(google image) |
KUALA LUMPUR - Pandelela Rinong memulakan kempen 2011 penuh bergaya apabila merangkul pingat perak acara 10 meter platform pada Siri Terjun Dunia FINA di Moscow, kelmarin.
Pandelela mempamerkan terjunan memberangsangkan untuk mengumpul 369.45 mata, bagaimanapun tidak cukup untuk menyaingi pemenang pingat emas Olimpik 2008 yang juga juara dunia, Chen Ruolin yang mencatatkan 409.95 mata bagi mengutip emas. Pingat gangsa milik penerjun Australia, Croak Alexandra (358.95).
Kejayaan pingat perak yang diraih Pandelela itu merupakan pingat sulung buat dirinya dalam kejohanan penuh berprestij tersebut. Pencapaian terbaiknya tahun lalu adalah tempat keempat pada pusingan pertama di Veracruz, Mexico.
Keupayaan yang ditunjukkan gadis Bidayuh berusia 18 tahun itu sekali gus membuktikan sasaran pingat emas Olimpik 2012 London yang diletakkan ke atasnya bukan omong kosong.
Malah, jika diukur prestasinya dalam acara yang disertainya kelmarin, penerjun Australia dan Kanada pun bukan lagi tandingannya.
(google image) |
Di bumi Moscow, Pandelela mengulangi kejayaan menewaskan dua penerjun Australia, Alexandra dan Melissa Wu yang pernah ditewaskan untuk mengutip emas pertama negara dalam acara terjun pada Sukan Komanwel di New Delhi, Oktober lalu. Melissa menamatkan saingan di tempat keenam selepas beraksi hambar dengan sekadar mencatat 286.35, jauh ditinggalkan Pandelela dengan perbezaan hampir 130 mata.
Apa yang pasti, di bawah bimbingan jurulatih China, Yang Zhuliang, Pandalela perlu mencari jalan memecahkan 'Tembok Besar China' sekiranya ingin melakar kejutan di London tahun depan.
Pada hari pertama kejohanan, selain Ruolin, China turut membolot emas acara 3 meter papan anjal lelaki dan 3 meter papan anjal berirama wanita, sekali gus menguasai tiga daripada empat emas yang dipertandingkan. Semalam, Pandelela beraksi bersama penerjun veteran, Leong Mun Yee dalam acara 10 meter terjun berirama. Keputusannya belum diperoleh setakat waktu cetakan akhbar.
(Sumber: Utusan Malaysia)
ps/: diharapkan agar atlit-atlit negara akan terus menerus berusaha untuk meningkatkan prestasi dan sterusnya lebih banyak lagi yang akan mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan