Panduan Asas Memilih Niche Blog Yang Boleh Jana Duit | Boros Di Aralom

Ahad, 24 Februari 2013

Panduan Asas Memilih Niche Blog Yang Boleh Jana Duit

Tidak dinafikan bahawa sebuah blog yang mempunyai niche yang baik dan bersesuaian boleh menjana pendapatan yang konsisten dan lumayan. Apakah itu Niche? Terma ini sebenarnya merujuk kepada kategori blog anda. Jika blog anda itu banyak cerita pasal memasak, maka niche blog anda ini ialah ‘masakan’. Jika blog itu banyak cerita pasal telefon pintar maka niche blog itu ialah ‘telefon pintar’. Jadi apakah niche blog anda?

Terus terang saya katakan bahawa blog saya ini bukanlah contoh terbaik bila bercerita mengenai niche. Anda boleh nilai sendiri betapa berserabutnya cerita-cerita yang pernah saya kongsikan di sini. Bercampur aduk macam rojak kat pasar. Kejap cerita pasal artis, kejap cerita pasal benda pelik, kejap cerita pasal bola, dan macam-macam lagi lah. Walaupun dah banyak ebook dan blog mengenai niche yang dibaca tapi masih lagi belum dapat mengadaptasikan di dalam blog sendiri.  Tapi kita belajar dari kesilapan. Sekarang ini saya nak kembali ke pangkal jalan dan mulakan dimensi baru dalam dunia blogging. Sebab itu, kalau ada silap dan salah, sama-sama kita perbetulkan dengan cara yang beretika.

Selepas saya membaca blog Income Diary – How Pros Make Money Online yang ditulis oleh lima sahabat blogger muda profesional iaitu Micheal, Joshua, Nicholas, David, dan Nick S, fikiran saya mulai terbuka untuk menumpukan blog saya kepada satu niche sahaja.  Mungkin sekarang niche saya ini masih samar-samar tapi suatu hari kelak, mudah-mudahkan blog ini boleh diterima pembaca  dan mampu menjadi rujukan yang berguna.

Jadi apakah sebenarnya panduan paling asas dalam memilih niche blog ini? Pasti ramai yang memberitahu kita untuk menulis blog mengenai sesuatu yang kita suka dan minat. Ya, itu tak salah. Tapi kita kena berbalik kepada tujuan utama kita berblogging. Adakah sekadar untuk suka-suka atau untuk menambah pendapatan melalui blog? Jika serius mahu menambah pendapatan melalui blog, tulislah sesuatu mengenai minat yang menguntungkan. Jika sekadar suka-suka sahaja mungkin banyak tulisan kita yang orang akan anggap sebagai merapu saja. Sebaliknya, jika anda mempunyai minat dalam bidang rekabentuk laman web atau minat dalam dunia fotografi, tulis lah blog mengenai minat anda itu kerana anda tahu bagaimana anda boleh buat duit dari minat tersebut.

Sebagai contoh, jika anda minat dalam bidang rekabentuk laman web, anda pastinya akan berkongsi banyak perkara tentang membina laman web yang baik. Dan sudah pasti juga anda tahu bagaimana mereka bentuk laman web yang baik dan mesra pembaca. Di sini, anda sudah mula membina kepercayaan orang lain dan reputasi diri.  Nah, untuk menjana pendapatan dari blog anda, apa kata tawarkan perkhidmatan membina laman web pula. Pastinya anda akan mendapat ramai pelanggan. Kenapa? Sebab niche blog anda itulah yang akan membawa para prospek pelanggan ke laman web anda melalui enjin carian. Kata lah, seorang ini nak buat laman web dan kemudian cari di Google “cara buat laman web”, pastinya pencari itu akan dibawa oleh Google ke laman web anda.

Saya harap anda faham akan konsep ‘niche’ yang saya terangkan di atas ini. Jika anda mahukan idea dan gambaran terbaik akan niche mana yang boleh buat duit, saya sarankan agar anda layari laman web ClickBank atau Jomniaga dan klik bahagian Marketplace dan lihat produk-produk di setiap kategori yang ada.  Pastinya anda mendapati para penjual atau vendor menjual produk mereka mengikut niche seperti gaming, kesihatan, marketing, dan sebagainya. Sama juga bila anda masuk pasaraya besar. Kalau nak cari pensel 2B pastinya anda akan mencari benda ini di bahagian Alat Tulis dan bukannya di bahagian Peralatan Dapur.

Sekian sahaja untuk perkongsian mengenai panduan asas memilih niche blog dari saya. Harap ia membantu terutama kepada yang baru mula berjinak dalam dunia blogging ini. Jika anda mempunyai buah fikiran dan komen akan entri ini atau mahu berkongsi ilmu, kongsikan lah di bahagian komen.

Tiada ulasan: