Masih bercerita mengenai Suprima S yang baru seminggu dilancarkan. AK percaya, masih ramai rakyat Malaysia sedang bercerita topik yang sama, di mana ada yang memuji Proton, dan ada pula yang menghentam kerana “dendam lama” pada harga, kualiti, realibiliti, atau kekurangan pada pusat servis Proton yang bertahun terpendam.
Apa yang kami di AK mengharapkan, disebabkan ini kereta buatan Malaysia, marilah bersama kita beri peluang untuk Proton merubah persepsi masyarakat, di bawah pimpinan barunya iaitu DRB Hicom. Kita semua sudah sedia maklum yang Proton sememangnya telah pun membuat banyak kesilapan dalam sepuluh tahun kebelakangan ini.
Rekaan dalaman Proton Suprima |
Bagi kami, kesilapan-kesilapan ini bukanlah disebabkan Proton tidak mampu menghasilkan produk berkualiti, akan tetapi disebabkan penilaian pasaran yang kurang tepat dan keputusan yang kurang wajar oleh pihak atasan Proton atas pelbagai perkara.
Sebagai contoh menghasilkan kereta dengan enjin yang pada asalnya berspesifikasi racing untuk dipandu dalam ibukota bukanlah pilihan yang bijak, bukan?
Apa pun, pandu ujilah dahulu, kemudian nilailah sendiri. Tidak mahu beli pun tidak mengapa, asalkan kita tahu kemampuan terkini pengeluar kereta nasional kita. Bak kata perpatah Inggeris yang berbunyi “Don’t judge a book by its cover”.
Baiklah, berbalik kepada pandu uji Proton Suprima S. Beberapa hari yang lepas, salah seorang krew AK telah memandu uji Proton Suprima S. Mari baca ulasan AK.
Secara keseluruhannya, pengalaman memandu Proton Suprima S adalah memuaskan, dan dirasakan inilah kereta penanda aras terbaru Proton. Seperti Preve, Suprima S dapat memecut hingga kelajuan 140KM/j tanpa merasai beban pada enjin, memotong dengan “pickup” yang kuat, dan dapat memecut kembali kepada kelajuan yang diingini selepas brek.
Di jalan rata, enjin Suprima S dirasakan tiada masalah dari segi penghasilan kuasa baik untuk memintas mahupun memecut, tetapi apabila krew AK membawa Suprima S mendaki salah satu bukit di sekitar Bandar Baru Bangi, masih dirasakan tidak setanding dengan enjin continental seperti enjin 1.4L TSI milik Volkswagen yang dapat memacu Cross Touran mendaki bukit yang sama tanpa sebarang “hiccup”.
Dalam hal ini bukan saiz enjin, dan bukan twincharger menjadi penentu, akan tetapi penetapan kombinasi drivetrain (enjin dan transmisi) Proton yang masih belum cukup matang dan masih boleh diperbaiki.
Bagi “Ride and Handling” pula, seperti biasa, Proton mantap, sama seperti apa yang Proton canangkan selama ini. Steringnya berat, sesuai bagi mereka yang berjiwa “racing”. NVH (Noise Vibration & Harshness) sangat penting dalam sebuah kereta. Sudah tentu anda tidak mahu mendengar pemandu kereta sebelah batuk tatkala menunggu lampu merah, apatah lagi bunyi bising dari enjin.
NVH Suprima S dirasakan masih belum mantap, kerana bunyi enjin masih kedengaran semasa memandu. Apa yang diharapkan ialah Proton dapat memperbaiki masalah “noise” ini untuk sekurang-kurangnya setanding dengan NVH Toyota Vios.
Menurut salah seorang jurutera Proton kenalan kami, NVH Suprima S masih sedang diperbaiki, dan dikatakan Suprima S yang krew AK pandu uji itu masih tidak menerima pembaik-pulihan NVH. Jika inginkan NVH yang mantap,sebelum membeli Suprima S, tanyalah salesman sama ada NVH sudah diperbaiki atau belum.
Dari segi vibrasi kereta pula, tidak perlulah dinyatakan di sini, kerena kereta baru mana ada vibrasi yang ketara, bukan?
Dari segi keselamatan, Suprima S kelihatan “selamat” dilengkapi dengan 6 airbag bagi kedua-dua variant Executive dan Premium, Anti-Lock Breaking System ABS (seperti kebanyakkan kereta keluaran terkini) digandingkan dengan Electronic Brakeforce Distribution EBD yang bertujuan menyelaraskan kuasa brek yang berlainan kepada setiap tayar, untuk memaksimumkan kuasa brek sambil mengekalkan keseimbangan dan kawalan kereta.
Biasanya EBD akan menyalurkan lebih kuasa brek kepada brek hadapan berbanding belakang. Suprima S telah mendapat 5 bintang ANCAP, keselamatan lebih terjamin. Tidak semua kereta luar negara yang dibanggakan setaraf dengan Suprima S dari segi ini, bukan?
Menurut krew AK,parking juga kini lebih mudah, dengan bantuan sensor kamera di hadapan dan kamera undur di belakang. Dari segi ini, Almera yang dijual lebih kurang harganya hanya mempunyai 2 sensor undur sahaja.
LCD touchscreen Proton suprima |
Satu lagi topik hangat ialah aksesori yang datang dengan pakej. Suprima S dilengkapi dengan Android OS 7” LCD skrin sentuh yang berfungsi sebagai GPS, pemain DVD, dan pelayar web. Malangnya OS ini dikunci dan anda tidak boleh sewenang-wenangnya memuat-turun aplikasi tambahan.
Tetapi kami pasti, tentu ada yang akan cuba “root” Android ini di masa akan datang. Sistem ini dilengkapi dengan keserasian Bluetooth, USB, iPod dan WiFi 4G daripada YES. Android yang diperkatakan di sini sedikit lembab, mungkin kerana processor di dalamnya berkuasa kecil.
Apa pun, ia sudah cukup untuk mengoperasikan aplikasi yang sedia ada, lupakan sahaja hasrat untuk bermain Candy Crush sambil memandu. GPS di dalam Suprima S dapat digunakan tanpa internet kerana datanya disalurkan oleh Lackatoo TM, di mana antenna kereta menjadi penerima resepsi.
Memandangkan masa pandu uji singkat, krew AK tidak sempat untuk menguji WiFi 4G yang tersedia.
Cukup sampai sini ulasan pandu uji Proton Suprima S di AK. Disebabkan ini ulasan pandu uji, maka tidak perlulah kami ulas bahagian luar (exterior) yang rata-rata telah diulas sebelum ini. Satu sahaja komen exterior dari AK, iaitu “Cantik!”.
(Kredit artikel dari Arena Kereta)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan