Buruh ditikam mati oleh lima lelaki ketika minum di warung | Boros Di Aralom

Rabu, 18 Januari 2012

Buruh ditikam mati oleh lima lelaki ketika minum di warung

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai buruh ladang maut akibat cedera parah ditikam di bahagian dada kanannya menggunakan objek tajam dipercayai oleh sekumpulan lima lelaki tidak dikenali yang menyerangnya dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai minum, di Felda Sahabat 2, Tungku dekat sini, pada malam Isnin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa, yang dikenali sebagai Rodi Usof,31, sedang duduk minum di kedai itu bersama dua lagi rakannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitenden Shamsudin Mat berkata, ketika itu sekumpulan lima lelaki berusia dalam lingkungan 30-an telah dilihat masuk ke dalam kedai tersebut dan duduk tidak jauh dari meja mangsa.

“Siasatan awal kita mendapati, mangsa telah diserang oleh kumpulan lelaki terbabit sewaktu hendak ke tandas sebelum dia dilihat terlantar rebah oleh rakannya,”katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin sambil menambah kesemua lelaki terbabit kemudian melarikan diri sebaik saja selepas kejadian itu.

Shamsudin berkata, sebaik saja melihat mangsa rebah dengan kesan tikaman, dua rakannya itu kemudian telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan, bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia.

“Tiada tangkapan dan rampasan senjata dibuat setakat ini dan pihak kita juga sedang menyiasat secara terperinci berhubung motif kes itu, manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya

Sementara itu, tambah Shamsudin mayat mangsa juga telah dihantar ke Hospital Lahad Datu (HLD) untuk dibedah siasat.

“Usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan dan kita juga meminta kerjasama orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi balai polis Lahad Datu atau pegawai penyiasat, Cif Inspektor Ladamah Haji Sulaiman di talian 013-5511999 untuk membantu siasatan,”ujarnya lagi.

  • Lindungi rumahtangga anda daripada gangguan pihak ketiga. Caranya di SINI 
  • Ingin tahu 99 punca perceraian di Malaysia? Jawapannya di SINI SINI

Tiada ulasan: