarakat mula berjimat kerana bahan api dianggap perkara penting kerana mempengaruhi kehidupan seharian. Ini kerana, minyak adalah sumber asas bahan api penentu indeks harga pengguna (IHP).
Apabila harga minyak naik, maka kos pengangkutan akan bertambah termasuklah pengangkutan barangan. Secara tidak langsung, harga barang keperluan seperti beras, ayam, sayur dan ikan melambung tinggi.
Di negara ini, kenaikan harga minyak sangat berkait terhadap kenaikan harga barang lain; malah barangan yang tidak berhubung langsung dengan minyak pun turut naik.
Belum reda dengan kenaikan itu, masyarakat semakin resah apabila subsidi gula dimansuhkan, sebulan kemudian. Ada sesetengah pihak tidak kisah dengan kenaikan tersebut sebab mereka jarang gunakan gula di rumah, tetapi kesan rantaian terpaksa ditanggung pengguna kerana harga kuih muih dan air di kedai ‘melangit’!
Bukan itu sahaja, pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik bermula bulan depan semakin ‘menghimpit’ masyarakat kerana tentu mengundang kesan rantaian lebih besar.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan akan mengkaji semula tambang LRT dan monorel, pengangkutan awam alternatif pengguna di bandar yang semakin menekan golongan miskin bandar.
Kadar tol juga dikhabarkan akan naik melibatkan 13 lebuh raya di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyatakan, kenaikan kadar tol tidak dapat dielak kerana ia terkandung dalam perjanjian konsesi.
Terbaru, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif mengumumkan untuk menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40 peratus bermula 1 Januari depan jika SPAD tidak mengumumkan kenaikan kadar baru, hujung tahun ini.
Semua kenaikan itu dikatakan berkaitan dengan program rasionalisasi subsidi sejak dilaksanakan pada 2010, bagaikan membiarkan rakyat terbeban untuk membeli barang keperluan dengan kadar pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan harga barang.
Rakyat semakin ‘tersepit’ apabila kadar gaji tidak seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan di dalam negara.
Malah paling dikesalkan Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan berlaku pembaziran wang kerajaan.
Persoalannya, kenapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau secara berperingkat?
Yang pasti, keperluan rakyat perlu diutamakan kerana matlamat negara maju tidak bermakna jika masyarakat ‘menderita’ dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. - Sinar Harian
Artikel seperti ini disiarkan setiap hari di Facebook, pastikan anda LIKE Fanpage kami ya!