Anugerah Pertama Hail Amir Selepas 40 tahun | Boros Di Aralom

Jumaat, 2 Disember 2011

Anugerah Pertama Hail Amir Selepas 40 tahun

Siapa tak kenal dengan Hail Amir kan..dia adalah seorang pelakon dan penyanyi yang begitu popular sekitar tahun 70an hingga 80an. Ingat lagi dengan filem Jiwa Remaja, Cinta dan Lagu, Menanti Hari Esok, itu adalah antara filem yang begitu popular ketika zamannya.
Hail Amir ketika zaman mudanya.
Kini, selepas 40 tahun bergelar anak seni, sumbangan Hail Amir dalam bidang seni akhirnya diiktiraf dengan pemberian Anugerah Tokoh Kesenian sempenan sambutan Maal Hijrah 1433H peringkat negeri Pulau Pinang seperti yang dipetik di laman web hmetro.com ini.
Hail Amir sering bergandingan dengan Uji Rashid dalam lakonan
PENGHARGAAN ini sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana selama 40 tahun menjadi anak seni, inilah anugerah pertama yang diterima. Pastinya ia benar-benar menggembirakan sehingga air mata kesyukuran kepada Yang Maha Esa atas hadiah ini.

Anugerah Tokoh Kesenian sempena sambutan Maal Hijrah 1433H peringkat negeri Pulau Pinang diberikan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) kepada artis veteran yang popular dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba, Hail Amir. Dengan sekalung pingat termasuk sijil penghargaan dan cenderahati, benar-benar menyentuh hati dan perasaan apabila dikalungkan Presiden Pemenang, Datuk Seri Mohd Yussof Latif bersama empat tokoh lain mewakili bidang pendidikan, kemasyarakatan, sukan dan agama. 

Hail Amir atau nama sebenar, Abdul Hail Amir yang dilahirkan pada 2 November 1945 di Kebun Lama, Jalan Kampar, Pulau Pinang dianugerahkan tokoh kesenian sebagai menghargai jasanya sebagai anak seni.

Beliau yang ditemani isteri, Sofi Ibrahim dan anak-anak, Cintafifi, 29, Cintahaifi, 23, Cinta Shafiyana, 21, dan Lutfi Ameer,13, menganggap anugerah itu menunjukkan penghijrahan dari seorang penari kebudayaan kepada artis popular sehinggakan namanya menjadi siulan peminat seni suara ketika era 70-an.

“Perasaan gembira dan terharu saya memang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata kerana sebagai insan seni yang kini sudah berusia 66 tahun, saya terkesima kerana masih dihargai. Jika dikenang zaman permulaan sebagai anak seni, memang cukup berliku. 

“Itu yang membuatkan saya terharu apabila semua itu dilihat Pemenang dengan memberikan anugerah ini,” katanya. Apapun bekas pelajar Sekolah Rendah Dato Keramat dan Methodist Boys School berkata, anugerah ini tidak pernah terdetik untuk diterimanya kerana bukan itu yang dikejar selama ini. Bapa kepada empat cahaya mata ini mengakui dirinya bukan jenis yang suka meminta-minta. 

“Untuk apa menjadi peminta kerana kelak akan dilabelkan dan diperkatakan itu dan ini malah maruahnya akan tercemar. Biarlah, jika ada rezeki adalah sebelum hayat masih ada bukannya diberikan selepas dirinya sudah tiada. 

“Bagi saya, sebagai bekas penari kebudayaan kemudian menjadi artis rakaman bermula dari 1971 sehingga hari ini pelbagai pengalaman manis dan pahit dilalui dan ianya akan menjadi lipatan sejarah dalam hidup,” katanya. 

Nama Hail Amir mulai dikenali ramai apabila merakamkan album pertama dengan syarikat rakaman EMI pada 1976 dan turut digandingkan dengan teman duetnya, Uji Rashid dan menjadi popular di era 70-an. Katanya, selain menerima undangan menyanyi, masa lapangnya dihabiskan melayan cucu dan menjalankan perniagaan jualan langsung selain pernah terbabit dalam UMNO dan badan kebajikan serta pertunjukan amal. 

“Bagi mereka yang ingin mengetahui perkembangan seni saya, boleh melayari laman sesawang facebook di fan page Hail Amir yang kini mempunyai lebih 5000 peminat,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Yussof berkata, Pemenang melahirkan rasa bangga apabila anak jati Pulau Pinang berjaya mengharumkan namanya sebaris dengan artis ternama yang lain. Katanya, kebanggaan dalam arena seni yang diceburi Hail Amir membuatkan Pemenang memilihnya sebagai Tokoh Kesenian di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1433H. 

“Tanggal 27 November menjadi detik sejarah buat Pemenang secara amnya dan Hail secara khususnya kerana pembabitannya sebagai anak seni lebih 40 tahun dihargai. 

“Inilah perhargaan yang ingin disumbangkan biarpun difahamkan anugerah itu adalah kali pertama diterimanya selama menjadi artis,” katanya. 
Hail Amir sekarang.
*Tahniah kepada Hail Amir di atas penganugerah ini. Namun sebenarnya, peminat adalah anugerah paling indah kepada seorang yang bergelar artis.

2 ulasan:

Zezebel berkata...

Punyalah lama dia menunggu utk dapat anugerah...

Rafi Harumin berkata...

Baru 'dikenang'.