Kediaman Penduduk Dirobohkan Tanpa Pemberitahuan | Boros Di Aralom

Jumaat, 21 Januari 2011

Kediaman Penduduk Dirobohkan Tanpa Pemberitahuan

TENOM: Ketua Kampung Kg. Kapulu, Mohd Sabli B. Shaffie, 58, kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Tenom untuk merobohkan pondok kediaman mereka, yang dikatakan termasuk dalam kawasan hutan simpan.

Kejadian itu berlaku pada 13 Januari yang lepas ketika kebanyakan penghuni rumah itu sedang berehat, sementara yang lain sedang bekerja di kebun.

Ketua kampung itu yang ditemani oleh Pengerusi JKKK kampung itu, Ansarap Bin Korong, 46, untuk melaporkan insiden itu kepada akhbar ini berkata;

“Perbuatan kakitangan jabatan itu satu penghinaan kepada penduduk di kampung itu,” jelas Sabli.

Menurut Sabli, majoriti penduduk kampung itu yang terdiri daripada suku kaum Murut, tinggal di kawasan itu sejak tahun 1915.

Katanya, nenek moyang mereka seperti mendiang KK Landau dan KK Lawis merupakan sebahagian yang terlibat dalam perjuangan Pahlawan Antanom, ketika penentangan penjajah British.

“Kampung ini wujud sejak sekian lamanya,” jelas Sabli dan mempersoalkan kenapa baru sekarang Jabatan Perhutanan mengklasifikasikan tanah tumpah darah mereka sebagai hutan simpan, sedangkan isu tersebut tidak pernah dibangkitkan daripada awal.

Beliau berkata, sebahagian besar penduduk tidak mengetahui kawasan tanah yang telah mereka terokai untuk dibangunkan untuk memperolehi sumber pendapatan, termasuk dalam kawasan hutan simpan.

Tambahan lagi katanya jabatan itu tidak pernah berjumpa dengan mereka untuk menjelaskan situasi yang sebenar.

Dipetik dari New Sabah Times

Refleksi:
Kenapa penduduk Sabah terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman sering ditindas oleh pihak-pihak tertentu? Kalau nak buat benda sedemikian dengan penduduk yang masih berpegang kepada adat resam yang kuat, kena meminta 'inform consent' dari mereka dulu. Ini tak, berjumpa pun tak pernah. Terus saja buat tindakan sesuka hati. Yang paling menyakitkan hati ialah tindakan tersebut turut disertai oleh anak jati tempatan. Adakah mereka tidak tahu akan asal usul mereka? Lupa daratan? hanya gilakan wang semata-mata? Ini lah salah satu sikap warga kita yang perlu diperbaiki dan dihapuskan. Ingat lagi bagaimana Sabah diperbodohkan dulu mengenai royalty minyak?? itu semua sebab pemimpin gila duit yang makan rasuah sehingga menggadaikan masa depan negeri. Jangan lah diulangi kesilapan yang sama lagi.
Saya tabik kepada ketua masyarakat di tempat berkenaan kerana berani mempertahankan hak mereka sebagai penduduk jati di kampung tersebut. Diharap agar pihak kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya selepas ini.

Tiada ulasan: