Pemain badminton kebangsaan rugi RM14,000 disamun | Boros Di Aralom

Khamis, 15 Mac 2012

Pemain badminton kebangsaan rugi RM14,000 disamun


KUALA LUMPUR: Seorang pemain badminton kebangsaan berusia 22 tahun kerugian RM14,000 selepas wang tunai untuk membayar pendahuluan kereta hendak dibelinya disamun tiga lelaki dalam kejadian di Taman Tun Dr Ismail, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Arif Ab Latif sedang berjalan ke arah keretanya selepas makan tengah hari bersama seorang rakan didatangi dua motosikal ditunggang tiga lelaki.

Menurut sumber, pada mulanya, mangsa tidak sedar lelaki terbabit datang dari arah belakang sebelum memberhentikan motosikal di hadapannya.

Katanya, seorang daripada lelaki itu terus menarik beg sandang mangsa menyebabkannya terkejut sebelum menumbuk muka lelaki itu dan lelaki terbabit membalas dengan menumbuk dada mangsa.

“Akibat melawan, dua rakan lelaki itu turun dari motosikal sebelum seorang daripada mereka mengacukan pisau ke perut mangsa.

“Sebaik mengacu pisau itu, mereka meragut beg sandang mangsa yang mengandungi wang RM14,000 sebelum melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, wang itu untuk membayar pendahuluan kereta hendak dibeli selepas mangsa tamat latihan pada hari berkenaan.

Katanya, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius, sebaliknya hanya cedera ringan di dada dan muka kerana ditumbuk.

Susulan kejadian itu, Mohamad Arif membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Mohamad Arif pernah dicalonkan untuk Anugerah Putera dalam Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran-MSSM-Milo 2006 di atas kecemerlangannya dalam sukan badminton, malah pernah menentang Datuk Lee Chong Wei dalam Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Proton 2010 di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.


Nak Duit Extra Sambil Blogging ke? Sertai PTP ini
Nak Duit Extra Sambil Jawab Survei Ringkas? Minimum Cashout RM5 je

Tiada ulasan: