Mamat Khalid Jawab Dakwaan Diisytihar Bankrap | Boros Di Aralom

Rabu, 23 Januari 2013

Mamat Khalid Jawab Dakwaan Diisytihar Bankrap

Selepas kejayaan filem komedi bikinannya yang mencetus fenomena, Hantu Kak Limah Balik Rumah, sutradara kreatif, Mamat Khalid seakan menyepi dan agak lama tidak tampil dengan sentuhan terbaru. Sepanjang itu beliaudikhabarkan sibuk dengan kerja-kerja dibelakang tabir dan menghabiskan penggambaran filem-filemnya. Namun ada ura-ura mengatakan beliau sekeluarga telah meninggalkan ibu kota dan kini menetap di kampung halamannya, di Ipoh Perak.

Lebih memeranjatkan ada dakwaan kononnya Pengarah Terbaik Festival Filem (FFM21) ini terpaksa pulang ke kampung kerana syarikat produksinya Naga VXS “lingkup” sejak dua tahun lalu sehingga beliau diisytiharkan muflis.

Berpeluang bertemu Mamat di malam gala filem terbaharu arahannya berjudul Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit di GSC Mid Valley malam tadi, malaysiandigest.com mendapatkan kepastian mengenai sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.

Pengarah berusia 50 itu berkata, benar dia sekarang sudah menetap di Ipoh dan membuka syarikat baru di sana. Namun penghijrahan tersebut bukanlah kerana beliau bankrap tetapi disifatkan sebagai satu permulaan baru dalam kariernya selepas berdepan dengan beberapa masalah dalam operasi syarikat terdahulu.

"Operasi Naga VXS sebelum ini ada beberapa sekatan. Jadi dengan buah fikiran daripada isteri saya, Intan, yang mencadangkan supaya membuka syarikat baru, saya rasa saya harus gunakan peluang kedua ini untuk meneruskan kehidupan.

"Kini syarikat baru saya ialah Enjit Semut Productions dan dah setahun ianya ditubuhkan. Buat masa ini ia beroperasi di rumah kami di Ipoh. Apa yang boleh saya katakan, syarikat ini lebih kepada perniagaan milik keluarga. Isteri serta anak-anak saya bertindak menguruskan syarikat. Saya pula akan fokus pada perhasilan karya ," katanya.

Adik kepada kartunis tersohor negara, Datuk Lat ini juga menegaskan kegagalan pernigaannya dibawah syarikat terdahulu bukan kerana beliau diperdaya oleh pihak tertentu. Sebaliknya mengakui faktor pengurusan yang tidak betul menjadi punca perniagaannya tidak menjadi.

"Ketika perniagaan syarikat itu bermula, kami masih baharu. Banyak yang perlu diperbaiki dan kehidupan harus diteruskan.

"Kalau kita terus mengenang kesilapan lalu, takkan bergerak jadinya. Memilih langkah seterusnya adalah lebih penting," katanya.

Dalam masa sama, menyentuh mengenai kemunculan filem terbaharu selepas tiga tahun menyepi, Mamat berkata, 2013 bakal menyaksikan segala usahanya selama tempoh itu dikongsikan kepada khalayak.

Tidak meletakkan target dalam bentuk angka, namun beliau berharap filem Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit dapat menyaingi kutipan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang memperoleh kutipan kasar RM7.90 juta.

"Tahun ini adalah tahun untuk saya memperlihatkan hasil dan segala usaha sepanjang tiga hingga empat tahun lepas akan menemui penonton. Saya berharap filem terbaru ini akan mendapat respon yang baik daripada penonton dan memberi pulangan yang memberangsangkan.

"Selain filem ini, saya juga akan muncul dengan Rock Ooo, Apokalips, Zombie Kilang Biskut dan Rentaz," katanya.

Sumber: Malaysian Digest
http://www.malaysiandigest.com/entertainment/232772-mamat-khalid-jawab-dakwaan-diistihar-bankrap.html

 

Iklan Sisipan:  
Kalau nak tahu rahsia sebenar kejayaan buat duit online, ikutilah webminar Make RM1,000 Every Month Working from Home yang disampaikan oleh anak Malaysia sendiri. Tempah posisi anda sekarang!!

Tiada ulasan: