Konflik adalah sebahagian daripada hidup kita. Ketika diurus dengan baik, konflik dapat mendorong kita untuk melihat satu gambaran baru dan boleh membantu membangunkan penyelesaian yang inovatif untuk sesuatu masalah jika dilihat dari sudut yang positif. Namun, konflik yang salah diurus boleh menjatuhkan seseorang, membuat kita marah atau kecewa malah mengikis harga diri kita. Ketika konflik yang tidak sihat berlaku, adalah sangat penting untuk menamatkan konflik tersebut demi untuk menyelamatkan sesebuah hubungan.Cara untuk menamatkan sesuatu konflik itu adalah berbeza dan bergantung kepada individu itu sendiri. Berikut merupakan beberapa langkah yang dicadangkan untuk menyelesaiakan konflik.
Pertama, kita perlu menetapkan masa yang sesuai untuk membincangkan situasi dengan individu yang terlibat dalam konflik tersebut. Pilih waktu yang tenang, santai dan yang penting jangan terlalu terburu-buru.
Kedua ialah dengan menetapkan peraturan asas dalam perbincangan. Contohnya, gunakan nama panggilan yang sesuai dan menyelesakan serta perlu menjaga tingkah laku semasa perbincangan. Pastikan kedua-dua pihak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan. Jika tidak, ia akan menyebabkan proses resolusi menjadi semakin sukar dan mungkin akan memburukkan lagi konflik.
Selain itu, masalah perlu dihuraikan secara bergilir-gilir. Jika kita tidak boleh sepakat tentang apa yang menyebabkan konflik, kita tidak boleh menamatkan konflik. Kita juga perlu mendengar dengan cermat antara satu sama lain, kerana kita mungkin mendapati bahawa orang lain marah tentang sesuatu yang kita tidak pernah sedari telah menjadi masalah.
Seterusnya, mengklarifikasi kedudukan masing-masing. Parafrase atau mengulang semula ayat dengan menggunakan ayat pendek tentang apa yang kita dengar dan menanyakan apakah kita memahami antara satu sama lain. Tanya soalan tentang apa saja yang kita tidak faham.. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan salah faham semasa dalam perbincangan.
Menetapkan objektif dan menyelesaikan masalah perlu dilakukan pada saat ini. Banyak konflik berakar dalam elemen tunggal dari sebuah perbincangan yang lebih besar. Adalah disarankan untuk tidak memperdebatkan semula perkara yang sudah dipersetujui dan mula memberi fokus kepada penyelesaian masalah. Ini kerana, sesuatu perbincangan itu bukan lah bertujuan untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah.
Akhir sekali, kedua-dua pihak perlulah menetapkan satu persetujuan tentang cara-cara menyelesaikan konflik tersebut. Tetapkan rangka masa untuk perlaksanaan dan rancang satu perjumpaan semula untuk membincangkan hasil daripada cara-cara yang telah dipersetujui dan dilaksanakan tersebut. Jangan berkeras dengan memikirkan bahawa orang lain akan mengikuti langkah anda, tetapi bekerja sama lah untuk mencari jalan yang membuat kedua-dua belah pihak selesa. Untuk memperoleh keputusan yang terbaik, adalah disarankan untuk mencari orang ketiga sebagai pengantara seperti kaunselor, pakar motivasi, dan orang yang arif tentang masalah yang dialami.
2 ulasan:
Jiwa tak tenang kalo ada konflik..perlu diselesaikan segera, kalo tak tension lo hidup saya!
yg penting ada tolak ansur dan sifat mahu mngalah, kalau dua2 keras kepala...habisss....
Catat Ulasan